Tag Archives: fadhilat

Pandangan Beberapa Ulama Muktabar Mengenai Kesahihan Fadhilat Bulan Rejab

Apakah terdapatnya kesahihan fadhilat khas berpuasa di dalam bulan Rejab?

Di sini dinyatakan beberapa pandangan ulama’ yang muktabar mengenai hal tersebut.

1. Sheikh Atiyah Al-Saqr.

a)  Kebanyakkan fadilat Rejab terkandung didalam Hadis yg sangat Lemah dan Palsu.

Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadhilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yang sahih dan beliau melihat bahawa hadith-hadith yang didatangkan mengenai fadilat di dalam bulan Rejab kebanyakkannya adalah lemah dan palsu, katanya:

“ALLAH Subhanahu Wa Ta`ala memberi fadhilat kepada beberapa bulan dan tempat, tetapi tidak thabit untuk masa (zaman) dan untuk tempat melainkan dengan dalil yang qath`i (nyata) dan tidak thabit sehingga tidak mendusta ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam, dan banyak hadith-hadith timbul mengenai fadhilat bulan Rejab, di mana statusnya antara Dha’if (lemah) dan Mawdhu’ (palsu), dan tidak thabit dari pembawanya (naqal).”

Menurut Al-Saqr lagi bahawa: Continue reading


[An-Nasihah] Kelebihan Membaca & Menghayati Al-Quran

Muka surat 1

Muka surat 2

Jika ada manfaatnya risalah ini, silalah sebarkan dan tampal di papan-papan kenyataan masjid/surau/pejabat atau rumah tuan/puan.  Semoga ALLAH membalasi kebaikan tuan/puan semua dengan ganjaran yang banyak, amin.

Untuk memuat turun (download) dalam versi PDF, sila klik pautan (link) berikut, insyaALLAH:

Tuan/puan boleh memuat turun lain-lain terbitan An-Nasihah di pautan ini:

Semoga ada manfaatnya, insyaALLAH.

Sekadar menyampaikan,

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
29 Jun 2012.

Kelebihan Membaca dan Menghayati Al-Quran

Membaca al-Quran banyak kelebihannya.

Al-Quran adalah kalam ALLAH.  Padanya ada suruhan, larangan, iktibar dan pedoman buat manusia secara umumnya, dan buat mukminin khususnya.  Membaca dan menghayati al-Quran tentunya menatijahkan kebaikan yang teramat banyak buat sesiapa yang melaziminya.  Berikut adalah beberapa hadith dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mengenai kelebihan membaca dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran:

1)  Al-Quran akan memberikan pertolongan pada Hari Kiamat.

Dari Abu Umamah radhiAllahu `anhu katanya:  “Saya mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

“Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai sesuatu yang dapat memberikan syafa`at (pertolongan) kepada orang-orang yang membacanya.”

(HR Muslim)

Dari an-Nawwas bin Sam`an radhiAllahu `anhu katanya:  “Saya mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

يُؤْتَى بِالْقُرْآنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَهْلِهِ الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ

وَضَرَبَ لَهُمَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثَلاَثَةَ أَمْثَالٍ مَا نَسِيتُهُنَّ بَعْدُ قَالَ

كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ ظُلَّتَانِ سَوْدَاوَانِ بَيْنَهُمَا شَرْقٌ أَوْ كَأَنَّهُمَا حِزْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ صَاحِبِهِمَا

“Pada Hari Kiamat akan didatangkan al-Quran dan ahli-ahlinya iaitu mereka yang mengamalkannya (ajaran al-Quran), didahului oleh surah al-Baqarah dan surah Aali-`Imran.

Dan telah disamakan ia berdua oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dengan tiga perumpamaan yang mana aku tidak lupa selepas itu.  Baginda bersabda:

“Ia berdua seperti dua awan, atau seperti dua naungan yang antara keduanya ada cahaya, atau seperti dua kumpulan burung yang terbang dalam barisan untuk memberi pembelaan kepada ahlinya.”  

(HR Muslim)

2)  Manusia yang terbaik ialah yang belajar dan mengajar al-Quran.

Dari `Uthman bin `Affan radhiAllahu `anhu katanya Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: Continue reading


Beberapa Pendapat Ulama Muktabar Tentang Sambutan Nisfu Sya`ban

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

“ALLAH melihat kepada hamba-hambaNYA pada malam nisfu Sya`ban, maka DIA mengampuni semua hamba-hambaNYA kecuali yang musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).”

(Hadith Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).  Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)

Hadith di atas merupakan hadith yang sahih dari Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkenaan fadhilat nisfu Sya`ban.  Terdapat banyak lagi dikatakan hadith-hadith yang membentangkan tentang fadhilat dan kaifiat sempena Nisfu Sya`ban.  Namun, hadith-hadith tersebut telah dikategorikan sebagai dhaif (lemah) dan maudhu` (palsu).

Adapun berkenaan beberapa amalan masyarakat umum dalam menyambut nisfu Sya`ban, berikut disenaraikan beberapa pandangan `ulama muktabar tentangnya:

(1)  Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Sya`ban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.”

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut)

(2)  Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“(Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).

(Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya).”

(Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

(3)  Al-Hafiz al-Iraqi:

“Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya`ban adalah maudhu`, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.”

(4)  Al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’:

“Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan `Isya’ pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya`ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid`ah (ditokok tambah dalam agama).”

(Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

(5)  Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz:

“Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu).”

(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).

(6)  Al-Imam as-Suyuti:

“(Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah).”

(Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

Kesimpulan

  • Beribadatlah mengikut apa yang telah disyariatkan melalui nas sahih yang diperolehi dari al-Quran dan as-Sunnah.  Jangan sekadar mengamalkan sesuatu ibadah kerana ikut-ikutan, tanpa sandaran yang kukuh dari al-Quran dan as-Sunnah.

  • Diharuskan untuk memperbanyakkan ibadah pada malam Nisfu Sya`ban dengan mengambil fadhilat dari hadith yang telah disebutkan di atas.  Iaitu contohnya dengan mendirikan solat sunat, membaca al-Quran dan lain-lain amalan baik bagi mendekatkan diri kepada ALLAH.  Tiada amalan ibadah tertentu dan khas yang bersumberkan nas yang sahih sempena Nisfu Sya`ban.  Hal ini telah disebut oleh beberapa ulama seperti di atas.

  • Jauhkan dari perbuatan syirik dan sifat permusuhan.  Kerana dua sifat yang buruk ini membuatkan diri seseorang tidak mendapat keampunan ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.

  • Berhati-hatilah dengan ancaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dalam hal berdusta ke atas Baginda.  Berdusta ke atasnya bermaksud menyandarkan sesuatu amalan dan perkara kepada Baginda sallAllahu `alaihi wasallam, walhal Nabi SallAllahu `alaihi wasallam tidak pernah berkata, perbuat atau bersetuju amalan sebegitu.  Sabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang bermaksud:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).  Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.”

(HR al-Bukhari, Muslim dan selain mereka.)

Semoga ALLAH Yang Maha Pengampun mengampuni dosa-dosa kita, amin.

WAllahu Ta`ala A`lam.

www.muzir.wordpress.com

(Disusun dan disunting semula bersumberkan artikel di al-Ahkam.net)


%d bloggers like this: