Monthly Archives: August 2015

Jom TT! :D

Jom TT!  Itulah antara seruan yang selalu terpapar di media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram.  Perbualan lebih meriah dan bermakna apabila dapat bersua muka.  Bermacam-macam cerita keluar dari mulut masing-masing.  Disahut dengan gelak ketawa dan gurauan.  Memang seronok!

Berbual sambil minum Teh Tarik (TT) memang mengasyikkan.  Masa yang berlalu tidak terasa lama kerana berjumpa dengan kawan-kawan yang ‘sama kepala’.  Berkepul-kepul asap di premis perjumpaan kerana ramai juga yang Tarik Tembakau (TT) dan menghembuskannya sesuka hati.  Sambil bercakap, sambil keluar asap.  Memang Tambah Thrill (TT)!  1 2 3 4 5

Saya tidak berhasrat untuk menyentuh kebaikan atau keburukan sesi TT.  Memang ada kebaikan jika sekali sekala berjumpa untuk merapatkan persahabatan dan meluaskan rangkaian (networking).  Tapi jika selalu sangat, memang tidak bagus.  Apa yang tidak bagus?  Itu tuan/puan sendiri boleh senaraikan.  Yang merisaukan ialah apabila sesi TT itu dapat menjebakkan kita ke dalam perkara yang sia-sia dan dosa.

Di kesempatan ini, saya sekadar mahu mengajak kita semua agar ber-TT juga.  Tapi yang ini TT yang lain.

TT yang mana?

TT dengan maksud Tambah Taqwa.

Ya, itulah dia.

TT yang ini lebih bermanfaat untuk diri sendiri.  Yang mana manfaatnya itu boleh membawa kita menjadi orang yang sangat beruntung di dunia dan di Akhirat.

Banyak cara untuk kita tambah taqwa dalam diri kita.  Antaranya ialah dengan mentadabbur ayat-ayat al-Quran, menghayati hadith-hadith Nabi, mendengar nasihat-nasihat agama, duduk di dalam majlis ilmu, menziarahi kubur, menjenguk orang sakit, mendampingi orang-orang susah, iktikaf di masjid, merenung kejadian alam sekeliling dan lain-lain lagi.

Bahkan jika sambil minum teh tarik dengan rakan-rakan membincangkan soal yang dapat menambahkan iman dan taqwa, itu juga sesi TT yang bermanfaat juga.  Dua dalam satu.

Mungkin inilah masanya untuk kita sama-sama muhasabah di manakah kita gunakan masa dan umur kita?  Muhasabah balik apa tujuan kita di dunia ini?

Jika mahu berjumpa ke sesi TT, jadikanlah ia sesi TT yang lebih bermakna dan menguntungkan.  Mungkin kita boleh melihat bagaimana sayyidina `Umar bin al-Khattab dan Ubai bin Ka`ab (radhiAllahu `anhuma) berinteraksi saat mereka berdua berjumpa (baca di sini).  Atau mungkin kita boleh mengambil pengajaran dari satu ungkapan yang cukup popular keluar dari mulut sayyidina Mu`adz bin Jabal radhiAllahu `anhu tatkala berjumpa dengan rakan-rakannya, iaitu:

إجلس بنا نؤمن ساعة

“Duduklah bersama kami.  Kita beriman sebentar”

Betapa mereka para salafussoleh sangat mengambil berat akan masa mereka supaya diisi dengan sesuatu yang menambah iman dan menyebabkan mereka bertaqwa.  Allahu Akbar!

Jom TT!  😀

Jom Tambah Taqwa!

Jangan Tambah Teruk!

muzir.wordpress.com


Susu Ibu & Peranan Suami

Susu-susu formula yang terjual di pasaran sebenarnya meniru-niru dan cuba jadi sehebat susu ibu.  Bermacam-macam kaedah dan cara dilakukan dengan memperkenalkan jenama itu dan ini.  Tapi takkan mampu.

Amat sayang sekali kalau anak-anak kita tidak mendapat kebaikan susu ibu sedangkan ia sudah ada pada badan si ibu.  Terhasil dari darah dan daging si ibu yang mulia.  Tak perlu dibancuh dan disediakan.  ALLAH memang suburkan ia pada tubuh si ibu.  Khasiatnya diadun sendiri oleh Yang Maha Pencipta.  Ia khas untuk bayi kita.  Manfaatkanlah dan kenyangkanlah anak-anak kita dengan susu ibunya.

Kalau zaman dahulu, tatkala teknologi susu formula belum ada, ramai bayi menyusu dengan penjaga mereka yang dipanggil ibu susuan.  Di samping menyusu dengan ibu sendiri, mereka juga kadang-kala menyusu dengan ibu susuan mereka atas banyak sebab.  Hal ini menjadikan mereka anak susuan kepada ibu susuan tersebut.  Darjat mereka berdua telah diangkat dari manusia asing menjadi suatu ikatan yang lebih dekat dari sudut kekeluargaan.  Malah diakui oleh syariat Islam.

Ya, bayi manusia menyusu dengan susu manusia.  Itulah maksudnya.

Apatah lagi susu ibu sendiri.  Lagilah istimewa!

Setelah mengetahui kepentingan menyusukan anak dengan susu ibu, kadang-kadang si ibu menghadapi masalah dan tekanan perasaan akibat dari susu yang sukar untuk keluar.  Lalu ramailah yang menyerah kalah dan bertukar ke susu formula.  Ia jalan mudah untuk keluar dari masalah tersebut.  Ini memang biasa berlaku.  Tapi ia bukanlah solusi yang terbaik dan menguntungkan.

Dalam hal ini saya suka hendak fokuskan kepada peranan si bapa.  Di sinilah peranan si suami.  Iaitu memberi sokongan dan motivasi kepada si ibu supaya si ibu kembali bersemangat dan sedar akan kepentingan susu ibu untuk anak mereka sendiri.  Bukan anak orang lain.  Belikan mereka bahan-bahan bacaan yang dapat memberikan maklumat tambahan dan jitu betapa pentingnya dan senangnya menyusu anak dengan susu ibu.

Selain itu, kenalkan juga si ibu dengan komuniti yang menyokong penyusuan susu ibu.  Jika di internet, ada laman web komuniti seumpama itu iaitu www.susuibu.com.  Isteri saya banyak mendapat maklumat dari situ.  Contohnya panduan penyusuan yang tepat, perkongsian masalah, soal-jawab, produk-produk perahan susu ibu yang sesuai dan sebagainya.  Isteri saya selalu berkongsi maklumat dengan saya mengenainya dan dari situlah kami sama-sama komited dengan penyusuan susu ibu.

Sesungguhnya, semangat sahaja tidak mencukupi.  Teori sahaja tidak memadai.  Tetapi tindakan dan sokongan si suami dalam bentuk material, tenaga, masa dan wang memang perlu terlibat sama.  Apatah lagi jika si ibu itu berkerjaya.  Lagi lah perlukan persiapan mental dan fizikal yang lebih.  Apabila di rumah, si ibu menyusukan si bayi 100% dengan susunya.  Kemudian perlu diperah pula untuk dibuat stok untuk hari esok dan kemudian.  Di pejabat juga terpaksa perah juga.  Sungguh cerewet dan memang membebankan.  Hanya ibu-ibu yang berkerjaya yang komited dengan penyusuan ibulah yang faham situasi tersebut.  Berat mata si suami melihatnya, berat lagi pengorbanan si ibu hendak menempuhinya.

Justeru, semangat yang kuat, iltizam yang tinggi dan pengorbanan si ibu amat-amat diperlukan.  Penggunaaan alat perahan yang betul dan sesuai juga penting bagi memudahkan si ibu.  Isteri saya sudah banyak kali bertukar alat perahan susu atas banyak sebab seperti menyakitkan, tak efisyen dan sebagainya.  Memang melibatkan kos juga.  Sejak anak pertama hingga anak kelima macam-macam produk digunakan.  Setelah menemui produk yang sesuai, barulah proses perahan menjadi mudah, lancar, efisyen dan tidak menyakitkan.

Hari ini, kepentingan penyusuan ibu sudah semakin disedari.  Hospital-hospital telah mengadakan kempen dan meletakkan bahan kempen di tempat awam untuk dibaca oleh masyarakat.  Pamplet-pamplet mengenainya sudah banyak tersebar di tempat-tempat tertentu.  Radio dan televisyen juga telah memainkan peranan yang sama dengan mengadakan talk-show mengenainya.  Dan malah ada pihak yang mengadakan ceramah, seminar dan sebagainya.  Dengan adanya ini semua, si suami boleh menjadikan dirinya sebagai pemudah cara supaya si isteri mudah mengakses kepada kemudahan-kemudahan tersebut.

Kita sebagai suami tentunya mahu yang terbaik untuk anak-anak kita.  Dan ketahuilah bahawa susu ibulah susu terbaik untuk anak-anak kita.  Dan kita tak perlu pergi jauh untuk mendapatkannya.  ALLAH sudah menjadikan ia tersedia dalam tubuh isteri kita.

Sokonglah isteri kita.  Berilah dia semangat.  Jangan biarkan dia keseorangan dalam menempuhinya.  Belailah dia.  Manjakanlah dia.  Turutilah permintaannya yang mahu ini dan itu bagi menjayakan usaha mulia tersebut.  Permudahkan dia.  Jagalah emosinya.  Mudah-mudahan yang baik-baik keluar dari tubuh isteri kita untuk anak-anak kita, in shaa’ ALLAH.

Dan yang terakhir, janganlah pisahkan usaha kita dari meminta pertolongan ALLAH.  Mesti seiring.  Usaha, doa dan tawakkal.  Itulah sifat kita sebagai orang-orang yang mempunyai iman.  Mintalah kepada ALLAH dengan tulus dan ikhlas akan niat dan kehendak kita mahu menyusukan anak kita dengan susu ibunya.  Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengabulkan Permohonan.

Susu ibu adalah terbaik.
Berilah ia kepada anak-anak kita.
Sayangi dan sokonglah isteri kita.

muzir.wordpress.com


Doa Yang Diajar Nabi SAW Kepada Abu Bakr RA.

image

Khatib Jumaat siang tadi menyampaikan satu hadith dari Sahih al-Bukhari, iaitu:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ الصِّدِّيقَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم
Bahawa Abu Bakr as-Siddiq radhiAllahu `anhu telah bertanya kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلِّمْنِي دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِي صَلاَتِي.
“Wahai Rasulullah, ajarkanlah aku suatu doa yang aku boleh berdoa dengannya di dalam solatku.

قَال
Berkata Rasulullah.

قُل
Sebutlah…

ِ اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مِنْ عِنْدِكَ مَغْفِرَةً، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Ya ALLAH, sesungguhnya aku telah menzalimi diri aku sendiri dengan kezaliman yang banyak sekali. Dan tidaklah ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan ENGKAU sahaja. Maka berilah keampunan buatku dari sisiMU akan keampunan. Sesungguhnya ENGKAU Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Setelah selesai membacakan hadith, khatib lalu menyebutkan 4 pengajaran:

1) Belajar adalah proses yang berterusan.  Abu Bakr walaupun seorang yang paling awal masuk Islam dan menjadi sahabat yang alim dan hebat, tetap terus mahu belajar dan bertanya.

2) Belajar dan bertanyalah sesuatu yang kita dapat jadikan amal untuk diri sendiri.  Belajar dan bertanya untuk amal. Bukan sibuk bertanya itu dan ini pasal orang lain.

3) Dalam solat diperbolehkan berdoa.  Antara waktu yang biasa Nabi berdoa ialah pada hujung solat, iaitu sebelum memberi salam.

4) Apabila berdoa, sebutlah Nama-Nama ALLAH Yang Indah, Asma al-Husna.  Ia antara adab yang sangat penting.

±15 minit sahaja tempoh khutbahnya (2 khutbah).  Itu sahaja penyampaiannya.  Sangat objektif dan jelas. Semoga ALLAH pelihara khatib tersebut dan semua yang mendengar khutbahnya, amin…

– muzir.wordpress.com


Sumbangan Pembelian Buku Untuk Pusat Kebajikan Anak Yatim & Miskin

***KUTIPAN SUDAH DITUTUP***

Kelihatan novel-novel remaja di rak buku sebuah rumah kebajikan untuk anak-anak yatim dan miskin.  Tentunya ia menjadi bahan bacaan santai buat anak-anak tersebut hasil sumbangan dan derma orang ramai yang baik hati.  Semoga ALLAH balas kebaikan mereka dengan kebaikan jua, amin.  

Saya rasa tak sedap hati.  Walaupun mungkin ceritanya baik dan bahasanya indah, tapi yang merisaukan saya ialah novel-novel remaja ini biasanya bertemakan cinta dan kecewa.  Timbul rasa kasihan kepada anak-anak ini yang mungkin dikacau perasaan mereka tatkala membaca novel-novel sebegitu.  Sudahlah haus kasih sayang, dimain-main pula emosi mereka dek bahan-bahan bacaan seperti itu.

Saya pernah jadi anak yatim.  Jadi sedikit sebanyak saya dapat mengagak emosi mereka.  Saya pernah rasa kesannya sewaktu masa dahulu.  Memang kacau betul perasaan tatkala itu!  Selepas setahun saya membaca novel-novel remaja yang ketika dahulu sarat dengan tema cinta dan kecewa, saya lalu berhenti dan tidak meneruskannya lagi.  Saya memilih untuk membaca bahan bacaan yang lebih bermanfaat dan melahirkan motivasi.  Seingat saya ketika itu saya di tingkatan 2 rasanya.

Bukan bahan bacaan awang-awangan sepatutnya dihidangkan buat mereka.  Sewajarnya bahan bacaan yang mengandungi unsur motivasi, inspirasi dan perjuanganlah menjadi santapan hati, minda dan perasaan mereka.  Supaya mereka lebih bersemangat dan kuat.  Supaya kukuh jatidiri.  Supaya cekal dan berani.  Supaya teguh iman di hati.  Itulah yang mereka perlukan sebagai bekalan untuk diri.

projek buku untuk rumah anak2 yatim poster

Continue reading


%d bloggers like this: