Redha Dengan Taqdir Bukan Bermakna Duduk Saja!

Saya membaca kenyataan seseorang bahawa kita tidak boleh mengunakan alasan ‘redha dengan taqdir’ apabila menerima kekalahan parti yang kita sayang.  Katanya lagi kita tidak boleh duduk diam dan mesti berjuang melawan.  Tidak boleh terima begitu sahaja dengan alasan ‘taqdir’.

Saya tidak setuju dengan kenyataan tersebut.

Saya telah menulis di dalam tulisan berikut mengenai respon saya terhadap keputusan PRU-13.  Antaranya saya menyebut bahawa ia adalah sebahagian daripada ketentuan ALLAH dan kita mesti redha dengannya.  Baca di sini:

Apabila kita mengajak agar redha kepada ketentuan/taqdir ALLAH, bukan bermakna kita menyuruh tidak berbuat apa-apa.

Sabar, syukur, muhasabah, menjadikan diri kita lebih muslim, gigihkan dakwah dan kuatkan mujahadah adalah sebahagian bentuk tindakan-tindakan susulan yang bakal diberikan pahala di sisi ALLAH Ta`ala.  Sifat positif bakal lahir apabila kita redha dengan ketentuan ALLAH.  Sifat redha dan mengaitkannya dengan ketentuan/taqdir mesti disematkan dalam hati mukmin.

Malah disuruh oleh Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam agar jangan berkalau-kalau lagi apabila sesuatu perancangan gagal, tetapi ucapkanlah “qaddaraALLAHU, wa ma shaa’a fa`al” iaitu “Ia sudah ketentuan ALLAH, dan DIA perbuat apa yang dikehendakiNYA”. 

Selain itu juga, kita boleh berikhtiar dengan sesuatu yang diberikan peruntukan oleh undang2 negara dan dibenarkan syariat.  Contohnya melakukan petisyen.  Melakukan petisyen bukanlah bererti melawan ketentuan/taqdir ALLAH.  Ia termasuk dalam ikhtiar berpindah dari satu taqdir kepada taqdir yang lain.  Menang atau kalah petisyen juga termasuk taqdir ALLAH.  Pokoknya, kita disuruh berikhtiar dengan pelbagai usaha dan pelan.  Jika pelan A gagal, maka pelan B dan seterusnya boleh dilakukan.

Kata-kata `Umar radhiAllahu `anhu yang masyhur mengenai situasi ini ialah “kita berpindah dari taqdir ALLAH kepada taqdir ALLAH yang lain“.  Begitulah lebih kurang maksudnya.

Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dan para sahabat radhiAllahu `anhum ajma`in sangat faham dengan soal taqdir ini. Adakah mereka duduk diam dan pasrah selepas menerima satu kekalahan atau musibah?  Adakah mereka menolak taqdir ALLAH apabila mereka berusaha dan terus berusaha?  Tidak, mereka tanganinya dengan redha.  Redha dengan ketentuan ALLAH.  Tetapi dalam masa yang sama mereka tidak pasrah duduk diam.  Plan A gagal, buat plan B dan seterusnya. Asalkan tidak melakukannya dengan cara yang ALLAH tidak suka.

Dalam kes PRU ini, kalau tak puas hati disebabkan ada unsur penipuan yang sangat jelas dan ada bukti yang boleh menyokongnya, maka bertindaklah dengan rasional.  Jangan memberontak, jangan turun ke jalan raya berdemonstrasi, jangan fitnah, jangan keji dan jangan menimbulkan huru-hara.  Tapi buatlah cara yang dibenarkan iaitu antaranya ialah melakukan petisyen.  Saya pasti orang-orang politik yang beriman dan ikhlas maklum dan sedar hal ini.  Mereka sedang cuba menanganinya dengan saluran undang-undang.

Sabar dan tenanglah.  Jangan ikut emosi.  Bertindaklah mengikut peraturan yang ada.  Berikut sedikit penjelasan mengenai petisyen:

“Keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah. Sesuatu petisyen boleh dibuat atas sebab- sebab berikut:

  • Sogokan, peras ugut atau sebarang salah laku yang mungkin telah menjejaskan pilihan raya
  • Ketidakpatuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya
  • Perbuatan rasuah atau perbuatan menyalahi undang- undang yang dilakukan oleh calon dan ejen- ejen
  • Calon atau ejennya didapati tidak layak menyertai pilihan raya

Petisyen pilihan raya mestilah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi di dalam masa 21 hari selepas tarikh keputusan pilihan raya disiarkan dalam Warta. Jika Hakim Pilihan Raya, selepas menjalankan perbicaraan ke atas petisyen berkenaan, memutuskan bahawa pilihan raya berkenaan terbatal, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengeluarkan notis bagi mengadakan pilihan raya baru di bahagian pilihan raya tersebut.”

Bukan senang nak bersihkan kekotoran yang sudah berkerak lama dalam pentadbiran.  Pasti ada helah dan penipuan untuk melindungi dan membelanya.  Mudah-mudahan para cerdik pandai dan peguam diberikan kekuatan oleh ALLAH dalam menangani isu penipuan dalam PRU-13, amin…

Apapun, bukan menang di ‘sini’ yang mukmin dambakan.  Tapi menang di ‘sana’.  Teruskan berjuang dan berdakwah sehingga bertemu ALLAH dalam keredhaanNYA.

muzir.wordpress.com

Advertisements

6 responses to “Redha Dengan Taqdir Bukan Bermakna Duduk Saja!

  • budakjawa

    Assalamualaikum kepada sahabatku muzir,

    Izinkan saya mencoretkan isi hati saya di blog ini.

    Tiada yang dapat menghalang sekiranya Allah ingin memberi kurnia,
    Dan tiada yang dapat memberi kurnia sekiranya Allah menghalang,
    Dan tiada yang dapat menolak apa yang Allah putuskan.
    Kita merancang dan Allah juga mempunyai perancangan dan perancangan Allah jualah yang akan berlaku.

    Hidup ini adalah ujian buat manusia baik kepada yang arif dalam ilmu agama mahupun sebaliknya.

    Politik ini hanya salah satu wadah perjuangan, janganlah melampau sehingga terlupa wadah lain seperti dakwah. Dan dakwah itu lebih mudah diterima sekiranya disampaikan secara bebas tanpa terkongkong oleh label parti atau lain-lain pengenalan. Ini kerana islam itu syumul, tetapi label parti mahupun orang yang di dalam parti itu adalah lemah dan tidak terlepas dari kesilapan.

    Saya percaya sekiranya kita berdakwah dengan ikhlas dan Allah memberikan hidayahNya melalui dakwah kita, mereka yang menerima dakwah itu akan secara fitrahnya tahu apa yang buruk dan baik dan apa yang perlu dibuat atau apa yang perlu dipilih.

    Janganlah melampaui batas. Sesungguhnya manusia punya usaha Allah yang berkuasa. Maafkan saya sekiranya ada tersalah kata. Saya hanyalah hambaNya yang lemah dan banyak berdosa yang sentiasa mengharapkan rahmat dan keredhaanNya. Tiada niat hendak menyebelahi sesiapa, hanya apa yang salah itu tetap salah dan apa yang benar itu tetap benar dan kebenaran itu adalah milik Allah jua.

    Sesungguhnya apa yang berlaku ini juga adalah tanda-tanda kebesaran Allah sekiranya difikirkan.

    Salam dari putrajaya

    Like

    • budakjawa

      Maaf, komen ini bukan ditujukan kepada saudara muzir, sekadar perkongsian.

      Like

      • Shahmuzir

        wa`alaikumussalam warahmatullah…

        Tidak mengapa. Komen sebegini sangat baik sekali untuk kita semua ambil manfaat.

        Cuma ada beberapa perkara yang saya tidak boleh biarkan:
        1) Kalau kita kenal baik dengan pendakwah yang melibatkan diri dengan politik, kita tidak akan buat generalisation bahawa terlibatnya seseorang dalam politik maka medium dakwah yang lain ditinggalkan. Kita akan berhati-hati buat kenyataan sebegini. Apapun, ia nasihat yang baik. Cuma perkataan ‘melampau’ itu terlampau.

        2) Jangan kita cepat melabel bahawa apabila dakwah tidak diterima orang, maka dakwah itu tidak ikhlas. Hati-hati juga dengan kenyataan terburu-buru ini. Para Nabi `alaihimussolatu wa sallam ramai yang ditolak dakwah mereka. Malah ada yang beberapa kerat sahaja menerima dakwah mereka dan bilangan pengikut mereka sangat sedikit berbanding tempoh dakwah mereka. Adakah mereka tidak ikhlas? Tidak! Mereka ikhlas. Bahkan mereka telah berjaya walaupun bilangan pengikut mereka boleh dibilang dengan jari-jari di tangan. Hasil/kejayaan dakwah bukan begitu ukurannya. ALLAH tak bebankan kita dengan hasil. Tapi kerja.

        Itu sahaja. Yang lain-lain diterima dengan baik sekali.

        Salam dari Shah Alam. 🙂

        Like

  • budakjawa

    terima kasih saudara muzir,

    izinkan saya menjelaskan,

    bukan maksud saya membuat generalisasi pendakwah yang terlibat dengan politik itu meninggalkan medium dakwah. tetapi kerja-kerja politik itu berdasarkan pemerhatian saya yang terbatas, didapati lebih menonjol berbanding kerja-kerja dakwah. kadang-kadang kasihan melihat anak-anak kecil kita yang terbiar bermain sesama mereka tanpa ada orang dewasa yang memimpin.

    dan saya juga cuba menyampaikan perasaan saya dan rakan-rakan lain yang lebih mudah mendengar kuliah atau ceramah agama semata-mata atas dasar ilmu dan tidak dicampur-adukkan dengan elemen politik. sekali lagi saya tidak membuat generalisasi kerana saya tahu ramai pendakwah yang walaupun berpoitiik tetapi kuliahnya 100% ilmu, tetapi ramai juga yang saya temui sebaliknya dan hasilnya orang yang ingin menuntut ilmu seolah-olah sedang menghadiri ceramah politik.

    izinkan juga saya menjelaskan,

    bukan maksud saya dakwah yang ikhlas itu akan menjamin hidayah Allah dan sebaliknya bagi dakwah yang tidak ikhlas. yang ingin saya sampaikan adalah orang yang mendapat hidayah Allah itu pasti tahu apa tujuan hidup mereka sebagai hamba Allah dan mereka akan tahu membuat pilihan yang tepat. betul, hidayah ini milik Allah, boleh diberi tanpa sebab dan juga bersebab, antara sebabnya dengan kerja dakwah yang saya kira di dalam kemampuan kita untuk melaksanakannya.

    saya ambil baik saranan saudara muzir untuk tidak menggunakan perkataan melampau (mungkin lebih lunak menggunakan perkataan bersederhanalah) dan saya setuju Allah tidak memberatkan kita dengan hasil tapi kerja dan itulah yang saya maksudkan dengan manusia punya usaha Allah yang berkuasa.

    bukan ingin berdebat, tetapi sekadar menjelaskan. saya memang selalu ingin menuis komen, tetapi lebih dari selalu saya tidak menulis kerana keterbatasan medium tersebut menjelaskan apa yang ingin disampaikan.

    apapun, yang kurang baik itu dari saya dan yang baik itu dari Allah jua.

    Ampun dan maaf andai tersalah bicara.

    wassalam

    Like

  • Isteri Power

    Saya amat setuju dengan pendapat awak… cuma saya rasa… hal nie perlu di kaji dengan lebih mendalam…

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: