Tag Archives: berbisa

Doa Perlindungan Dari Haiwan Berbisa

screenshot_2016-04-21-00-13-25.jpeg

Dengan ALLAH lah kita berlindung dari segala keburukan dan bahaya.  Kerana hanya DIA sahaja yang dapat menjaga dan melindungi kita secara hakiki.

Antara bahaya yang ditakuti oleh manusia ialah haiwan berbisa.

Walaupun kita bebas menuturkan permintaan kita kepada ALLAH dalam bahasa dan gaya kita sendiri, namun ada eloknya kita memerhati lafaz doa yang pernah diucapkan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam khusus dalam hal memohon perlindungan ALLAH dari haiwan berbisa.

Pertama:

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

مَنْ قَالَ حِينَ يُمْسِي ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

“Barangsiapa pada waktu petang mengucapkan tiga kali:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

a`uudzu bi kalimaati llaahi ttaammaati min syarri ma khalaq

aku berlindung dengan kalimat-kalimat ALLAH yang sempurna dari kejahatan apa yang diciptakanNYA

لَمْ يَضُرَّهُ حُمَةٌ تِلْكَ اللَّيْلَةَ

Nescaya dia tidak akan dimudharati oleh sengatan berbisa pada malam itu.”

Hadith ini telah direkodkan di dalam kitab Jami` at-Tirmidzi.  Suhail bin Abi Solih (سُهَيْلِ بْنِ أَبِي صَالِحٍ) iaitu salah seorang perawi hadith ini telah menyebut:  “Keluarga kami mempelajarinya dan mengucapkannya setiap malam.  Salah seorang perempuan telah disengat haiwan berbisa, lalu dia tidak berasa sakit.”

Kedua:

Dari Abil Yasar (أَبِي الْيَسَرِ) radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَدْمِ

“Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung denganMU dari tertimpa benda keras,

وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ التَّرَدِّي

aku berlindung denganMU dari mati terjatuh,

وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْغَرَقِ وَالْحَرَقِ وَالْهَرَمِ

aku berlindung denganMU dari tenggelam, kebakaran dan nyanyuk,

وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنِي الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ

aku berlindung denganMU dari gangguan Syaitan ketika kematianku,

وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ فِي سَبِيلِكَ مُدْبِرًا

aku berlindung denganMU dari mati mengalah pada jalanMU,

وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ لَدِيغًا

dan aku berlindung denganMU dari mati disengat haiwan berbisa.”

Hadith ini direkodkan di dalam Sunan Abu Daud.  Al-Albani mensahihkannya.

Ketiga:

`Uthman bin `Affan radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ

Tidaklah seorang hamba mengucapkan setiap hari pada waktu pagi dan petang:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Bismillahi lladzi la yadhurru ma`asmihi syai’un fil ardh wa la fis sama’i wa HUA sSami`u l`Alim

Dengan nama ALLAH yang dengan NAMANYA, tiada yang dapat memberikan mudharat samada di bumi dan di langit.  Dan DIA lah Tuhan Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui

ثَلاَثَ مَرَّاتٍ فَيَضُرُّهُ شَيْءٌ

sebanyak tiga kali, lalu dia dimudharatkan oleh sesuatu.”

Hadith ini direkodkan di dalam Jami` at-Tirmidzi.  Maksudnya ialah sesiapa yang membaca lafaz ucapan di atas, maka tiada apa pun yang dapat membahayakannya, termasuklah haiwan berbisa.  Dengan syarat mesti dibaca setiap hari:  tiga kali pada waktu pagi dan tiga kali pada waktu petang.

Allahu a`lam.  Semoga bermanfaat dan dapat kita sama-sama amal.  In shaa’ ALLAH.

– muzir.wordpress.com

Advertisements

%d bloggers like this: