Musibah sepatutnya menjadikan kita sedar betapa kita perlukan TUHAN, kembali mengingati TUHAN, banyakkan pergantungan kepada TUHAN dan sedar diri bahawa diri lemah perlukan bantuan TUHAN. Juga sedar bahawa hakikat semua yang ada pada diri dan sekeliling kita adalah sementara sahaja. Tiba masa, ia musnah jua.
Kalau musibah tak melembutkan jantung hati kita malah membuatnya keras dengan salah menyalah, tuduh menuduh, saling bergaduh dan banyak menyalahkan orang lain, maka risaulah kerana perbuatan itu semakin menjauhkan kita dari kehendak TUHAN.
Musibah dapat melonggarkan pautan kuat kita kepada dunia. Membuatkan kita sedar bahawa dunia ini hanya sementara. Bahawa Akhiratlah destinasi kita. Cinta kepada Akhirat semakin membesar lantaran kesedaran yang TUHAN hantar melalui musibah.

Ucapan istirja` “إنا لله وإنا إليه راجعون” diajar TUHAN agar kita menyebutnya ketika dilanda musibah. Kalau dengan menyebutnya sekali, jantung hati kita tak berdetak sedar bahawa kita semua milik TUHAN dan pasti kembali kepada TUHAN; maka ulang-ulanglah sebut sepanjang ditimpa musibah itu. Moga jantung hati kita sedar dan terpujuk dengan lafaz yang mulia ajaran TUHAN itu.
Kembali kepada TUHAN.
Itulah natijah dari musibah.
Kembali ingat, rujuk, ibadah, taubat dan bergantung kepada TUHAN.
Kita lemah, TUHAN kuat.
Kita miskin, TUHAN kaya.
Kita kurang, TUHAN memiliki dan berkuasa ke atas segalanya.
Kita mati, TUHAN hidup dan tak mati selama-lamanya.

Leave a Reply