Ingat ALLAH Dalam Keadaan Berdiri, Duduk & Berbaring

Ulul albab iaitu golongan manusia yang cerdik dan mempunyai akal yang sempurna lagi bersih mempunyai nilai yang tinggi di sisi ALLAH.  Mereka mempunyai banyak pengetahuan dan dapat mengenali hakikat sesuatu perkara.  Tidaklah mereka itu bersifat seperti orang bodoh, apatah lagi pekak dan bisu terhadap ilmu pengetahuan.

ALLAH `Azza wa Jalla menceritakan antara sifat Ulul Albab ialah mereka sentiasa mengingati ALLAH pada setiap masa samada mereka dalam keadaan berdiri, duduk mahupun dalam keadaan berbaring.  Bukan itu sahaja, bahkan mereka selalu melihat sekeliling dan berfikir akan kejadian langit dan bumi serta apa yang ada di dalamnya.

Hal ini ada disebut di dalam al-Quran surah aali `Imran, surah ke-3, ayat ke-191; ALLAH Ta`ala berfirman:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

“(Ulul Albab ialah) orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAH semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi.”

Tidak terhenti di situ sahaja, malah ALLAH Ta`ala mendeskripsikan sifat mulia yang terhasil dari perbuatan mengingati ALLAH setiap masa dan merenung penciptaan langit dan dunia itu dengan ayat berikut yang masih dalam ayat yang sama iaitu ayat 191:

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“(sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini (kejadian langit dan bumi serta semua kejadian) dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka.”

Ya, Ulul Albab bukan sahaja ingat ALLAH pada setiap masa.  Bukan sahaja sentiasa melihat dan berfikir akan kejadian makhluq yang diciptakan ALLAH.  Bahkan mereka memuji ALLAH dan mensucikan ALLAH.  Lalu datanglah perasaan harap dan takut mereka kepada ALLAH supaya dijauhkan dari azab api neraka.  Taqwa, raja’ dan khauf.

Ingat ALLAH Dalam Keadaan Berdiri, Duduk & Berbaring

Al-Imam Ibnu Kathir telah membawakan satu hadith bagi menerangkan salah satu sifat Ulul Albab apabila menafsirkan ayat {يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ} iaitu “mereka ingat ALLAH dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring”.

Dari `Imran bin Hussain, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“Solatlah dengan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah sambil duduk, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah sambil berbaring.”

(HR al-Bukhari & Muslim)

Seterusnya al-Imam Ibnu Kathir menyatakan:

“Maksudnya mereka tidak putus-putus berdzikir dalam semua keadaan, baik dengan hati mahupun dengan lisan mereka.”

Manakala Prof Dr Hamka di dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Azhar menyebut:

“Ertinya orang yang tidak pernah lepas ALLAH dari ingatannya.  Di sini disebut ‘yadzkuruuna’ yang bererti ingat.  Berpokok dari kalimat dzikir.  Erti dzikir ialah ingat.  Dan disebutkan pula bahawa dzikir itu hendaklah bertali di antara sebutan dan ingatan.  Kita sebut nama ALLAH dengan mulut kerana kita telah terlebih dahulu teringat di dalam hati.  Maka teringatlah dia sewaktu berdiri, duduk termenung atau tidur berbaring.”

Itulah maksud ayat al-Quran {يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ}.  Berdzikir mengingati ALLAH dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring bermaksud ingat ALLAH sepanjang masa.  Zahir ayat pun boleh difahami seperti itu.

Amatlah janggal bagi sebahagian ummat Islam yang menggunakan ayat {يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ} sebagai suatu dalil dan hujah bagi menyokong ritual khas berdzikir sambil menari-nari.  Sebahagian puak-puak sufi dan ahli tareqat memang sengaja menjadikan ayat tersebut sebagai dalih bagi membenarkan perbuatan mereka berdzikir dalam keadaan menari-nari.  Malah mereka mencipta pelbagai bentuk tarian bagi tujuan berdzikir.  Jauh dari maksud sebenar ayat al-Quran di atas.  Keumuman maksud ayat tersebut telah dijadikan dalil untuk amalan rekaan mereka.

Jika dilihat pada pengamalan mereka yang berdzikir sambil menari ini pasti hati manusia yang bersih akan menolaknya.  Berpusing sana-sini, melompat-lompat, menyanyi-nyanyi, malah ada yang sampai tidak sedarkan diri, bagai dirasuk dan pengsan.  Adakah cara begini cara yang benar untuk berdzikir?  SubhanAllah, bukan begini cara Rasulullah ﷺ berdzikir.

Cara yang mereka lakukan amat bertentangan dengan suruhan ALLAH agar berdoa dan berdzikir dalam keadaan merendah diri dan bersuara perlahan.

ALLAH Ta`ala berfirman:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

“Berdoalah kepada TUHANmu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya DIA tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-A`raf, 7:55)

ALLAH Ta`ala berfirman:

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menguatkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.”

(Surah al-A`raf, 7:205)

Cara berdoa dan dzikir yang tepat.

Cara berdoa dan dzikir yang tepat.

Dzikir digalakkan dilakukan sepanjang masa, dilakukan dalam keadaan sedar dan ingat, mendatangkan ingatan itu di dalam hati, dilakukan dengan merendah diri dan takut serta tidak meninggikan suara.

Bukan dilakukan dzikir itu secara menari-nari, menjerit-jerit, bising, beramai-ramai, berkompang, bergendang, bercampur lelaki dan perempuan dan sampai pengsan!  Jadi menggunakan ayat yang mempunyai maksud “berdzikir dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring” sebagai dalil untuk membenarkan perbuatan mereka berdzikir sambil menari-nari dan menyanyi, ia sebenarnya adalah suatu perbuatan yang menyalahi maksud al-Quran.

Jadi, ada dua perkara yang diharapkan dapat diambil perhatian di sini iaitu:

  • Dzikir ALLAH setiap masa kerana mengharapkan redhaNYA.
  • Dzikir ALLAH mengikut cara yang disyariatkan.  Bukan ikut nafsu dan selera sendiri.

Semoga dengan mengetahui hal ini, menjadikan kita seseorang yang tergolong dalam kalangan Ulul Albab, iaitu seorang hamba yang sentiasa ingat ALLAH dalam keadaan apa pun, selalu berfikir akan kejadian alam ciptaan ALLAH, lalu memujiNYA dan mensucikanNYA serta penuh rasa harap dan takut kepada azab seksaNYA, amin…

Dan semoga kita berdzikir, yakni menyebut dan mengingati ALLAH dengan penuh adab kepadaNYA sebagaimana yang DIA mahu, amin…

muzir.wordpress.com


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: