Tag Archives: duit

Helah Jualan Murah Raya

Jangan mudah terpedaya!

Semalam kami sekeluarga pergi ke sebuah kompleks membeli belah di Klang.  Niatnya hendak beli pakaian baru untuk anak-anak.  Dah lama tak beli pakaian baru untuk mereka.  Disebabkan ‘mood’ nak raya mula bersinar-sinar di kebanyakan pusat membeli-belah, malah diskaun-diskaun mula dipacakkan, maka kami pun cuba mengambil peluang ini untuk membeli-belah.

Anak lelaki saya memujuk-mujuk saya, “Abah, nak baju Ben-10, nak baju Ben-10!”

Sepanjang berjalan di dalam pusat membeli belah tersebut, asyik dengan pujukannya.  Ditariknya baju saya.  Puas saya pujuk dia agar bersabar dan tunggu dulu.  Memang tak makan saman betul.  Maklumlah budak-budak.  Saya pun malas nak layan.

Tiba-tiba ternampak diskaun 30% di bahagian baju kanak-kanak.  Ben-10 pulak tu.  Isteri saya pergi menjenguk sebentar, sementara saya pula mendukung anak keempat kami.  Selepas beberapa minit menjenguk dan survey, isteri saya datang kepada saya. Continue reading


Saya dan RIBA

Seingat saya, RIBA tidak diajar secara formal di dalam kelas.  Maaf, mungkin saya salah.  Namun, apa yang saya nak kata ialah saya tak ingat di mana saya mengenali RIBA sepanjang pembelajaran formal sukatan pelajaran darjah 1 – tingkatan 5.

 

RIBA adalah DOSA BESAR.  Namun, tak ramai mengenali RIBA dan besarnya kemurkaan ALLAH terhadap manusia yang melibatkan diri dengan RIBA.  Pada pandangan manusia biasa, RIBA hanyalah dosa tahap biasa-biasa.  Mungkin ini disebabkan kurangnya penekanan RIBA dalam sistem pelajaran kita, tak kiralah samada ia KBSR/KBSM, malah mungkin pengajian-pengajian agama di institusi sekolah/masjid/pondok juga kurang menekankannya.  Tidak hairanlah, RIBA telah memerangkap ramai orang awam seperti kita, malah amat menyedihkan kita, ustadz-ustadz sendiri turut sama terlibat.  Astaghfirullah!

 

(1)
Alhamdulillah, saya telah ditanam rasa bencikan RIBA sejak di tingkatan 2 di Sek Men Agama Kuala Lumpur (SMAKL).  Cikgu Mohd Nor bukanlah seorang ustadz yang mengajar matapelajaran agama.  Tetapi, beliau mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup (Perdagangan).  Di samping mengajar mengikut sukatan yang telah ditentukan, beliau selalu memberi tadzkirah (peringatan), khususnya dalam hal kewangan dan ekonomi ummat ISLAM.  Sangat terserlah kerisauannya kepada terjebaknya ummat ISLAM di dalam dosa besar RIBA.

 

”Walaupun kamu cuba untuk menjauhi RIBA, namun debu-debu RIBA pasti akan terkena kepada kamu”, itulah antara kata-kata beliau yang saya masih ingat.  Beliau ingin membayangkan bahawa RIBA adalah dosa besar yang sudah bersebati dengan kehidupan masyarakat moden.  Untuk keluar daripada belenggu RIBA, amatlah sukar tetapi tidak mustahil.  Namun, ia tetap dosa besar yang menuntut kita semua supaya terhindar darinya.  RIBA adalah dosa besar, bukan dosa kecil.

 

(2)
Kemudian, apabila menyambung pelajaran ke MRSM Muar, sekali lagi saya disuntik semangat untuk menjauhi RIBA apabila cikgu Sheikh memberitahu bahawa beliau membeli van secara tunai.  Semata-mata untuk mengelakkan diri dari terlibat dengan RIBA.  Kalau beli van melalui pinjaman bank, tentu akan terlibat dengan RIBA. 

 

Perbualan tersebut saya rakam di dalam jiwa saya yang ketika itu bukan di dalam kelas formal, tetapi hanya ketika saya dan rakan-rakan sedang berkumpul di depan dorm, sambil makan burger.  Cikgu Sheikh bukanlah ustadz yang mengajar matapelajaran agama, namun nampak jelas komitmen beliau dalam menjalani kehidupan dalam keadaan beragama. 

 

Sejak itu, saya mula berfikir tatkala sudah habis belajar nanti, bagaimana hendak membeli kereta dan rumah secara tunai, semata-mata untuk menjauhkan diri dari dosa besar RIBA.  Aduh, mampukah saya?  Itulah kerungsingan yang saya bawa selama beberapa tahun setelah mengutip pengajaran RIBA daripada cikgu Mohd Nor dan cikgu Sheikh.  Terima kasih cikgu!  Moga ALLAH memberkati kehidupan cikgu berdua, amin.  Cikgu-cikgu lain turut ada saham dalam pembentukan diri ini, namun dalam bab RIBA khususnya, saya hanya mengingati dua orang cikgu ini. 

 

(3)
Saya tercuit lagi dengan kerisauan tentang RIBA ketika di dunia universiti, tatkala tekun mengikuti kuliah agama melalui kaset.  Kuliah-kuliah di masjid yang saya hadiri, tak teringat pula di mana saya mendengar tentang RIBA.  Mungkin ada, namun ia sepintas lalu tanpa penekanan yang menyeluruh oleh penceramah.  Justeru, ia tak menusuk ke jiwa.  Dalam bab lain, Ya! Kuliah di masjid telah banyak saya dapat manfaat ilmunya. 

 

Ketika di universiti, selain kaset Ustadz Ismail Kamus, Harun Din, Abd Salam, Tuan Ibrahim dan lain-lain, kaset kuliah agama bersiri oleh Ustadz Samsuri menjadi kegemaran saya ketika itu.  Tatkala kaset lain lebih berbentuk ceramah umum, kaset Ustadz Samsuri lebih ilmiah sifatnya.  Pendekatan beliau yang menggunakan kitab Bahrulmazi melegakan kehausan saya yang dahagakan ilmu agama.  Dalam hal RIBA, kaset beliau yang bertajuk “Debu-debu RIBA” telah benar-benar menjadi salah satu jalan hidayah dan taufiq dari ALLAH kepada saya.  Alhamdulillah.  Makin takut saya kepada RIBA.  Kerana ia bukan dosa kecil, ia adalah DOSA BESAR!!!

 

(4)

Cabaran sebenar saya berhadapan dengan RIBA adalah tatkala ingin membeli motorsikal pertama saya.  Ketika di universiti (1997), saya telah diberi keizinan oleh ALLAH untuk membeli motorsikal pertama saya secara tunai, alhamdulillah.  Second-hand Yamaha RXZ berharga RM3500 telah menjadi milik saya ketika itu.  Risau juga ketika itu takut-takut terpaksa terjebak dengan RIBA.  Namun, alhamdulillah kerana dipermudahkan ALLAH.  Saya hanya berpeluang memilikinya pada tahun kedua pengajian hasil jimat cermat duit pemberian biasiswa yang telah ditaja oleh sebuah syarikat swasta.  Agak tinggi juga nilai biasiswanya berbanding lain-lain syarikat ketika itu.  Saya telah memilih biasiswa tajaan Gamuda Berhad dan terpaksa menolak tawaran-tawaran lain dari Sony, NEC, JPA dan MARA.  Hasil duit biasiswa tu, saya berupaya membeli secara tunai komputer meja pada tahun pertama di universiti.  Tahun kedua, beli tunai motorsikal.

 

Saya telah memperbaharui insurans motor dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad, walaupun kawan saya kata ia tindakan yang rugi kerana insurans motor untuk motorsikal tersebut masih ’hidup’. 

 

”Kenapa nak renew baru, kan hidup lagi insurans tu?!” tanya kawan saya.  ”Saya nak yang Takaful” jawab saya. 

 

Saya berasa lega, kerana pada waktu itu sudah ada syarikat yang menawarkan Takaful.  Bayangkan jika ketika itu tiada syarikat Takaful.  Sudah tentu saya terpaksa membeli insurans dengan syarikat insurans konvensional, yang jelas padanya RIBA!  Sekurang-kurangnya untuk urusan pertama jual-beli kenderaan saya sudah bebas dari RIBA, alhamdulillah.  Saya sangat bersyukur diberi nikmat seumpama ini. 

 

Ini semua adalah hidayah dan taufiq dari ALLAH…

 

Setelah tamat pembelajaran di universiti dan meneruskan kehidupan ke dunia pekerjaan; urusan muamalah seperti pembelian rumah, kereta, penggunaan kad ’kredit’, perbankan, insurans dan lain-lain telah dipermudahkan ALLAH untuk saya beristiqamah dengan sistem muamalah Islami.  Saya bersyukur tinggal di Malaysia dan hidup pula pada zaman di mana usaha sistem perbankan dan insurans Islami sedang giat diusahakan.  Ia memberi ruang untuk kita menarik nafas lega untuk BEBAS DARI RIBA.  Namun, perjalanan dan perkembangan sistem muamalah Islami ini masih jauh dan terlalu banyak ruang penambahbaikkan perlu diteruskan.

 

(5)

Walaupun saya bekerja sebagai seorang jurutera di syarikat yang menaja saya sewaktu belajar dulu, namun saya mempunyai kecenderungan dan minat yang mendalam di dalam pengurusan kewangan peribadi.  Buku Perancangan Kewangan Keluarga terbitan Bank Negara Malaysia adalah panduan terawal saya dalam mengatur struktur pengurusan kewangan saya.  Masa tu saya berumur 22 tahun.

 

Setelah membaca beberapa buku kewangan tulisan Azizi Ali, Milan Doshi & Robert Kiyosaki; minat saya dalam hal kewangan peribadi semakin mendalam.  Saya selalu memberi nasihat kepada adik-adik dan rakan-rakan dalam hal asas kewangan, tapi diselitkan unsur-unsur Islami iaitu ke arah memilih sistem kewangan yang bebas-RIBA.

 

Malah, saya selalu menghantar email ke dalam rangkaian yahoogroups dan intranet Gamuda Berhad tentang kepentingan memilih sistem kewangan Islami.  Kadang-kadang saya forwardkan spread-sheet yang saya buat sendiri berdasarkan pembacaan saya di buku-buku kewangan dan selitkan idea-idea muamalah Islami.

 

Minat saya dalam kewangan peribadi akhirnya telah membuka jalan kepada kerjaya baru yang jauh dari kelulusan akademik saya, yang telah mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Mekanikal & Bahan. 

 

Kini, saya bergelar Perunding Takaful dan selalu terlibat dalam memberi nasihat kepada orang ramai dalam memilih sistem kewangan Islami, khususnya berkaitan pengurusan risiko kewangan iaitu TAKAFUL.  Dalam bidang ini, semua Perunding Takaful mempunyai 2 cabaran yang utama, iaitu:

  • Memberi kesedaran tentang peri pentingnya pengurusan risiko kewangan di kalangan ummat ISLAM, khususnya Melayu.  Ini kerana ummat Melayu di negara ini masih mempunyai kesedaran yang rendah dalam hal pengurusan risiko kewangan berbanding kaum lain.

  • Setelah kesedaran itu ada, perlu dibawa pula masyarakat agar memilih pelan pengurusan risiko kewangan yang berlandaskan ISLAM, iaitu yang bebas RIBA.  Dalam hal ini, Takaful mempunyai penyelesaiannya.

Dalam perkembangan teknologi maklumat kini, saya turut mengambil bahagian dalam menyampaikan maklumat takaful melalui siber menerusi laman web peribadi saya, iaitu www.takafulonline.net

 

(6)
Jika semasa di sekolah menengah rendah, saya dicetus semangat jauhkan RIBA oleh cikgu Mohd Nor.  Di sekolah menengah atas pula, cikgu Sheikh.  Di Universiti, ceramah Ustadz Samsuri.  Kini, saya terus mendapat motivasi lagi dalam bidang ini.  Iaitu melalui Ustadz Zaharuddin pula.

 

Sebenarnya saya mengenali ustadz Zaharuddin sejak di bangku universiti lagi.  Waktu tu beliau sangat aktif dengan harakah Islamiyyah.  Tak perlulah saya perincikan cerita.  Namun, ustadz Zaharuddin melalui laman webnya, www.zaharuddin.net telah membuka lembaran baru kepada ummat ISLAM di Malaysia dalam mengenali sistem muamalah Islami.  Kini, sudah ramai yang peka dan berhati-hati dalam menangani isu-isu muamalah. 

 

Artikel-artikel beliau kini menjadi bacaan dan rujukan saya sebagai persediaan menghadapi masyarakat.  Tugas saya sebagai Perunding Takaful telah membolehkan saya berjumpa dengan ramai orang dan menyampaikan mesej ”JAUHKAN RIBA!” melalui cara saya yang tersendiri. 

 

Kebiasaannya, orang ramai yang saya jumpa bukan hanya bertanya pasal Takaful, tapi merangkumi banyak perkara, khususnya sistem kewangan Islami.  Walaupun saya akui masih banyak yang perlu saya pelajari dan terokai dalam bab muamalah Islami, namun saya berasa amat bertuah dapat berdakwah dengan cara begini.  Mudah2an ia dikira sebagai hasanah di sisi ALLAH subhanahu wata’ala, amin.

 

RIBA adalah dosa besar!

 

SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
9 Ogos 2008


Bayar Diri Anda Dahulu!

Frasa “Bayar Diri Anda Dahulu” adalah antara tips kewangan yang saya perolehi daripada Azizi Ali pada tahun 2004 melalui buku tulisan beliau yang bertajuk “Millionaires Are From Different Planet”.  Tajuk buku tersebut diberi seumpama itu bertujuan ingin memberitahu kepada kita semua bahawa cara berfikir dan bertindak seorang jutawan sangat berbeza dengan orang biasa, terutama dalam hal kewangan.  Golongan ini dianggap unik sehinggakan boleh disifatkan segolongan spesis daripada planet yang berbeza, lantaran terlalu sedikit yang berfikiran seperti mereka.

“Bayar Diri Anda Dahulu” adalah antara point yang saya masih ingat sehingga sekarang dan menjadi amalan saya sejak mula mengenalinya.  Apakah yang dimaksudkan dengan “Bayar Diri Anda Dahulu” ini?  Saya rasa ramai dah tahu.  Jadi, tulisan ini sekadar ingin mengingatkan.

Begini:  Setiap bulan kita diberi upah oleh majikan atau pelanggan yang berurusan dengan kita (sekiranya peniaga).  Itu semua hasil daripada usaha gigih dan penat lelah kita.  Alhamdulillah, segala puji dan puja hanya sanya dikembalikan kepada ALLAH.  Dialah yang selayaknya menerima segala puji dan puja.

Dan sudah menjadi amalan kebiasaan kita, iaitu gaji/upah/keuntungan yang diperolehi akan digunakan untuk membayar segala bil dan perbelanjaan tetap kita seperti bil air, bil elektrik, bil telefon, bil internet, sewa rumah, ansuran kereta dan sebagainya.  Bermakna, segala hasil penat lelah kita digunakan untuk membayar kepada pihak lain, contohnya TNB, Syabas, Celcom, TM Streamyx, Tuan Rumah, Bank yang memberi pembiayaan dan lain-lain lagi yang berkenaan.  Memang ia tanggungjawab yang perlu kita lunaskan.  Namun, kita sering (malah sentiasa) terlupa untuk membayar diri sendiri (reward) yang telah berpenat lelah mendapatkan RM itu.  Akaun bank kita sering hanya dijadikan tempat persinggahan RM itu.  Masuk dan kemudian keluar untuk diagihkan kepada pihak2 lain.

Sebab itu kita disarankan bayar diri kita dahulu!  Kebanyakan buku2 perancangan kewangan menggalakkan kita memperuntukkan 10% – 20% daripada pendapatan yang diperolehi untuk tujuan simpanan.  Jika gaji RM2,000, maka 20% daripadanya adalah RM400.  Jika nilai itu tidak praktikal disebabkan oleh bebanan kewangan dan lain2 keutamaan, maka bolehlah dikurangkan peratusannya.  Jangan langsung tak simpan!

Kenapa “Bayar Diri Anda Dahulu”?

Sekiranya kita memilih strategi belanja dahulu, kemudian simpan; maka, percayalah bahawa kita akan selalu gagal untuk menyimpan.  Sebab itu digalakkan kita pilih untuk simpan dahulu, kemudian barulah belanja.  Bawa keluar siap2 10% – 20% daripada gaji untuk disimpan di dalam instrumen kewangan yang disahkan oleh pihak kerajaan.  Potongan KWSP adalah salah satu contoh “Bayar Diri Anda Dahulu”.  Jika KWSP tidak potong awal-awal sebaik sahaja kita dapat gaji, saya percaya dan yakin pasti ramai yang gagal untuk menyimpan untuk hari tuanya.

Sebagai muslim, mungkin kita boleh memperkembangkan idea bagus “Bayar Diri Anda Dahulu” ini dengan menyarankan agar kita semua memperuntukkan sebahagian daripada gaji kita untuk ‘hari kemudian’ kita, lillahi ta’ala.  Sebahagian wang dan harta yang diinfaqkan itulah sebenarnya hak kita yang akan sebahagiannya diperhitungkan di akhirat nanti.

Dari Ibnu Mas’ud RA, bahawa Rasulullah sallALLAHu ‘alaihi wasallam bersabda:  Siapakah di antara kalian yang harta warisannya lebih dicintai daripada hartanya sendiri?”

Mereka menjawab, Wahai Rasulullah, tidak ada seorang pun di antara kami kecuali hartanya lebih dicintai daripada  harta warisannya.”

Rasulullah SAW mengatakan, “Sesungguhnya hartanya adalah harta yang telah dia infaqkan dan harta warisannya adalah yang dia tinggalkan.”

(HR Bukhari dan An-Nasa’i)

So “Bayarlah Diri Anda Dahulu”… untuk sejahtera dunia dan akhirat.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
27 Julai 2008 


Ke Mana RM9 Billion Duit Ummat ISLAM Malaysia Setiap Bulan??

Di dalam satu seminar yang saya telah hadiri, salah seorang penyampai memberitahu hadirin:

“Orang Melayu di Malaysia berbelanja purata berjumlah RM9 Billion sebulan!!!”

Beliau memberitahu maklumat itu beliau perolehi hasil dari menghadiri mesyuarat dengan GABEM iaitu Gagasan Badan Ekonomi Melayu baru2 ini.

Saya terkejut!  Wah, sebanyak itu jumlah RM yang telah dibelanjakan oleh orang Melayu (Muslim) dalam berbelanja setiap bulan!  Ternyata, tak dapat disangkal lagi, ummat ISLAM di Malaysia hatta di seluruh dunia pun menyediakan peluang pasaran kepada para peniaga.

Saya ingin mengajak tuan/puan berfikir sejenak akan maklumat yang saya perolehi dari beliau.  Maklumat seringkas ini yang saya tulis di atas mempunyai berbagai perkara boleh kita rungkaikan.  Terutama sekali mengenai kekuatan ekonomi ummat Melayu.  Saya lebih suka menyebutnya sebagai ekonomi Muslim.

Persoalannya:

Ke mana perginya 9 BILLION ini?
Kembali ke poket ummat ISLAM atau ke poket ummat lain?
Kembali ke syarikat ummat ISLAM atau ke syarikat lain?

Dan tanyakan juga perkara2 ini di dalam hati tuan/puan:

Selama ini saya beli barangan harian di mana?
Saya selalu makan di restoran mana?
Saya beli peralatan rumah di mana?
Saya berurusan bank di bank milik siapa?
Saya mendapatkan khidmat kontrak ubahsuai rumah dari siapa?
Saya ambil produk kewangan seperti Takaful, unit trust dari siapa?

Dan lain-lain lagi.  Panjang senarainya…

Ke mana seringgit ini akan pergi?

Ke mana seringgit ini akan pergi?

Memang kita tak mampu untuk membuat pilihan.  Lantaran pilihan kita terlalu terhad.  Tak banyak usahawan muslim di luar sana.  Namun, utk bermudah-mudah dalam hal ini, saya rasa tidak wajar kita jadikan ia sebagai amalan.  Seharusnya, kita cuba dahulu untuk mencari dan mencari.  Buangkan paradigma yang membalut fikiran kalian bahawa produk/perkhidmatan ummat ISLAM tidak bermutu atau rendah kualiti.  Belum cuba, belum tahu.

Baru-baru ini ada suara-suara di luar sana mengajak kita ummat ISLAM memboikot syarikat pengeluar minyak nasional baru-baru ini.  Lepas tu diajaknya pula membeli minyak dari syarikat jenama luar negara.  Amat memelikkan saya.  (Rujuk: https://muzir.wordpress.com/2008/07/10/saya-tak-boikot-petronas/)

Usahlah disambut seruan yang merugikan itu.  Ini adalah contoh seruan dan sikap yang pelik ditunjukkan oleh ummat ISLAM.  Ia merugikan kita, tidak menguntungkan.  Teruskanlah membantu dan menyokong syarikat yang dimiliki oleh ummat ISLAM.

Saya tak menyuruh untuk memboikot produk/perkhidmatan yang disediakan oleh orang belum-ISLAM.  Selagi, ia tidak bercanggah syara’, nah silakan.  Dalam hal muamalah, ISLAM memberi ruang yang fleksibel.

Cuma, saya mengharapkan kita agar mempunyai sedikit sentimen, iaitu sentimen ‘MENYOKONG PERNIAGAAN UMMAT ISLAM’, itu sahaja.  Nampak kecil, tapi sebenarnya ia memerlukan peralihan paradigma yang besar.  Dan menuntut pengorbanan yang besar juga.  Mudah2an usaha & pengorbanan yang besar itu diganjari ALLAH subhanahu wata’ala.  Lillahi ta’ala…

Samada tuan/puan adalah usahawan ataupun pengguna muslim, tuan/puan mempunyai peranan dalam memperkuatkan ekonomi ummat ISLAM, khususnya di Malaysia.  Sama2lah kita saling sokong-menyokong.  Dan berikut disertakan antara dalil bahawa saranan ini disuruh ALLAH Subhanahu wata’ala & Rasulullah SallALLAHU ‘alaihi wasallam.  Semoga ia memotivasikan kita:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.  Dan bertakwalah kamu kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH amat berat siksa-NYA.”   –  (Surah al-Maidah ayat 2)

“Seorang mukmin terhadap mukmin lainnya seumpama bangunan saling mengokohkan satu dengan yang lain. (Kemudian Rasulullah Saw merapatkan jari-jari tangan beliau).”  –  (Mutafaq’alaih)

“Allah selalu menolong selama orang itu selalu menolong saudaranya (semuslim).”  –  (HR. Ahmad)

Jika tuan/puan sedar dan mula bertindak sekarang membantu/menyokong perniagaan ummat ISLAM, maka tuan/puan telah memadamkan satu daripada banyak sebab kenapa ummat ISLAM mundur.  Perjuangan kita masih jauh…

wAllahu ta’ala a’lam.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
17 Julai 2008


%d bloggers like this: