Hal rumit agama kita serahkan pada ulama.
Hal rumit perubatan kita serahkan pada pakar perubatan.
Hal rumit pentadbiran negara kita serahkan pada pemerintah dan para pimpinan negara.
Dan seterusnya…
Serahkanlah urusan yang tak mampu kita memahaminya dan tak mampu kita mengurusinya kepada yang berhak dan layak. Jangan pandai-pandai kalau tak pandai. Kalau pandai pun, banyak maklumat yang kita tak tahu berbanding pihak yang betul-betul ahli.
Serahkanlah kepada yang ahli. Jangan melampaui batas dan merosakkan keadaan serta keharmonian. Namun, janganlah pula sampai jadi orang yang tak ambil tahu dan tak cakna hal semasa. Dalam banyak keadaan, bersederhanalah.
Kalau kita termudharat dengan keadaan setelah kita berusaha melakukan apa yang baik pada pandangan dan pilihan kita, janganlah terlalu risau dan jangan pula rasa diri itu malang. Kerana semuanya dalam pengetahuan ALLAH dan termasuk dalam ketentuanNYA. Kita akan dihisab dan dibalas kelak berdasarkan tindakan kita. Kalau baik perlakuan kita menurut neraca ALLAH, maka baiklah juga balasannya. Begitu juga sebaliknya. Rahmat ALLAH kita sangat harapkan.
Kita semua adalah orang yang akan ditanya pada Hari Akhirat nanti. Apa-apa yang bukan di jangkauan tangan dan kuasa kita, kemungkinan besar kita takkan dipertanggungjawabkan ke atasnya.
Ada pun yang betul-betul bawah kuasa dan amanah yang diberikan kepada kita, janganlah berani melalaikannya. Masing-masing ada amanah ke atas diri masing-masing. Dan ia pasti dipersoalkan dan disiasat kelak.
Jadilah orang yang sederhana dalam bertindak. Semua kita sedang berjalan kepada ALLAH. Semua akan dikembalikan kepadaNYA.
Jagalah dirimu sendiri dan ahli keluargamu supaya tak dimurkai ALLAH yang akhirnya merana dimasukkan ke dalam Neraka, seburuk-buruk tempat kembali.
Tenang-tenanglah berjalan di dunia ini. Anggaplah dirimu sebagai seorang yang asing atau seorang pengembara. Tak perlu kecoh dengan semua perkara. Tinggalkanlah sesuatu yang tidak memanfaatkanmu.
Engkau ada destinasi nak dituju. Tujuanmu bukan di sini. Tapi di Akhirat sana. Dunia ini cuma persinggahan sahaja. Dan jangan burukkan tempat persinggahanmu sedang dalam perjalananmu ke destinasi abadi. Sebab perjalananmu secara terperinci direkod dan dipantau segalanya.
Leave a Reply