Category Archives: Aqidah

“Abah, Macam Mana Nak Ada Rasa Takut Kat ALLAH?”

Soalan ni ditanya oleh anak berumur 9 tahun kepada saya. Saya tersentap.

Berat nak bantu jawab.  Sebab abahnya sendiri pun ‘miskin’ dengan sifat tersebut.  Namun sebagai bapa, kita kena bantu anak dengan tujuan anak dapat panduan dan tunjuk ajar.

Tidak lain dan tidak bukan ‘supplement’ untuk menyuburkan rasa takut diri kepada ALLAH ialah dengan membaca al-Qur’an. 

Bukan baca saja-saja.  Tapi baca dengan sungguh-sungguh mahu memahaminya.  Bukan baca dengan laju dan terburu-buru seperti mahu mengejar sesuatu.  Tapi membacanya perkataan demi perkataan mahu menghayatinya.  Kerana al-Qur’an itu ialah petunjuk yang dapat membimbing manusia yang mahu mempunyai sifat taqwa kepada ALLAH.  Dan rasa takut kepada ALLAH adalah salah satu dari makna taqwa itu. 

Di dalam al-Qur’an sarat dengan mesej yang mensifatkan ALLAH.  Sifat TUHAN seluruh alam.  Dengan mengenali sifat-sifat ALLAH, manusia akan kenal lebih dekat akan keagungan ALLAH.  Bukan sahaja rasa takut, malah pelbagai rasa akan muncul dalam diri.  Hormat, segan, cinta, kagum, rindu, rendah diri, tunduk, hina dan 1001 perasaan akan menyusul juga.

Saya tanya kepada anak.  Kenapa dia ada rasa takut kepada sebahagian makhluk?  Walhal makhluk itu semuanya adalah ciptaan ALLAH belaka. Tentulah yang mencipta lebih hebat dan agung dari yang dicipta.

Saya berikan beberapa contoh sebagai latihan berfikir dan merenung.  Supaya dia mengerti bagaimana rasa takut itu boleh hadir dalam jiwanya. Rasa takut itu hadir kerana kita kenal makhluq tersebut, biasa dengar cerita mengenainya, nampak sifatnya dan dapat lihat zahir fizikalnya.

Ya!  Nak hadirkan rasa takut kepada ALLAH ialah dengan cara mengenali ALLAH.  Nak kenal ALLAH, hendaklah dengan al-Qur’an.  Ulang dan ulang baca.  Ulang dan ulang berusaha untuk memahami mesej-mesej di dalamnya. Supaya terus sebati. Supaya dapat istiqamah sampai mati.

Iman itu naik dan turun.  Supaya iman kita terus bertambah dan tidak lekas turun, al-Qur’an hendaklah dijadikan dampingan hidup.  Iman kepada perkara ghaib terutama iman kepada ALLAH dan Hari Kiamat sangat ampuh disegarkan dengan al-Qur’an. 

Selain al-Qur’an, dengan membaca serta mendengar hadith-hadith Nabi dan kisah-kisah ketaqwaan para salafussoleh juga dapat membantu kita mempunyai rasa takut kepada ALLAH.

Sesungguhnya rasa takut kepada ALLAH adalah sesuatu yang sangat tinggi dan penting untuk dimiliki.  Orang-orang soleh dan alim sejak zaman salafussoleh selalu berusaha memilikinya dan mereka meminta kepada ALLAH agar dibantu dapat memilikinya.  Berdoalah kepada ALLAH agar DIA membimbing kita.

Semoga ALLAH kurniakan kita sifat takut kepadaNYA dan mampu beristiqamah dengan sifat tersebut dalam kehidupan kita sampai mati.

Soalan anak tersebut adalah suatu tadzkirah kepada saya.  Ia mengetuk hati saya yang selalu lalai.  Mengajak saya agar memuhasabah diri akan kepentingan mempunyai sifat takut kepada ALLAH dan berusaha menerapkan sifat tersebut setiap masa dalam kehidupan.

Siapa kata anak tak boleh menasihati ibubapanya.  Inilah salah satu caranya.  Iaitu dengan membangkitkan soalan-soalan cepu emas seperti ini.  Terima kasih wahai anak.  Semoga ALLAH pelihara kita semua.


Matan Aqidah Tahawiyyah Beserta Terjemahan (PDF)

aqidah tahawiyyah

Berikut ini adalah matan al-`Aqidah at-Tahawiyyah yang disusun oleh al-Imam Abu Ja`far at-Tahawi beserta terjemahan dalam Bahasa Melayu.  21 muka surat.

Silalah muat turun dan hayati satu per satu matan tersebut.

Mudah-mudahan ALLAH kurniakan kefahaman dan keteguhan iman, amin…

Sila sebarkan…!


Tidak Sepatutnya Perbezaan Kaedah Kenal ALLAH, Sampai Saling Mengkafirkan!

Di awal usia persekolahan, saya dikenalkan kepada ALLAH dengan belajar kaedah Sifat 20.  Satu per satu dijelaskan dari satu guru ke satu guru agama yang lain sehingga mencecah umur belasan tahun. Ia menjadi suatu kemestian dan amat penting untuk disematkan ke dalam qalbu. Mengenali sifat-sifat wajib dan sifat-sifat mustahil bagi ALLAH telah menjadi asas kepada kenalnya saya kepada ALLAH. Alhamdulillah, saya kenal ALLAH melalui guru-guru ini.

Apabila menginjak ke umur remaja, pengenalan saya kepada ALLAH bertambah kukuh dengan berita-berita pembuktian sains terhadap benarnya ayat-ayat al-Quran dan sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  Sebagai remaja yang belajar dalam aliran sains tulen, topik inilah yang menjadi tumpuan kepada usaha meningkatkan iman.  Satu per satu berita pembuktian sains saya baca dan itu semua mengukuhkan jiwa saya sebagai mukmin. Benar, ALLAH lah yang menjadikan semua ini!  Betapa hebatnya ALLAH! Pasrah kepada kehebatan tersebut menjadikan iman kepada perkara-perkara ghaib yakni sesuatu yang di luar alam zahir semakin disemai.

Setelah melewati usia remaja, saya terus melangkah untuk kenal ALLAH dan mulai faham ketauhidan ALLAH setelah mendengar dan membaca penjelasan-penjelasan mengenai 3 pengkelasan tauhid.  Iaitu mentauhidkan ALLAH dari sudut rububiyyah, uluhiyyah dan al-asma’ (Nama-Nama) wa as-sifat (Sifat-Sifay) ALLAH.  Semakin jelas dan kenal objektif dan tujuan dakwah para Rasul `alaihim as-solatu wa as-salam.  Semakin kenal ALLAH dari sudut mentauhidkanNYA.  Ya, ia maqasid dakwah! Maksud dakwah para Rasul ialah mengajak kepada mentauhidkan ALLAH. Insan dikira sempurna mentauhidkan ALLAH apabila dia mentauhidkan ALLAH dari segi rububiyyah, uluhiyyah dan al-asma’ wa as-sifat NYA. Mesti ketiga-tiganya sekali, yang akhirnya membawa insan kepada pengakuan setulus dan sehakikat mungkin bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan hanya sanya ALLAH, DIA lah Tuhan yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNYA!

Kini semakin merangkak ke akhir usia, saya mahu lebih kenal ALLAH melalui kalam-kalamNYA iaitu dengan cara mentadabbur ayat-ayat al-Quran.  Mahu baca satu per satu, mahu faham satu per satu dan mahu hayati satu per satu apa yang tertulis di dalam al-Quran.  Kerana ALLAH telah sebut di dalam al-Quran bahawa al-Quran merupakan petunjuk buat manusia kepada keredhaanNYA.  Petunjuk yang paling jelas dan tiada keraguan padanya! Banyak kali ALLAH sebut dan tekankan.  Ia sumber primer dan paling ampuh untuk kenal ALLAH dan kembali kepadaNYA dalam keadaan qalbu yang sejahtera.

Terima kasih kepada semua guru dan manusia-manusia yang mengenalkan saya kepada ALLAH.  Macam-macam kaedah telah ditunjukkan oleh para ulama bagi memudahkan kita kenal ALLAH.  Maaf kerana tuan/puan terpaksa membaca cerita pasal saya.  Kerana saya hanya tahu pasal saya.  Saya tak tahu pasal orang lain dan saya juga tak tahu pasal apa orang yang belajar kenal ALLAH ada yang kasar sampai mudah mengkafirkan orang lain.  Ustadz pulak tu.  Diangkat sebagai presiden NGO bersifat agama pulak tu!

Tidak sepatutnya apabila kita telah belajar kaedah untuk kenal ALLAH, kita menjadi semakin ganas mengkafirkan manusia lain yang menggunakan kaedah yang tak sama dengan kita, menjadi semakin kasar dengan manusia lain dan menjadi semakin hilang ukhuwwah sesama manusia yang telah mengakui bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Selain ALLAH. Tidak sepatutnya begitu. Sepatutnya kita contohi pendekatan ar-Rasul sallAllahu `alaihi wa sallam. Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam sentiasa mencari jalan membawa manusia kepada ALLAH dengan cara yang manusia itu mampu. Selebihnya serahkan urusan tersebut kepada ALLAH. Tidak perlu sampai berkasar apatah lagi terhadap saudara-saudara yang sudah pun mengakui akan ketauhidan ALLAH.

Selagi kaedah itu tidak bercanggah dengan usul agama, maka sewajarnya kita menerima baik kaedah-kaedah tersebut. Apatah lagi kaedah Sifat 20 dan kaedah Pengkelasan Tauhid Kepada 3 (yang disebut di atas) telah diakui dan diterima oleh ramai ulama sebagai kaedah-kaedah yang baik dan ia masyhur di kalangan ummat Islam.

Allahu a`lam. Tulisan ini sekadar muhasabah buat saya dan kepada yang sudi membaca. Kepada ALLAH lah kita mohon hidayah dan taufiq.


Doa Saat Dizalimi Penguasa/Penjajah

Sekumpulan ahli sihir yang pada asalnya dipanggil untuk menyanggah dakwah Nabi Musa `alaihis salam telah berpaling tadah setelah melihat mukjizat dan kebenaran Baginda.  Mereka segera bertaubat dan memilih untuk menerima seruan dakwah Nabi Musa `alaihis salam.

Fir`aun sangat murka.  Dia mengancam ahli-ahli sihir tersebut dengan hukuman yang sangat berat.

Namun mereka memilih untuk tetap dengan pilihan mereka iaitu taat kepada dakwah Nabi Musa.  Mereka lalu berdoa supaya ALLAH berikan mereka kesabaran menghadapi ancaman dan seksaan Fir`aun serta memohon agar mereka mati dalam keadaan Islam.  Doa mereka telah dirakam di dalam al-Quran, surah al-A`raf ayat ke-126: Continue reading


Muhasabah Buat Parti Politik Baharu & Lama

Suka atau tidak suka, nampaknya satu lagi parti politik baharu telah tertubuh.  Di dalamnya ada beberapa tokoh yang kita hormati dan segani.

Inilah politik.  Ijtihad sangat luas dalam politik.  Dan seeloknya kita berlapang dada dan menghormati pilihan masing-masing.

Siapa pun mereka, sebagai orang yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat mestilah menjadikan ayat ALLAH berikut sebagai muhasabah dan panduan dalam berpolitik dan bekerja-pasukan.

ALLAH `Azza wa Jalla berfirman:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

(Surah aali `Imran, 3:104)

Dan ALLAH juga berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

(Surah an-Ma’idah, 5:2)

Al-khair, al-ma`ruf, al-munkar, al-birri, at-taqwa, al-ithmi dan al-`udhwan yang disebut di dalam ayat-ayat di atas mestilah difahami dan ditindaki berdasarkan kehendak ALLAH.  Bukan kehendak sendiri, nafsu sendiri dan kepentingan sendiri.  Allahu A`lam.

Kepada ALLAH lah kita pinta agar DIA pelihara kita semua, amin…

muzir.wordpress.com


Dialog 2 Orang Sahabat Nabi Mengenai Maksud Taqwa

Al-Imam Ibnu Kathir rahimahullah ada membawakan dialog 2 orang sahabat Nabi di dalam kitab tafsirnya tatkala mentafsirkan makna taqwa dari ayat ke-2 surah al-Baqarah.

Dikatakan bahawa Amirul Mukminin Sayyidina `Umar bin al-Khattab radhiAllahu `anhu pernah bertanya kepada Sayyidina Ubai bin Ka`ab radhiAllahu `anhu mengenai taqwa. Continue reading


Skrip Jawapan Oleh Pelaku Syirik & Bid`ah

ALLAH Jalla wa A`la mengarahkan sekalian manusia supaya membulatkan penyembahan hanya kepada ALLAH dan jangan memuja, memohon dan menyembah selain ALLAH.  Ini adalah suatu mesej yang sangat penting untuk dijadikan panduan dan penghayatan kita.

Namun, ada sesetengah manusia telah menjadikan selain ALLAH tempat mereka mengadu, memohon dan memuja.  Mereka beralasan bahawa mereka melakukan hal tersebut bukanlah untuk menyembah selain ALLAH, tetapi sebagai perantara untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan menjadi pemberi-pemberi syafa`at.

Perhatikanlah ayat-ayat berikut yang dipetik dari al-Qur’an bahawa ALLAH berfirman:

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ ۚ
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ

مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ

“Sungguh!  Ingatlah!  Agama ini (penyembahan dan pengabdian) hanyalah untuk ALLAH!  

Dan orang-orang yang mengambil auliya’ (pelindung dan pemberi pertolongan) selain ALLAH (sambil mereka berkata):

Tidak kami sembah mereka melainkan supaya mereka dapat mendekatkan diri kami kepada ALLAH sehampir-hampirnya.

(Surah az-Zumar, 39:3)

Dan firman ALLAH:

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ

هَٰؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللَّهِ

“Dan mereka menyembah selain ALLAH, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata:

Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi ALLAH.” 

(Surah Yunus, 10:18)

Itulah antara jawapan-jawapan mereka.

Jawapan-jawapan tersebut adalah jawapan-jawapan yang tidak ALLAH redhai.  Ia tidak dapat dijadikan alasan bagi memperbolehkan perbuatan mensyirikkan ALLAH dan melakukan bid`ah.  ALLAH menyuruh seluruh manusia agar hanya menyembah, memohon dan mengabdikan diri kepadaNYA sahaja!  Jelas dan tegas!  Tiada alasan!

Tentu banyak sekali pengajaran kenapa ALLAH meletakkan jawapan-jawapan manusia salah ini di dalam al-Quran.

Antaranya mungkin supaya kita jangan tergolong ke dalam golongan manusia yang jenis ini.  Dan juga untuk memberitahu mengenai sifat manusia yang sejak dahulu memang ada yang memberikan alasan atas perbuatan salah mereka kononnya mereka buat itu semua atas alasan mahu dekatkan diri kepada ALLAH.  Sifat begini akan ada pada manusia setiap zaman.  Ya, memang ada!

Dan mungkin juga untuk mengkhabarkan kepada kita bahawa ia memang suatu skrip jawapan yang diberikan oleh para pelaku syirik dan bid`ah bagi menghadapi teguran para mukhlisin terhadap mereka. Seolah-olah jawapan mereka sudah menjadi skrip yang akan diucapkan sepanjang zaman.

  • “Kami bukannya sembah kubur!  Kami hanya memohon supaya ruh para wali dapat sampaikan hajat kami kepada ALLAH!”
  • “Kami bukannya puja dan sembah para wali!  Kami hanya menjadikan mereka sebagai perantara sahaja.  Kami tetap minta dengan ALLAH sebenarnya!”
  • “Kami bukan memohon kepada Nabi dan para wali yang telah mati!  Kami hanya memohon syafaat daripada mereka!”
  • “Kami bukan sembah pun kepada Nabi atau para wali!  Kami melakukan perbuatan-perbuatan ini semua supaya mereka (Nabi dan para wali) dapat mendekatkan kami kepada ALLAH!  Itu sahaja hasrat kami!  Salahkah?!!”

Itulah antara skrip yang berulang-ulang diucap oleh pelaku syirik dan bid`ah apabila mereka ditegur.

Hampir sama dengan skrip yang dipetik dari al-Quran di atas bukan?

Semoga kita tidak termakan dan terhasut dengan jawapan-jawapan sebegini lalu redha dengan perbuatan syirik dan bid`ah mereka.  Sesungguhnya jawapan yang diberikan oleh para pelaku syirik dan bid`ah tidak dapat diterima sebagai suatu jawapan yang kukuh dan sah.

Yang salah tetap salah.  Mana-mana perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam dari segi ibadah dan tidak dicontohkan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak boleh kita terima dan redha ia sebagai amalan agama, walau kelihatan pada zahirnya ia baik diamalkan, apa salahnya diamalkan dan lain-lain seumpamanya.

Tekadkan dalam qalbu kita bahawa hanya kepada ALLAH lah kita memohon, menyembah, beribadah dan mengabdikan diri; zahir dan batin.

Semoga ALLAH menunjukkan kita semua akan jalan yang diredhaiNYA dan moga dibimbing kita semua dengan hidayah dan taufiqNYA, amin…

muzir.wordpress.com


Hati-Hati Dengan Manusia Seperti `Amru bin Luhay

Orang-orang `Arab di Makkah telah menerima dan menganuti agama Nabi Ibrahim `alaihis salam melalui seruan anaknya Nabi Isma`il `alaihis salam.  Majoriti mereka mengesakan ALLAH, menyembahNYA, tidak mensyirikkanNYA serta mengamalkan syari`at Nabi Ibrahim `alaihis salam.

Namun lama-kelamaan setelah melalui beberapa zaman, kebanyakan mereka telah pun lupa sedikit demi sedikit akan ajaran Nabi Ibrahim itu.  Ada yang mereka masih ingat dan ada yang mereka telah lupakan.  Namun mereka tetap tidak lupakan ajaran yang utama iaitu mengesakan ALLAH dan tidak mensyirikkan ALLAH.

Hal tersebut berlanjutan sehinggalah munculnya lelaki bernama `Amru bin Luhay (عمرو بن لحي).  Beliau merupakan seorang yang dikenali ketokohannya sebagai seorang yang baik, banyak melakukan kebaikan, suka menderma dan amat menjaga perkara-perkara berkaitan agama.  Sebagai pemimpin Bani Khuza`ah, beliau bukan sahaja dihormati sebagai tokoh pemimpin, bahkan disayangi masyarakat disebabkan oleh sifat baik dan kedermawanan beliau.  Lebih dari itu, masyarakat juga telah menganggap beliau sebagai seorang `alim besar, malah wali yang mulia. Continue reading


Hanya ALLAH Tuhan Yang Diminta KepadaNYA Akan Pertolongan

Sangat jelas.  Hanya kepada ALLAH lah seluruh makhluq memohon sesuatu, hajat dan pertolongan.  Bukan kepada selain ALLAH.  Hatta bukan kepada Malaikat-MalaikatNYA dan bukan juga kepada Rasul-RasulNYA `alaihimus solatu was salam.

Minta hanya kepada ALLAH


Tak Wajar Larang Bukan Islam Ucap Ucapan Islamik

Ada institusi agama Islam mahu melarang perkataan-perkataan ini dari diucapkan oleh yang bukan Islam:

  • “Assalamualaikum, Insyaallah, Allahu Akbar, Subhanallah, Alhamdulilah, Lailahaillallah, Masyaallah, Astagfirullahalazim, Auzubillahi, Walillahilhamd, Watallahi, Tabarakaallah, Wallahi, Wabillahi serta Lahaula Walaquata lllabillahilaliyil Azim.”

Continue reading


%d bloggers like this: