Monthly Archives: December 2015

Doa Saat Dizalimi Penguasa/Penjajah

Sekumpulan ahli sihir yang pada asalnya dipanggil untuk menyanggah dakwah Nabi Musa `alaihis salam telah berpaling tadah setelah melihat mukjizat dan kebenaran Baginda.  Mereka segera bertaubat dan memilih untuk menerima seruan dakwah Nabi Musa `alaihis salam.

Fir`aun sangat murka.  Dia mengancam ahli-ahli sihir tersebut dengan hukuman yang sangat berat.

Namun mereka memilih untuk tetap dengan pilihan mereka iaitu taat kepada dakwah Nabi Musa.  Mereka lalu berdoa supaya ALLAH berikan mereka kesabaran menghadapi ancaman dan seksaan Fir`aun serta memohon agar mereka mati dalam keadaan Islam.  Doa mereka telah dirakam di dalam al-Quran, surah al-A`raf ayat ke-126: Continue reading

Advertisements

Doa Ketika Musim Hujan

Sekarang ini adalah musim hujan.  Hujan mencurah-curah turun membasahi bumi dengan agak kerap.  Alhamdulillah, ia adalah kurniaan ALLAH buat makhluq-NYA di bumi.

Di kesempatan ini, ingin dikongsikan sedikit lafaz doa yang baik untuk kita sama-sama praktikkan sebagai memenuhi keberadaan kita sebagai hamba ALLAH dan ummat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Doa Memohon Agar ALLAH Turunkan Hujan Yang Bermanfaat

Apabila hujan turun, pohonlah kepada ALLAH dengan lafaz doa berikut:

اللّٰهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Allahumma soyyiban naafi`an

“Ya ALLAH, turunkanlah hujan yang bermanfaat.”

(HR al-Bukhari di dalam kitabnya al-Aadab al-Mufraad.  Dari `A’ishah Ummu al-Mukminin radhiAllahu `anha)

Lafaz doa di atas selalu diucapkan oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam saat hujan turun.  Tujuan dipanjatkan kepada ALLAH agar hujan yang turun adalah hujan yang bermanfaat ialah supaya hujan tersebut mengandungi kebaikan dan keberkatan yang banyak buat kita dan seluruh makhluq.  Bukannya hujan yang membawa musibah dan azab.

Doa Memohon Agar ALLAH Tidak Turunkan Hujan Ke Atas Kita

Kadang-kala kita mempunyai hajat tersendiri supaya hujan tidak turun dengan lebat ke tempat kita atas macam-macam sebab.

Apabila kita berhasrat agar hujan tidak turun di tempat kita atau supaya hujan tersebut dialihkan ke tempat lain, maka pohonlah kepada ALLAH dengan ikhlas dan harap dengan lafaz doa berikut:

اللّٰهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا

Allahumma hawaalaina wa laa `alainaa

“Ya ALLAH, turunkanlah hujan di sekitar kami, dan bukan ke atas kami.”

(Sahih al-Bukhari.  Dari Anas bin Malik radhiAllahu `anhu)

Lafaz doa di atas pernah diucapkan oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam apabila ada sahabat Baginda meminta agar hujan berhenti lantaran hujan terlalu lebat turun di tempatnya.

Doa di atas wajar dibaca oleh kita semua menggantikan ritual-ritual dan praktik khurafat yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat yang mahu agar hujan tidak turun di tempat mereka ketika mahu mengadakan kenduri perkahwinan, majlis istimewa bersama orang kenamaan dan lain-lain.  Semoga ALLAH memberikan pahala dan memberkati kita semua lantaran mengamalkan sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.

Doa di atas juga mengandungi adab kepada ALLAH.  Tidaklah kita menolak hujan yang diturunkan oleh ALLAH, tetapi sekadar memohon supaya ia dialihkan ke tempat lain buat sementara dan diturunkan ke sekitar kita.

Banyakkan berdoa ketika hujan sedang turun.  Kerana ia antara waktu yang baik untuk dipanjatkan doa kepada ALLAH.  Doalah supaya ALLAH ampunkan dosa-dosa kita.  Mintalah supaya ALLAH berikan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat buat kita.  Dan pohonlah keredhaanNYA dan SyurgaNYA.  Di samping mendoakan untuk diri sendiri, janganlah lupa doakan untuk kebaikan ahli keluarga dan seluruh ummat Islam.  Doakanlah supaya ALLAH ampunkan semuanya, diberikan kesejahteraan dan keselamatan dari kezaliman dan bahaya di dunia dan di akhirat…

muzir.wordpress.com


%d bloggers like this: