“ALLAH Sedang Menguji Aku…”

Jika tuan/puan tiba-tiba didatangi perasaan malas untuk melakukan ibadah;

Atau tiba-tiba bertembung dengan musibah;

Atau tiba-tiba ada aral yang melintangi usaha baik tuan/puan;

Atau mendapat suatu berita/pemberian yang menyenangkan;

Atau tatkala menggunakan suatu kemudahan;

Maka bisikkanlah dalam hati berkali-kali:

“ALLAH sedang menguji aku…”

Dengan menyedarkan diri sendiri bahawa ia adalah suatu ujian, in shaa’ ALLAH, kita akan cenderung untuk memilih pilihan yang boleh membuatkan kita berjaya ujian tersebut.  Kita tidak akan mahu gagal.

Contoh 1:

Seorang pemuda didatangi perasaan malas untuk ke masjid bagi menunaikan solat fardhu secara berjemaah.  Lalu dia membisikkan dalam hatinya:

“ALLAH sedang menguji aku…”

Akan terbentang di hadapannya beberapa pilihan.  Pilihan paling jelas ialah dua pilihan, iaitu:

  1. Dia ke masjid menunaikan solat secara berjemaah – berjaya ujian!
  2. Dia melayan perasaan malas untuk tidak menunaikan solat di masjid secara berjemaah – gagal ujian!

In shaa’ ALLAH, dia akan memilih pilihan yang memungkinkan dia berjaya, iaitu pergi ke masjid.

Contoh 2:

Seorang pemudi bertembung dengan musibah iaitu tugasan yang dilakukannya selama berminggu-minggu tiba-tiba hilang dari simpanan memori di dalam komputer.  Habis segala usahanya hilang begitu sahaja.  Lalu dia membisikkan dalam hatinya:

“ALLAH sedang menguji aku…”

Akan terbentang di hadapannya beberapa pilihan tindakan.  Pilihan yang paling jelas antaranya ialah:

  1. Dia bersabar dan redha dengan ketentuan ALLAH lalu melafazkan “Itu sudah ketentuan ALLAH.  Dan apa yang dikehendakiNYA DIA lakukan.”  –  berjaya ujian!
  2. Dia melenting, salahkan itu dan ini, sepahkan meja, ketuk komputer untuk lepaskan tekanan  –  gagal ujian!

In shaa’ ALLAH, dengan memupuk hatinya bahawa ia adalah ujian dari ALLAH, maka dia akan memilih perbuatan yang menguntungkannya iaitu bersabar dan redha.

Contoh 3:

Seorang bapa telah merancang sesuatu yang baik-baik untuk anak-anaknya untuk sambung belajar di sebuah institusi pengajian tinggi, namun terbentang di hadapannya akan aral yang membuatkan perancangannya tergendala, malah terpaksa dibatalkan.  Lalu dia membisikkan di dalam hatinya:

“ALLAH sedang menguji aku…”

Lebih kurang samalah dengan keadaan pada contoh 2 di atas.

Contoh 4:

Seorang lelaki dinaikkan pangkat ke suatu jawatan yang membolehkan beliau memperolehi gaji yang lebih lumayan dan tanggungjawab yang lebih besar serta prospek yang lebih luas.  Di dalam hatinya dia membisikkan:

“ALLAH sedang menguji aku…”

Terbentanglah di dalam hatinya akan beberapa pilihan, antaranya:

  1. Bersyukur kepada ALLAH, lantas memanfaatkan jawatan tersebut untuk mengimarahkan hukum ALLAH dalam organisasinya di samping mengkayakan sifat amanah yang diajar oleh Islam ke dalam dirinya.  –   lulus ujian!
  2. Berbangga dengan pencapaian diri, tidak bersyukur dan mengambil peluang dari syarikat untuk manfaat sendiri.  –  gagal ujian!

Atas fitrahnya yang ingin berjaya ujian, tentunya dia akan dengan berhati-hati memilih pilihan 1 supaya di sisi ALLAH dia berjaya.

Contoh 5:

Seorang remaja memiliki akses internet di kediamannya di asrama universiti.  Selain menggunakannya untuk memperolehi maklumat pembelajaran, dia juga selalu membuka laman-laman seperti Facebook, Youtube dan malah mempunyai blog sendiri.  Ketika menggunakan kemudahan tersebut, dia selalu membisikkan di dalam hatinya:

“ALLAH sedang menguji aku…”

Di dalam hatinya, dia menerbitkan dua pilihan untuk dia pilih, iaitu:

  1. Bersyukur kepada ALLAH dengan menggunakan kemudahan tersebut untuk meningkatkan diri dalam pelajaran dan kehidupannya.  Di samping itu menggunakan Facebook untuk saling menasihati dan berkongsi ilmu/tips beragama dengan rakan-rakannya.  Youtube digunakan untuk menonton kuliah/perbincangan agama/ilmu kehidupan.  Blognya pula disarati dengan perkongsian bermanfaat untuk dunia dan akhirat.  –  lulus ujian!
  2. Berseronok dengan kemudahan tersebut, tidak memanfaatkannya, malah digunakan dalam urusan sia-sia dan dosa.  –  gagal ujian!

Dia ingin berjaya ujian.  Maka secara sedar dia memilih pilihan pertama.

Hidup ini semuanya adalah ujian.  Dengan menyedari hakikat bahawa kehidupan ini semuanya adalah ujian, maka in shaa’ ALLAH, insan akan berhati-hati melaluinya.

Dia tidak akan tergopoh-gapah memilih tindakannya.  Dia tidak akan membiarkan perasaan atau nafsu memandu tindakannya.  Atau orang lain mempengaruhi tindakannya.

Sebaliknya, hatinya akan penuh sedar bahawa ia suatu ujian buat dirinya.  Dia akan berbicara di dalam hatinya mengenai pilihan yang bakal diredhai oleh Penciptanya iaitu ALLAH.  Dia akan melakukan pertimbangan, tindakan manakah yang bisa meluluskannya dan yang mana bakal menggagalkannya?  Yang pada akhirnya membuatkan dia berkecenderungan untuk memilih pilihan yang dapat meluluskannya pada ujian tersebut, in shaa’ ALLAH.

La haula wa la quwwata illa biLLAH.

Ya, kehidupan ini adalah semuanya ujian belaka!

Sangat berbeza sifat orang yang sedar dirinya sedang diuji dengan orang yang tidak sedar!

muzir.wordpress.com

Advertisements

3 responses to ““ALLAH Sedang Menguji Aku…”

  • Ridzuan Zukifly

    Syukran, perkongsian yang bermanfaat.. terutamanya contoh ke-5, akses internet utk pekerja. Agak dilema kerana adakah penggunaan internet di pejabat hanya mutlak berkaitan pekerjaan yg dibuat, maka menggunakan internet bagi tujuan peribadi adalah salah di sisi agama kita?

    Sebagaimana salah satu teguran UZAR dalam artikel berkaitan penggunaan harta pejabat utk kegunaan peribadi (menggunakan telefon pejabat utk menghubungi keluarga, menggunakan mesin fotostet utk fotostet bahan peribadi, dll), adakah dalam bab ini juga ada ruang-ruang yang membolehkan?

    Mohon pandangan ye.. terima kaseh.

    Like

    • Shahmuzir

      Akhi Ridzuan yang dihormati,

      Tidaklah layak untuk saya menjawab persoalan ini. Namun untuk perbincangan suka saya cadangkan sebagai jalan taqwa sebaik-baiknya kita menjauhinya.

      Jika mahu menggunakannya untuk keperluan peribadi, mungkin kita boleh tengok `uruf aktiviti pejabat. Mungkin jika mahu membaca email peribadi sedikit sebanyak, mahu membaca mesej peribadi dalam inbox Facebook atau menghantar pesanan melalui status facebook tidaklah keterlaluan perbuatan itu. Jangan meluangkan masa yang banyak dalam hal peribadi ketika bekerja.

      Sebagai kifarah (menebus dosa) perbuatan kita yang menggunakan peralatan/kemudahan pejabat untuk kegunaan peribadi, kita mungkin boleh lakukan yang berikut:
      a) Bekerja lebih masa tanpa buat tuntutan elaun.
      b) Membawa kerja pejabat ke rumah sekali-sekala.
      c) Membeli peralatan/alatulis untuk pejabat, contohnya kertas A4, pen dan sebagainya.
      d) dan sebagainya.

      Untuk mengelakkan terus dari menggunakan peralatan pejabat untuk kegunaan peribadi mungkin sukar kita jauhi. Orang yang pernah kerja di pejabat mungkin faham. Cuma kita cubalah minimakannya… 🙂

      Dikatakan Amirul Mukminin `Umar bin `Abdul `Aziz pernah memadamkan lampu pejabatnya ketika didatangi anaknya di pejabatnya untuk tujuan peribadi/keluarga. Beliau memadamkan lampu tersebut kerana tidak mahu menggunakan barang kerajaan untuk tujuan peribadi. Kisah tersebut selalu menjadi motivasi buat kita dalam isu ini.

      Allahu A`lam. Mohon pembetulan jika saya tersilap.

      Like

      • Ridzuan Zukifly

        Alhamdulillah, saya kira penjelasan yg diberikan sedikit sebanyak membetulkan kefahaman saya dalam hal ini. Jalan taqwa adalah sebaik-baik penyelesaian, namun tak dinafikan keculasan sering berlaku samada sedar mahupun tidak. Moga saya dapat memperbaikinya, insya Allah.
        Jazakallah khairan.

        Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: