Saya rasa ramai telah maklum bahawa pelaburan KWSP memang tidak menepati syariah Islam. Ia isu lama yang belum diselesaikan hingga kini dan sukar untuk diselesaikan melainkan dengan iman yang sangat tinggi di kalangan pemimpin-pemimpin kita. Surat ini dengan jelas menyatakan ketidakpatuhan syariah dana KWSP (sumber web ustadz Zaharuddin).
Hendak keluarkan semua memang tak boleh melainkan telah sampai umur persaraan. Tapi kalau hendak keluarkan sebahagian memang boleh berdasarkan syarat-syarat yang telah ditentukan oleh KWSP. Silalah merujuk kepada KWSP.
Sudah tentulah apabila duit di dalam KSWP lama disimpan dan dilaburkan di dalamnya, maka bercampur-campurlah antara yang halal, syubhah dan yang haram. Yang halal berpunca dari duit caruman kita dan majikan serta pelaburan-pelaburan yang halal yang dilakukan oleh KWSP. Manakala yang haram berpunca dari pelaburan-pelaburan yang tidak patuh syariah.
Jadi, bagi orang yang beriman tentunya mereka tertanya-tanya bagaimana agaknya hendak memisahkan antara yang halal dan haram setelah duit di dalam dana tersebut beranak-pinak secara compounding sekian lama? Tentu melibatkan pengiraan yang kompleks. Dan ini pastinya menyusahkan orang awam yang mahu menitik beratkan soal halal dan haram ini.