Monthly Archives: January 2016

Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji Mazhab Al-Syafi`i

Continue reading


Tidak Sepatutnya Perbezaan Kaedah Kenal ALLAH, Sampai Saling Mengkafirkan!

Di awal usia persekolahan, saya dikenalkan kepada ALLAH dengan belajar kaedah Sifat 20.  Satu per satu dijelaskan dari satu guru ke satu guru agama yang lain sehingga mencecah umur belasan tahun. Ia menjadi suatu kemestian dan amat penting untuk disematkan ke dalam qalbu. Mengenali sifat-sifat wajib dan sifat-sifat mustahil bagi ALLAH telah menjadi asas kepada kenalnya saya kepada ALLAH. Alhamdulillah, saya kenal ALLAH melalui guru-guru ini.

Apabila menginjak ke umur remaja, pengenalan saya kepada ALLAH bertambah kukuh dengan berita-berita pembuktian sains terhadap benarnya ayat-ayat al-Quran dan sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  Sebagai remaja yang belajar dalam aliran sains tulen, topik inilah yang menjadi tumpuan kepada usaha meningkatkan iman.  Satu per satu berita pembuktian sains saya baca dan itu semua mengukuhkan jiwa saya sebagai mukmin. Benar, ALLAH lah yang menjadikan semua ini!  Betapa hebatnya ALLAH! Pasrah kepada kehebatan tersebut menjadikan iman kepada perkara-perkara ghaib yakni sesuatu yang di luar alam zahir semakin disemai.

Setelah melewati usia remaja, saya terus melangkah untuk kenal ALLAH dan mulai faham ketauhidan ALLAH setelah mendengar dan membaca penjelasan-penjelasan mengenai 3 pengkelasan tauhid.  Iaitu mentauhidkan ALLAH dari sudut rububiyyah, uluhiyyah dan al-asma’ (Nama-Nama) wa as-sifat (Sifat-Sifay) ALLAH.  Semakin jelas dan kenal objektif dan tujuan dakwah para Rasul `alaihim as-solatu wa as-salam.  Semakin kenal ALLAH dari sudut mentauhidkanNYA.  Ya, ia maqasid dakwah! Maksud dakwah para Rasul ialah mengajak kepada mentauhidkan ALLAH. Insan dikira sempurna mentauhidkan ALLAH apabila dia mentauhidkan ALLAH dari segi rububiyyah, uluhiyyah dan al-asma’ wa as-sifat NYA. Mesti ketiga-tiganya sekali, yang akhirnya membawa insan kepada pengakuan setulus dan sehakikat mungkin bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan hanya sanya ALLAH, DIA lah Tuhan yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNYA!

Kini semakin merangkak ke akhir usia, saya mahu lebih kenal ALLAH melalui kalam-kalamNYA iaitu dengan cara mentadabbur ayat-ayat al-Quran.  Mahu baca satu per satu, mahu faham satu per satu dan mahu hayati satu per satu apa yang tertulis di dalam al-Quran.  Kerana ALLAH telah sebut di dalam al-Quran bahawa al-Quran merupakan petunjuk buat manusia kepada keredhaanNYA.  Petunjuk yang paling jelas dan tiada keraguan padanya! Banyak kali ALLAH sebut dan tekankan.  Ia sumber primer dan paling ampuh untuk kenal ALLAH dan kembali kepadaNYA dalam keadaan qalbu yang sejahtera.

Terima kasih kepada semua guru dan manusia-manusia yang mengenalkan saya kepada ALLAH.  Macam-macam kaedah telah ditunjukkan oleh para ulama bagi memudahkan kita kenal ALLAH.  Maaf kerana tuan/puan terpaksa membaca cerita pasal saya.  Kerana saya hanya tahu pasal saya.  Saya tak tahu pasal orang lain dan saya juga tak tahu pasal apa orang yang belajar kenal ALLAH ada yang kasar sampai mudah mengkafirkan orang lain.  Ustadz pulak tu.  Diangkat sebagai presiden NGO bersifat agama pulak tu!

Tidak sepatutnya apabila kita telah belajar kaedah untuk kenal ALLAH, kita menjadi semakin ganas mengkafirkan manusia lain yang menggunakan kaedah yang tak sama dengan kita, menjadi semakin kasar dengan manusia lain dan menjadi semakin hilang ukhuwwah sesama manusia yang telah mengakui bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Selain ALLAH. Tidak sepatutnya begitu. Sepatutnya kita contohi pendekatan ar-Rasul sallAllahu `alaihi wa sallam. Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam sentiasa mencari jalan membawa manusia kepada ALLAH dengan cara yang manusia itu mampu. Selebihnya serahkan urusan tersebut kepada ALLAH. Tidak perlu sampai berkasar apatah lagi terhadap saudara-saudara yang sudah pun mengakui akan ketauhidan ALLAH.

Selagi kaedah itu tidak bercanggah dengan usul agama, maka sewajarnya kita menerima baik kaedah-kaedah tersebut. Apatah lagi kaedah Sifat 20 dan kaedah Pengkelasan Tauhid Kepada 3 (yang disebut di atas) telah diakui dan diterima oleh ramai ulama sebagai kaedah-kaedah yang baik dan ia masyhur di kalangan ummat Islam.

Allahu a`lam. Tulisan ini sekadar muhasabah buat saya dan kepada yang sudi membaca. Kepada ALLAH lah kita mohon hidayah dan taufiq.


%d bloggers like this: