Monthly Archives: August 2018

Wahai Tuhanku, Daku Sangat Berhajat Kebaikan Dari SisiMU!

Doa Nabi Musa `alahissalam sebagaimana yang terakam di dalam surah al-Qasas, 28:24:

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

“Wahai TUHANku!  Sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang ENGKAU berikan!”

“My LORD!  Truly, I am in need of whatever good that YOU bestow on me!”

Doa ini dipanjatkan oleh Nabi Musa `alahissalam kepada ALLAH `Azza wa Jalla saat Baginda baharu sampai di negeri Madyan.  Baginda terkontang-kanting seorang diri di negeri orang tanpa teman, bekalan, tempat tinggal dan pengangkutan.

Kita yang hari ini walaupun tak sesusah mana, tapi kepada ALLAH lah kita harapkan segala kebaikan agar kebaikan itu mencurah kepada kita.  Kesempitan wang, hutang, tekanan hidup, masalah, huru-hara yang berlaku sekeliling kita dan sebagainya bisa merosakkan diri kita.

Justeru, kepada ALLAH kita merujuk dan mengharap.  Hanya kepadaNYA kita mengadu nasib dan keadaan diri.  Hanya kepadaNYA kita memohon pertolongan dan berdoa.  Semoga ALLAH pelihara kita dan kurniakan kita akan kebaikan di dunia dan di Akhirat, amin…

Advertisements

Larangan Lelaki Menyerupai Wanita & Wanita Menyerupai Lelaki Dalam Berpakaian, Gerak Geri & Lain-lain

Daripada Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma, beliau berkata:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

“Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

(HR al-Bukhari)

Di dalam riwayat yang lain disebut:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ‏

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam melaknat lelaki yang meniru penampilan wanita dan wanita yang meniru penampilan lelaki.”

(HR al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam melaknat orang lelaki yang mengenakan pakaian wanita dan orang wanita yang mengenakan pakaian lelaki.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Ringkasan pengajaran:

1.  Maksud laknat di dalam hadith di atas ialah jauh dari rahmat ALLAH dan ia merupakan dosa yang besar.

2.  Perbuatan lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki ialah suatu perbuatan salah dan dosa yang besar kerana perbuatan tersebut mengubah ciptaan, ketentuan dan aturan ALLAH.

3.  Maksud الْمُخَنَّثِينَ di dalam hadith pertama di atas ialah lelaki yang wataknya seperti wanita dalam tingkah laku dan tutur kata.  Manakala الْمُتَرَجِّلاَتِ bermaksud wanita yang wataknya seperti lelaki.

Jika ia bawaan sejak lahir atau kecil, maka tidak mengapa asalkan dia berusaha sedaya upaya untuk menghilangkannya.  Jika terus-menerus bersifat sebegitu dan tidak berusaha mengubahnya, maka ia suatu yang tercela.  Apatah lagi jika ia dibuat-buat atau disengajakan, maka ia jelas suatu yang tercela.

4.  Lelaki tidak boleh berlagak dan berpenampilan seperti wanita samada dalam lenggok berjalan, bercakap, berpakaian atau berhias.  Lelaki mesti bersifat dengan sifat lelaki yang sejati.  Begitu jugalah sebaliknya dengan wanita.

5.  Lelaki dilarang memakai pakaian wanita.  Dan wanita dilarang memakai pakaian lelaki.

6.  Perbuatan lelaki yang meniru atau berlagak atau menyerupai wanita (dan sebaliknya) adalah perbuatan yang salah dan dosa yang besar di sisi agama.  Ia tidak boleh diambil ringan.  Ibubapa, masyarakat dan pemimpin mesti mengambil peranan dalam menangani perkara ini sebelum ia menjadi parah dan membarah.

7.  Jika berlagak berlainan jantina dari segi tutur kata, cara berjalan, berpakaian dan berhias pun dilaknat dan berdosa besar, apatah lagi dengan sengaja mengubah bentuk tubuh atau melakukan pembedahan menukar jantina.  Lebih besar murka ALLAH kepada pelakunya.

8.  Semua yang disebut di atas adalah dosa dan dilaknat oleh agama.  Pelakunya mesti segera bertaubat dan kembali kepada ALLAH dalam keadaan menyesal dan mahu memperbaiki diri sesuai dengan kehendak ALLAH.  Semoga ALLAH berikan keampunan.  ALLAH Maha Pengampun, Maha Menerima Taubat.

Semoga catitan ini memberi manfaat buat semua.  Catitan ini dibuat dengan merujuk hadith-hadith yang disusun al-Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Riyadhus Solihin.  Ringkasan pengajaran dibuat dengan merujuk secara ringkas syarahan oleh Syaikh Faisal Alu Mubarak dan Syaikh Muhammad bin Salih al-`Uthaimin.  Allahu a`lam.


%d bloggers like this: