Susu Ibu & Peranan Suami

Susu-susu formula yang terjual di pasaran sebenarnya meniru-niru dan cuba jadi sehebat susu ibu.  Bermacam-macam kaedah dan cara dilakukan dengan memperkenalkan jenama itu dan ini.  Tapi takkan mampu.

Amat sayang sekali kalau anak-anak kita tidak mendapat kebaikan susu ibu sedangkan ia sudah ada pada badan si ibu.  Terhasil dari darah dan daging si ibu yang mulia.  Tak perlu dibancuh dan disediakan.  ALLAH memang suburkan ia pada tubuh si ibu.  Khasiatnya diadun sendiri oleh Yang Maha Pencipta.  Ia khas untuk bayi kita.  Manfaatkanlah dan kenyangkanlah anak-anak kita dengan susu ibunya.

Kalau zaman dahulu, tatkala teknologi susu formula belum ada, ramai bayi menyusu dengan penjaga mereka yang dipanggil ibu susuan.  Di samping menyusu dengan ibu sendiri, mereka juga kadang-kala menyusu dengan ibu susuan mereka atas banyak sebab.  Hal ini menjadikan mereka anak susuan kepada ibu susuan tersebut.  Darjat mereka berdua telah diangkat dari manusia asing menjadi suatu ikatan yang lebih dekat dari sudut kekeluargaan.  Malah diakui oleh syariat Islam.

Ya, bayi manusia menyusu dengan susu manusia.  Itulah maksudnya.

Apatah lagi susu ibu sendiri.  Lagilah istimewa!

Setelah mengetahui kepentingan menyusukan anak dengan susu ibu, kadang-kadang si ibu menghadapi masalah dan tekanan perasaan akibat dari susu yang sukar untuk keluar.  Lalu ramailah yang menyerah kalah dan bertukar ke susu formula.  Ia jalan mudah untuk keluar dari masalah tersebut.  Ini memang biasa berlaku.  Tapi ia bukanlah solusi yang terbaik dan menguntungkan.

Dalam hal ini saya suka hendak fokuskan kepada peranan si bapa.  Di sinilah peranan si suami.  Iaitu memberi sokongan dan motivasi kepada si ibu supaya si ibu kembali bersemangat dan sedar akan kepentingan susu ibu untuk anak mereka sendiri.  Bukan anak orang lain.  Belikan mereka bahan-bahan bacaan yang dapat memberikan maklumat tambahan dan jitu betapa pentingnya dan senangnya menyusu anak dengan susu ibu.

Selain itu, kenalkan juga si ibu dengan komuniti yang menyokong penyusuan susu ibu.  Jika di internet, ada laman web komuniti seumpama itu iaitu www.susuibu.com.  Isteri saya banyak mendapat maklumat dari situ.  Contohnya panduan penyusuan yang tepat, perkongsian masalah, soal-jawab, produk-produk perahan susu ibu yang sesuai dan sebagainya.  Isteri saya selalu berkongsi maklumat dengan saya mengenainya dan dari situlah kami sama-sama komited dengan penyusuan susu ibu.

Sesungguhnya, semangat sahaja tidak mencukupi.  Teori sahaja tidak memadai.  Tetapi tindakan dan sokongan si suami dalam bentuk material, tenaga, masa dan wang memang perlu terlibat sama.  Apatah lagi jika si ibu itu berkerjaya.  Lagi lah perlukan persiapan mental dan fizikal yang lebih.  Apabila di rumah, si ibu menyusukan si bayi 100% dengan susunya.  Kemudian perlu diperah pula untuk dibuat stok untuk hari esok dan kemudian.  Di pejabat juga terpaksa perah juga.  Sungguh cerewet dan memang membebankan.  Hanya ibu-ibu yang berkerjaya yang komited dengan penyusuan ibulah yang faham situasi tersebut.  Berat mata si suami melihatnya, berat lagi pengorbanan si ibu hendak menempuhinya.

Justeru, semangat yang kuat, iltizam yang tinggi dan pengorbanan si ibu amat-amat diperlukan.  Penggunaaan alat perahan yang betul dan sesuai juga penting bagi memudahkan si ibu.  Isteri saya sudah banyak kali bertukar alat perahan susu atas banyak sebab seperti menyakitkan, tak efisyen dan sebagainya.  Memang melibatkan kos juga.  Sejak anak pertama hingga anak kelima macam-macam produk digunakan.  Setelah menemui produk yang sesuai, barulah proses perahan menjadi mudah, lancar, efisyen dan tidak menyakitkan.

Hari ini, kepentingan penyusuan ibu sudah semakin disedari.  Hospital-hospital telah mengadakan kempen dan meletakkan bahan kempen di tempat awam untuk dibaca oleh masyarakat.  Pamplet-pamplet mengenainya sudah banyak tersebar di tempat-tempat tertentu.  Radio dan televisyen juga telah memainkan peranan yang sama dengan mengadakan talk-show mengenainya.  Dan malah ada pihak yang mengadakan ceramah, seminar dan sebagainya.  Dengan adanya ini semua, si suami boleh menjadikan dirinya sebagai pemudah cara supaya si isteri mudah mengakses kepada kemudahan-kemudahan tersebut.

Kita sebagai suami tentunya mahu yang terbaik untuk anak-anak kita.  Dan ketahuilah bahawa susu ibulah susu terbaik untuk anak-anak kita.  Dan kita tak perlu pergi jauh untuk mendapatkannya.  ALLAH sudah menjadikan ia tersedia dalam tubuh isteri kita.

Sokonglah isteri kita.  Berilah dia semangat.  Jangan biarkan dia keseorangan dalam menempuhinya.  Belailah dia.  Manjakanlah dia.  Turutilah permintaannya yang mahu ini dan itu bagi menjayakan usaha mulia tersebut.  Permudahkan dia.  Jagalah emosinya.  Mudah-mudahan yang baik-baik keluar dari tubuh isteri kita untuk anak-anak kita, in shaa’ ALLAH.

Dan yang terakhir, janganlah pisahkan usaha kita dari meminta pertolongan ALLAH.  Mesti seiring.  Usaha, doa dan tawakkal.  Itulah sifat kita sebagai orang-orang yang mempunyai iman.  Mintalah kepada ALLAH dengan tulus dan ikhlas akan niat dan kehendak kita mahu menyusukan anak kita dengan susu ibunya.  Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengabulkan Permohonan.

Susu ibu adalah terbaik.
Berilah ia kepada anak-anak kita.
Sayangi dan sokonglah isteri kita.

muzir.wordpress.com


One response to “Susu Ibu & Peranan Suami

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: