“Abah, Macam Mana Nak Ada Rasa Takut Kat ALLAH?”

Soalan ni ditanya oleh anak berumur 9 tahun kepada saya. Saya tersentap.

Berat nak bantu jawab.  Sebab abahnya sendiri pun ‘miskin’ dengan sifat tersebut.  Namun sebagai bapa, kita kena bantu anak dengan tujuan anak dapat panduan dan tunjuk ajar.

Tidak lain dan tidak bukan ‘supplement’ untuk menyuburkan rasa takut diri kepada ALLAH ialah dengan membaca al-Qur’an. 

Bukan baca saja-saja.  Tapi baca dengan sungguh-sungguh mahu memahaminya.  Bukan baca dengan laju dan terburu-buru seperti mahu mengejar sesuatu.  Tapi membacanya perkataan demi perkataan mahu menghayatinya.  Kerana al-Qur’an itu ialah petunjuk yang dapat membimbing manusia yang mahu mempunyai sifat taqwa kepada ALLAH.  Dan rasa takut kepada ALLAH adalah salah satu dari makna taqwa itu. 

Di dalam al-Qur’an sarat dengan mesej yang mensifatkan ALLAH.  Sifat TUHAN seluruh alam.  Dengan mengenali sifat-sifat ALLAH, manusia akan kenal lebih dekat akan keagungan ALLAH.  Bukan sahaja rasa takut, malah pelbagai rasa akan muncul dalam diri.  Hormat, segan, cinta, kagum, rindu, rendah diri, tunduk, hina dan 1001 perasaan akan menyusul juga.

Saya tanya kepada anak.  Kenapa dia ada rasa takut kepada sebahagian makhluk?  Walhal makhluk itu semuanya adalah ciptaan ALLAH belaka. Tentulah yang mencipta lebih hebat dan agung dari yang dicipta.

Saya berikan beberapa contoh sebagai latihan berfikir dan merenung.  Supaya dia mengerti bagaimana rasa takut itu boleh hadir dalam jiwanya. Rasa takut itu hadir kerana kita kenal makhluq tersebut, biasa dengar cerita mengenainya, nampak sifatnya dan dapat lihat zahir fizikalnya.

Ya!  Nak hadirkan rasa takut kepada ALLAH ialah dengan cara mengenali ALLAH.  Nak kenal ALLAH, hendaklah dengan al-Qur’an.  Ulang dan ulang baca.  Ulang dan ulang berusaha untuk memahami mesej-mesej di dalamnya. Supaya terus sebati. Supaya dapat istiqamah sampai mati.

Iman itu naik dan turun.  Supaya iman kita terus bertambah dan tidak lekas turun, al-Qur’an hendaklah dijadikan dampingan hidup.  Iman kepada perkara ghaib terutama iman kepada ALLAH dan Hari Kiamat sangat ampuh disegarkan dengan al-Qur’an. 

Selain al-Qur’an, dengan membaca serta mendengar hadith-hadith Nabi dan kisah-kisah ketaqwaan para salafussoleh juga dapat membantu kita mempunyai rasa takut kepada ALLAH.

Sesungguhnya rasa takut kepada ALLAH adalah sesuatu yang sangat tinggi dan penting untuk dimiliki.  Orang-orang soleh dan alim sejak zaman salafussoleh selalu berusaha memilikinya dan mereka meminta kepada ALLAH agar dibantu dapat memilikinya.  Berdoalah kepada ALLAH agar DIA membimbing kita.

Semoga ALLAH kurniakan kita sifat takut kepadaNYA dan mampu beristiqamah dengan sifat tersebut dalam kehidupan kita sampai mati.

Soalan anak tersebut adalah suatu tadzkirah kepada saya.  Ia mengetuk hati saya yang selalu lalai.  Mengajak saya agar memuhasabah diri akan kepentingan mempunyai sifat takut kepada ALLAH dan berusaha menerapkan sifat tersebut setiap masa dalam kehidupan.

Siapa kata anak tak boleh menasihati ibubapanya.  Inilah salah satu caranya.  Iaitu dengan membangkitkan soalan-soalan cepu emas seperti ini.  Terima kasih wahai anak.  Semoga ALLAH pelihara kita semua.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: