Doa Apabila Umur Mencecah 40 Tahun

Umur 40 adalah umur kematangan fikiran seseorang manusia.  Pada saat umur 40 tahun, seseorang manusia sewajarnya sudah mempunyai kefahaman dan kesabaran yang sempurna.  Ya, sepatutnya begitulah.

Dikatakan bahawa para Nabi `alaihim as-solatu wa as-salam dilantik menjadi utusan ALLAH pada umur masing-masing 40 tahun.  Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam juga begitu.  Di dalam kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Sheikh Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri, disebutkan bahawa umur Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi ialah pada umur Baginda 40 tahun, 6 bulan dan 12 hari mengikut kalendar qamariah (perkiraan bulan).  Manakala jika mengikut kalendar syamsiah (perkiraan matahari), umur Baginda dilantik Nabi ialah pada umur 39 tahun, 3 bulan dan 12 hari.  Allahu A`lam.

Di dalam al-Quran ada dinyatakan suatu ayat yang di dalamnya mengandungi suruhan supaya manusia berbuat baik kepada ibubapa mereka yang bersusah payah melahir dan membesarkan mereka.  Lalu disarankan supaya manusia yang sudah mencapai umur 40 agar berdoa kepada ALLAH dengan suatu doa tertentu seperti berikut:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.  Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”

(Surah al-Ahqaf, 46:15)

Doa apabila umur mencecah 40 tahun

Di dalam doa di atas mengandungi beberapa inti yang sangat penting kita semua perhatikan, terutama yang sudah mencapai umur 40 tahun, iaitu:

  1. Memohon kepada ALLAH agar diberikan ilham dan kesedaran agar segera bersyukur kepada ALLAH terhadap segala nikmat yang telah DIA berikan kepada kita dan kepada ibubapa kita.
  2. Memohon kepada ALLAH agar diberikan hidayah dan taufiq untuk mengerjakan amalan-amalan soleh yang diredhai olehNYA.
  3. Memohon kepada ALLAH agar dikurniakan kebaikan kepada dzuriat kita.
  4. Menyatakan kepada ALLAH bahawa kita mahu bertaubat, sedang bertaubat dan sudah bertaubat.
  5. Menyatakan kepada ALLAH bahawa kita ini adalah hamba yang menyerah diri sepenuhnya kepadaNYA.  Patuh pada apa yang disuruh.  Jauh pada apa yang dilarang.

Itulah inti kepada doa di atas.

Mana-mana insan yang berbuat baik kepada ibubapa mereka dan lalu perbuat apa yang dinyatakan di atas, maka ALLAH berfirman:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ نَتَقَبَّلُ عَنْهُمْ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَنَتَجَاوَزُ عَن سَيِّئَاتِهِمْ فِي أَصْحَابِ الْجَنَّةِ ۖ وَعْدَ الصِّدْقِ الَّذِي كَانُوا يُوعَدُونَ

“Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.”

(Surah al-Ahqaf, 46:16)

Sungguh, umur 40 tahun adalah suatu peringkat usia yang mesti diambil perhatian oleh semua manusia.  Sebenarnya banyak kata-kata hikmah yang dikaitkan dengan umur 40 ini, namun cukuplah kita perhatikan ayat di atas sebagai suatu peringatan yang jitu dan padu serta menginsafkan.

Yang masih main-main, berhentilah main-main.  Duduk dan renungkan kembali akan segala nikmat yang telah dinikmati selama ini.  Dan renungkan pula destinasi hakiki perjalanan kehidupan ini.  Ke mana hendak kita tempatkan diri ini?  Ke Syurga kah?  Atau ke Neraka kah?  Kepada redha ALLAH kah?  Atau murka ALLAH kah?  Fikir!!!

Itulah antara perkara penting yang semestinya diberikan perhatian oleh sesiapa sahaja yang umurnya sudah menginjak ke 40 tahun.  Apatah lagi yang sudah melepasinya.

Yang sudah berumur 40 tahun, maka selayaknya diperhatikan dalam-dalam akan maksud doa di atas.  Yang semakin dekat mencecah umur 40 tahun, maka bersiap sedialah.

Samada kita ini sudah berumur 40 tahun atau belum, hakikatnya kematian itu tidak pernah memilih usia.  Samada muda atau tua, apabila taqdir kematian datang menyapa, maka matilah dia.  Justeru, perhatikanlah makna doa di atas walau siapa pun kita.  Ayuh, jangan bertangguh!

Kepada ALLAH lah kita mohon pertolongan supaya kita dapat mengingatiNYA selalu, bersyukur kepadaNYA selalu dan dapat beribadah dengan baik kepadaNYA selalu.

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Ya ALLAH, tolonglah aku supaya aku dapat mengingatiMU, bersyukur kepadaMU dan beribadah dengan baik kepadaMU”

(HR Abu Daud dan an-Nasa’i dengan sanad yang sahih)

muzir.wordpress.com 

==========================

Nota tambahan:

Ada 2 cara mengira umur kita.  Iaitu mengiranya menurut kalendar qamariah iaitu berdasarkan kiraan bulan.  Atau mengiranya menurut kalendar syamsiah, iaitu berdasarkan kiraan matahari.

Sebagai contoh, seseorang yang lahir pada 17 Januari 1977 adalah bersamaan Isnin, 27 Muharram 1397 (rujukan).  Maka, pada saat tulisan ini ditulis iaitu 25 Mei 2015 bersamaan 7 Sya`ban 1436; umurnya ialah:

  • 38 tahun, 4 bulan dan 8 hari – kalendar syamsiah.
  • 39 tahun, 6 bulan dan 10 hari – kalendar qamariah.

Lebih kurang begitulah.

Maka umurnya sudah sangat hampir kepada umur penting ini.  Mesti bawa diri untuk segera taubat dan hayati doa di atas.  ALLAH al-Musta`an.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: