Tag Archives: adab

“Mana Dalil…?!”, “Mana Nas…?!” – “Mana Adab?”

“Mana dalil?!”

“Nas mana?!”

Itulah antara yang saya pernah lihat di ‘wall’2 Facebook sebahagian ustadz dan pendakwah.  Ia antara soalan-soalan bernada sergah yang dilontarkan oleh pengunjung-pengunjung mereka merespon kepada nasihat atau ‘status’ Facebook yang ditulis oleh si ustadz atau si pendakwah tersebut.

Pada saya cara begini agak tidak beradab dan kurang ajar.  Para ustadz dan pendakwah mungkin ada yang tidak ingat nas dan dalil, tapi kebiasaannya mereka menyampaikan mafhum dari nas dan dalil.  Mereka kadang-kadang menyampaikan mesej menggunakan ayat mereka sendiri dengan cara mereka sendiri berdasarkan apa yang mereka telah pelajari dan ingat. Continue reading


Adab Ketika Bersin & Menguap

Adab bersin secara ringkas.

1)  Kedudukan bersin dan menguap di sisi ALLAH dan adab berkaitannya.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH suka pada bersin dan benci pada menguap.  Apabila salah seorang di antara kamu sekalian bersin dan memuji ALLAH Ta`ala (membaca hamdalah), maka adalah tuntutan ke atas setiap muslim yang mendengarnya mengucapkan:  “yarhamukallah يَرْحَمُكَ الله” (semoga ALLAH merahmati kamu).  Adapun menguap, maka itu berasal dari Syaitan.  Apabila salah seorang di antara kamu sekalian menguap maka ia mesti menahannya sekuat tenaga, kerana apabila ada salah seorang di antara kamu sekalian menguap, maka Syaitan mentertawakannya.”

(HR al-Bukhari)

2)  Ucapan-ucapan berkaitan bersin.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya: Continue reading


Isi Khutbah Sheikh as-Sudais & Fenomena Menyedihkan

Alhamdulillah, tengahari tadi saya sempat sampai ke Masjid Wilayah Persekutuan jam 12.30 tengahari.  Masuk di masjid, rupa-rupanya sudah penuh 5 saf di hadapan.  Tentu mereka semua menantikan kehadiran Sheikh as-Sudais yang dijadualkan akan memberi khutbah dan mengimami solat fardhu Jumaat di masjid tersebut.  Saya terus ke saf paling kanan, meletakkan beg di tepi dinding, solat tahiyyatul masjid dan membaca al-Quran.

Disebabkan oleh masa masih awal, maka pihak masjid telah menjemput seorang qari untuk membaca al-Quran.  Kuat sungguh bacaannya sehingga agak menggangu saya untuk membaca al-Quran.  Tentu orang lain yang sedang melakukan solat sunnat dan lain-lain ibadah sunnat pun terganggu juga agaknya, aduhai… 😦

Sheikh as-Sudais sampai sekitar jam 1.15 tengahari.  Saat itu ramai kelihatan berdiri dan yang datang lewat pun sibuk hendak ke depan.  Sedangkan adab seorang yang lewat masuk ke masjid hendaklah dia duduk di belakang dengan tenang tanpa berpusu-pusu melangkah peha dan bahu orang lain untuk ke depan.  Kerana ini akan menyakitkan hati saudara muslimnya yang lain.  Malah ada yang melalui di hadapan orang yang sedang solat, astaghfirullah.  Terasa sedih melihat fenomena ini.  Ternyata, sebahagian ahli masyarakat masih samar dengan adab di dalam masjid.

Inti Khutbah Sheikh as-Sudais

Sheikh as-Sudais telah menyampaikan khutbah beliau di dalam bahasa Arab dan apabila beliau memulakan khutbahnya, tiba-tiba saya terkenang nostalgia ketika berpeluang mengerjakan umrah dan mendengar khutbah di BaituLLAH al-Haram.  Sangat menyentuh perasaan ketika di sana.

Antara mesej utama yang disentuh beliau di dalam khutbah di Masjid Wilayah Persekutuan ialah: Continue reading


Borak-borak Dengan Remaja

Semalam, 15/4/2011 saya bersama dengan lebih 200 remaja di sebuah sekolah menengah agama di Klang.  Kebiasaannya, sesi ini saya sampaikan ceramah menggunakan bantuan multimedia.  Tetapi disebabkan oleh ada masalah teknikal di pihak pengurusan surau, maka terpaksa dibatalkan program tersebut.  Saya buat keputusan, bahan multimedia itu digunakan pada sesi yang lain, insyaALLAH.

Memandangkan saya tidak bawa kitab Riyadhussolihin susunan Imam an-Nawawi, iaitu kitab yang menjadi bahan bacaan untuk sesi mingguan dengan mereka, jadi saya tak dapat menggunakan kitab tersebut untuk dibaca dan dijadikan bahan tadzkirah.

Sampai di surau, saya bertanya dengan mereka, tajuk apa nak sentuh?  Pihak AJK surau telah memberikan beberapa perkara untuk disentuh oleh saya, antaranya: Continue reading


Milikilah Sifat Malu

Malu adalah sifat lelaki dan wanita yang beriman

Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlaq dan tersebarnya kemaksiatan.  Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain.  Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman.  Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim.  Malah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.  Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.

Memiliki sifat malu adalah sangat penting.  Kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.  Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat.  Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya.  Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar.  Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya.  Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

Dari Abu Mas`ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri radhiAllahu `anhu, dia berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”

(HR al-Bukhari)

Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam ada sebahagiannya telah luput.  Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang.  Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

“Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati.  Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.  Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang.  Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.

Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu.  Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.  Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua.  Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata:  “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”

Malah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:

“Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.”

(HR Muslim – dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu)

Dan satu lagi hadith:

Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.”

(HR Muslim – Imran bin Husaini radhiAllahu `anhu)

Muslimin-muslimat sekalian,

Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri.  Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu.  Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu.  Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu.  Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu.  Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu.  Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu.  Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu.  Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu.  Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu.  Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu.  Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya rasa malu.  Dan macam-macam lagi.

Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela.  Sebab itu sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara.  Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu.  “Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat.  Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi.  Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu.  Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.  Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu.  Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”.  Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu.  Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia.  Kerana ALLAH Subhanahu wa Ta`ala menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya.  Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita.  Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut.  Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

Mudah-mudahan ALLAH `Azza wa Jalla memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
4 November 2009


%d bloggers like this: