Corak Berbeza Pada Rukun Hajarul-Aswad & Rukun Yamani

Rukun Hajarul-Aswad
Rukun Yamani

Perasan tak corak berbeza pada rukun Hajarul-Aswad dan rukun Yamani?

Pada kelambu Ka`bah yang mulia, dicorakkan dengan corak yang khas bagi membezakan dua rukun (penjuru) yang istimewa ini.  Dari jauh dah boleh nampak dan kenal.

Yelah kadang-kadang tengah tawaf kita tak perasan atau lupa sebab orang terlalu ramai dan bersesak-sesak.  Corak-corak ini memudahkan muslimin-muslimat yang sedang bertawaf untuk mengenalinya.

Rukun Hajarul-Aswad dicorakkan dengan tulisan khat الله أكبر berbentuk bujur (mungkin bentuk perisai) disusun dari atas sampai ke bawah di penjuru tersebut.  Bagi yang melakukan tawaf di dataran mataf, corak tersebut dapat dijadikan panduan khusus mengenali kedudukan Hajarul-Aswad.  Tak perlu lagi melihat ke lampu hijau di sebelah kanan.  Boleh terus melihat ke arah Ka`bah yang mulia.

Tetapi buat yang melakukan tawaf di tingkat G / tingkat 1 / ruang untuk scooter / di bumbung, lampu hijau masih sangat diperlukan sebagai panduan kerana Ka`bah tak begitu kelihatan dengan jelas.

Manakala rukun Yamani dicorakkan dengan corak flora sepanjang penjuru tersebut. Nampak dari jauh coraknya tegak segaris dengan penjuru.

Corak khas ini hanya pada rukun Hajarul-Aswad dan Yamani sahaja. Pada rukun Syami dan `Iraqi dibiarkan kosong.

Apakah amalan khusus apabila sampai di dua rukun (penjuru) ini?

(1) Rukun Hajarul-Aswad:

  • Penjuru ini sangat penting kerana di sinilah bermula dan berakhirnya pusingan sesuatu ibadah tawaf.
  • Disunatkan menyentuh dan mencium Hajarul Aswad jika mampu. Jika tak mampu, cukup dengan mengangkat tangan sebagai isyarat kepada Hajarul-Aswad lalu mengucup tangan tersebut.
  • Disunatkan juga menyebut الله أكبر ketika melakukan perkara di atas.

(2) Rukun Yamani

  • Jika mampu, sunat menyentuh rukun Yamani tanpa menciumnya.
  • Pada penjuru ini sunat untuk kita berdoa kepada ALLAH dengan doa { رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ }
  • Doa tersebut dibaca sepanjang melalui rukun Yamani hingga rukun Hajarul-Aswad.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

* Gambar ini bukan dirakam ketika melakukan ibadah tawaf.


Leave a comment