Kaya dan Taqwa

Kadang-kadang saya berasa risau apabila para ilmuan dan pendakwah menceritakan kekayaan seseorang tokoh lalu mengaitkannya dengan ketaqwaan.  Selalu juga saya mendengar kisah sebegitu.  Ia benar-benar memberi motivasi.  Namun, di celah-celah itu, timbul kerisauan di dalam diri.

Baru sebentar tadi saya mendengar video seorang ilmuan hebat negara kita yang menceritakan kehebatan seorang tokoh bilionaire dari negara Arab.  Diceritakan tentang kekayaan tokoh tersebut yang mempunyai banyak syarikat di seluruh dunia.  Bangunan-bangunan hebat di dunia turut dimiliki oleh bilionaire tersebut.  Diceritakan juga tokoh bilionaire lain yang mempunyai rangkaian bank Islami seluruh dunia dan sangat rajin memberi infaq.  Rahsia kejayaan mereka ialah taqwa.  Dan mereka sangat rajin solat di masjid.

Allahu akbar!  Ini memang suatu motivasi buat iman.  Tapi mengapa pula perlu dirisaukan?

Saya lebih risaukan diri saya sendiri.  Risau nanti ketaqwaan itu diusahakan untuk mendapatkan kekayaan.  Ibadah seperti solat di masjid, infaq, berbuat baik sesama manusia terutama kepada ibubapa, menuntut ilmu, qiamullail dan sebagainya adalah kerana untuk menjadi kaya.  Sedangkan ketaqwaan itu sepatutnya difokuskan kepada Tuhan Yang Maha Kaya.

Kekayaan harta adalah ujian buat semua manusia terutama buat ummat akhir zaman, ummat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Ramai terpesong dan terlalai dari tujuan sebenar akibat harta.  Tak ramai yang berjaya.  Orang-orang yang berjaya dengan ujian harta ialah orang-orang yang menginfaqkan harta mereka ke jalan ALLAH.

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

“(Orang-orang bertaqwa) Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”  (Surah al-Baqarah, 2:3)

Bukan sahaja saya risaukan diri sendiri, tapi juga risaukan ummat Islam seluruhnya juga.  Khuatir tujuan taqwa itu dipesongkan kepada mendapatkan harta dan kekayaan.  Bukan kepada ALLAH.

Justeru, berpada-padalah berkongsi kisah kekayaan seseorang tokoh lalu mengaitkannya dengan ketaqwaan.  Zaman mutakhir ini, manusia lebih dambakan kekayaan.  Jadi, jangan terlalu menggunakan kekayaan sebagai umpan nak mengajak masyarakat kepada ALLAH dan Hari Akhirat.  Jangan mengatakan bahawa jika kamu bertaqwa, beribadah, infaq, buat baik maka ALLAH berikan kekayaan.

Memang akan berkesan kepada manusia jika kita katakan begitu.  Manusia akan berbondong-bondong buat baik kerana mahu menjadi kaya.  Namun, fokus sebenar telah lari.  Matlamat taqwa tidak lagi asli.  Sepatutnya taqwa memfokus kepada ALLAH Yang Maha Kaya.  Bukannya taqwa fokus untuk kaya.

Tirulah cara salafussoleh mengajak manusia kepada taqwa.  Mereka mengajak manusia bertaqwa dengan memfokus kepada Akhirat.  Bukan kepada dunia.  Dunia adalah jambatan Akhirat.  Akhirat adalah matlamat.  Bukannya dunia matlamat dengan menjadikan Akhirat sebagai jambatan pula.

Betapa banyak manusia yang soleh dari kalangan salaf dan zaman kemudian yang ditimpa musibah demi musibah, kemiskinan dan kesusahan.  Namun kesusahan tersebut tidak mengeluarkan mereka dari kalangan manusia yang berjaya dan kaya jiwa.  Mereka cekal kerana fokus mereka adalah Akhirat.

Kekayaan dan kesenangan yang ALLAH beri kepada seseorang atau sesuatu pihak bukanlah bererti dia telah mencapai tahap taqwa yang ALLAH mahukan.  Ia adalah ujian sebenarnya.  Samada kita miskin atau kaya, taqwalah yang menjadi bekal yang selamat untuk menyampaikan diri kita kepada ALLAH.

Kaya itu bukanlah kaya harta.  Tapi kaya jiwa.

اللهم إني أسألك الهدى والتقى والعفاف والغنى

“Ya ALLAH, aku memohon kepadaMU akan petunjuk, sifat taqwa, kesucian dari dosa dan kaya jiwa.”

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: