Hati-Hati Dengan Manusia Seperti `Amru bin Luhay

Orang-orang `Arab di Makkah telah menerima dan menganuti agama Nabi Ibrahim `alaihis salam melalui seruan anaknya Nabi Isma`il `alaihis salam.  Majoriti mereka mengesakan ALLAH, menyembahNYA, tidak mensyirikkanNYA serta mengamalkan syari`at Nabi Ibrahim `alaihis salam.

Namun lama-kelamaan setelah melalui beberapa zaman, kebanyakan mereka telah pun lupa sedikit demi sedikit akan ajaran Nabi Ibrahim itu.  Ada yang mereka masih ingat dan ada yang mereka telah lupakan.  Namun mereka tetap tidak lupakan ajaran yang utama iaitu mengesakan ALLAH dan tidak mensyirikkan ALLAH.

Hal tersebut berlanjutan sehinggalah munculnya lelaki bernama `Amru bin Luhay (عمرو بن لحي).  Beliau merupakan seorang yang dikenali ketokohannya sebagai seorang yang baik, banyak melakukan kebaikan, suka menderma dan amat menjaga perkara-perkara berkaitan agama.  Sebagai pemimpin Bani Khuza`ah, beliau bukan sahaja dihormati sebagai tokoh pemimpin, bahkan disayangi masyarakat disebabkan oleh sifat baik dan kedermawanan beliau.  Lebih dari itu, masyarakat juga telah menganggap beliau sebagai seorang `alim besar, malah wali yang mulia.

Atas penghormatan dan kemuliaan yang diberikan oleh masyarakat kepadanya, maka banyak kata-katanya telah diambil sebagai panduan dan rujukan.

Pada zaman `Amru bin Luhay inilah berhala mulai disembah oleh orang-orang `Arab di Makkah.  Idea penyembahan berhala telah dibawa oleh `Amru setelah beliau melihat aktiviti penyembahan berhala di Syam.  Beliau menganggap apa yang dilakukan di Syam itu adalah suatu yang baik kerana Syam adalah bumi para Rasul dan kitab-kitab suci telah diturunkan di sana.  Beliau telah membawa berhala Hubal ke Makkah dan meletakkannya di dalam Ka`bah.  Orang-orang `Arab Makkah telah diajak supaya menyembah berhala tersebut.  Disebabkan `Amru bin Luhay dilihat sebagai sebagai orang yang baik, `alim dan malah dianggap sebagai wali, maka ajakan beliau disambut baik oleh masyarakat Makkah ketika itu.  Lama-kelamaan perbuatan penyembahan berhala ini semakin merebak ke tempat-tempat lain kerana mengikuti masyarakat Makkah yang menjadi penguasa Ka`bah.

Sejak itu banyak amalan-amalan baru berkaitan agama ditambah dan dicipta oleh `Amru bin Luhay.  Beliau dan masyarakat Makkah menganggap itu semua sebagai bid`ah yang baik.  Mereka tidak menganggap mereka telah mengubah syariat Nabi Ibrahim `alaihis salam.  Mereka masih mendakwa bahawa mereka pengikut agama Nabi Ibrahim, sedangkan telah banyak inovasi dan penyelewengan berlaku.  Bukan sahaja bid`ah telah berleluasa, bahkan mereka juga dengan jelas telah mensyirikkan ALLAH `Azza wa Jalla!

Antara penyelewengan agama yang telah berlaku hasil tangan `Amru bin Luhay ialah menjadikan amalan i`tikaf di hadapan berhala-berhala lalu mengadu kepadanya, menjadikan berhala-berhala sebagai juru syafa`at di sisi ALLAH dalam menyampaikan hajat dan memohon pertolongan, melakukan haji dan tawaf di sekeliling berhala serta tunduk sujud kepadanya, melakukan korban atas nama berhala-berhala, menazarkan tanaman dan ternakan kepada berhala-berhala, menilik nasib, mempercayai sial, mengamalkan tangkal, menganggap orang-orang Quraisy adalah istimewa kerana menjadi penguasa Makkah, memandang rendah orang `Arab lain dan lain-lain amalan yang mendatangkan keuntungan kepada penduduk Makkah.  Mereka melakukan penyelewengan ini atas nama agama.  Mereka mencampur aduk amalan-amalan syirik dan bid`ah dengan ajaran sebenar Nabi Ibrahim seperti memuliakan Ka`bah, bertawaf mengelilinginya, mengerjakan haji, `umrah, korban dan lain-lain lagi.

`Amru bin Luhay adalah pelopor amalan syirik dan bid`ah `Arab Makkah.  Betapa tercelanya perbuatan beliau itu!

Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam ada menyebut tentang `Amru bin Luhay ketika Baginda sedang berkhutbah.  Sabda Baginda:

وَلَقَدْ رَأَيْتُ جَهَنَّمَ يَحْطِمُ بَعْضُهَا بَعْضًا حِينَ رَأَيْتُمُونِي تَأَخَّرْتُ، وَرَأَيْتُ فِيهَا عَمْرَو بْنَ لُحَىٍّ وَهُوَ الَّذِي سَيَّبَ السَّوَائِبَ

“Dan sungguh aku telah melihat Api Neraka Jahannam yang apinya saling membakar satu sama lain saat kalian melihat aku mengundur, dan aku melihat di dalamnya ada `Amru bin Luhay dan dialah orang yang mula-mula memperkenalkan Sa’ibah (bernazar kepada berhala untuk membebaskan haiwan ternakan yang memenuhi syarat tertentu).”

(HR al-Bukhari.  Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu) link | link

Kisah `Amru bin Luhay dan perbuatan-perbuatan syirik serta bid`ah-bid`ah yang dilakukan oleh beliau ada diceritakan satu per satu di dalam kitab ar-Rahiq al-Makhtum dalam bab Agama Orang Arab iaitu agama sebelum datangnya wahyu kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Setelah mengetahui kisah manusia bernama `Amru bin Luhay ini, lalu apa yang boleh diambil manfaat buat kita semua?

In shaa’ ALLAH, berikut adalah secara ringkas perkara yang boleh kita ambil sebagai pengajaran:

  1. Manusia bersifat dengan sifat lupa.  Jika tidak dihayati, diamali dan diingati, maka manusia akan melupakan suatu yang penting termasuk agama dan ajaran-ajarannya.
  2. Manusia yang bersifat baik, terpuji, dermawan dan mengambil berat hal agama selalunya akan dihormati, disayangi dan dipercayai masyarakat.
  3. Namun jangan terlalu cepat percaya.  Dikhuatiri individu-individu seperti ini membawa ajaran songsang dan jauh dari agama yang sebenar.  Masyarakat mudah terpedaya dengan orang seperti ini lantaran terzahir padanya sifat warak dan baik budi pekerti.  Lebih dahsyat lagi akibatnya ialah apabila seseorang itu dianggap `alim dan malah wali.  Dengan serban yang besar dan jubah yang hebat, masyarakat mudah terpengaruh dan tertipu.
  4. Syirik dan bid`ah adalah dosa besar yang sangat dibenci oleh ALLAH.  Jangan pandang remeh hal ini!
  5. Inovasi dan pengubahsuaian dalam agama tidak boleh dianggap sebagai suatu yang baik kerana ia adalah suatu yang tidak diredhai ALLAH.  Ia adalah bid`ah.  Dan bid`ah adalah suatu yang tercela dalam agama.

Semoga dengan tulisan ini menjadikan kita lebih faham akan sifat dunia ini.  Bahawa sejarah yang berlaku sebelum ini akan sentiasa berputar dan berulang kali berlaku pada banyak zaman.  Dan manusia seperti `Amru bin Luhay memang ada pada setiap zaman.  Maka, berhati-hatilah!

Kepada ALLAH kita mohon akan hidayah dan taufiq, amin…

muzir.wordpress.com


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: