Category Archives: Sirah

Hijrah Nabi SAW Dari Makkah ke Madinah

Bersambung dari:  https://muzir.wordpress.com/2012/02/06/rasulullah-saw-ketika-di-makkah-bahagian-4/

Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari ALLAH Ta`ala, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda.  Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu.

Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk menunggu tibanya waktu malam.

Dalam masa yang sama, penjenayah-penjenayah besar Quraisy mula melakukan persiapan untuk melaksanakan apa yang telah mereka bincangkan di Darul Nadwah pagi tersebut, iaitu perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  11 orang penjenayah telah terpilih untuk melaksanakan misi jahat tersebut. Continue reading


Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 4

Bersambung dari:  https://muzir.wordpress.com/2012/02/06/rasulullah-saw-ketika-di-makkah-bahagian-3/

Da`wah Islam ke Luar Kota Makkah

Ta’if

Setelah semakin kuat penentangan oleh orang-orang kafir Makkah, Baginda kemudiannya pergi ke Ta’if dengan harapan untuk menyampaikan da`wah.  Baginda telah ke Taif pada bulan Syawwal tahun ke-10 kenabian.  Jarak Ta’if dari Makkah ialah sejauh 60 batu.  Baginda pergi dan balik berjalan kaki dengan ditemani pembantunya, Zaid bin Harithah.

Setiap kali Baginda berjumpa dengan kabilah di jalan, maka Baginda akan mengajak mereka kepada Islam.  Namun tidak satu pun kabilah yang menyahut ajakan Baginda.  Apabila sampai di Ta’if, Baginda berjumpa dengan 3 orang bersaudara dari bani Thaqif.  Ketiga-tiga mereka telah mengejek dan menghina Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Baginda tinggal di Ta’if selama 10 hari.  Sepanjang tempoh itu, semua orang kenamaan telah Nabi jumpa.  Tetapi semua mereka telah menghina Nabi.  Malah mereka menyuruh khadam-khadam mereka membaling batu kepada Nabi ketika Nabi hendak keluar dari Ta’if.  Tumit Nabi terkena batu sehingga kasut Baginda dipenuhi darah.  Zaid bin Harithah yang cuba melindungi Nabi, telah terkena batu di kepalanya.  Continue reading


Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 3

Bersambung dari:  https://muzir.wordpress.com/2011/02/14/rasulullah-saw-ketika-di-makkah-bahagian-2/

Pemulauan

4 peristiwa penting iaitu keIslaman Hamzah, kemudiannya keIslaman Umar, penolakan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam terhadap tawaran orang kafir Quraisy dan kesepakatan Bani al-Muttalib dan Bani Hashim yang terdiri daripada yang Muslim dan yang kafir untuk melindungi Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam benar-benar mencabar para pembesar Musyrikin Makkah.  Kesemua itu berlaku berturut-turut dalam masa kurang dari empat minggu.

Mereka tidak boleh membunuh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam kerana mereka tahu akan berlaku pertumpahan darah yang besar disebabkan oleh Bani al-Muttalib dan Bani Hashim telah bersepakat untuk melindungi Baginda.  Justeru, kafir Quraisy mesti mencari jalan lain untuk membantutkan dakwah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam. Continue reading


Indahnya Rupa Fizikal Rasulullah SAW

Masjid Nabi, Madinah al-Munawwarah.

Kita tidak pernah dapat melihat apatah lagi bertemu dengan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana beruntungnya para Sahabat radhiAllahu `anhum ajma`in.  Namun, kecintaan dan kekaguman yang tinggi para Sahabat terhadap Baginda telah dapat membawa kita kepada peluang untuk mengetahui serba sedikit rupa paras, fizikal serta sifat peribadi Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Sedaya upaya mereka cuba menggambarkan dengan agak terperinci tentang kekasih mereka.

Berikut adalah beberapa riwayat para Sahabat radhiAllahu `anhum tentang rupa paras, keadaan fizikal dan sifat peribadi Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam:

(1)

Daripada Rabi`ah bin Abdul Rahman, beliau mendengar Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak terlalu tinggi dan tidak pendek.  Tidak putih melepak dan tidak gelap.  Rambutnya tidak kerinting dan tidak pula terlalu lurus.  ALLAH Ta`ala mengutuskan Baginda sebagai Rasul ketika umurnya 40 tahun.  Lalu Baginda tinggal di Makkah selama 10 tahun dan di Madinah selama 10 tahun.  Baginda diwafatkan ALLAH Ta`ala pada umur 60 tahun.  Di kepalanya dan di janggutnya tidak sampai 20 helai uban.”

(HR al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

Riwayat yang masyhur dan sahih yang lain mengatakan bahawa Nabi tinggal di Makkah selama 13 tahun dan wafat pada usia Baginda 63 tahun.  Hadith di atas tidak bercanggah dengan hadith-hadith yang lain kerana periwayat hadith ini telah melakukan pembundaran angka.  Iaitu membundarkan 13 kepada 10 dan 63 kepada 60.  Allahu a`lam.  

(2)

Daripada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam adalah seorang yang mempunyai tubuh sederhana, tidak terlalu tinggi dan tidak rendah, bentuk tubuhnya bagus.  Rambutnya tidak kerinting dan tidak lurus.  Warna kulit Baginda putih kemerahan.  Apabila berjalan, pergerakannya condong sedikit ke hadapan.”

(HR al-Bukhari dan at-Tirmidzi)

Condong sedikit ke hadapan seperti kapal sedang berlayar.  Ini menggambarkan betapa gagah, deras dan bertenaganya Nabi berjalan.

(3)

Al-Bara’ bin `Aazib radhiAllahu `anhu berkata:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam adalah lelaki yang sederhana tubuhnya.  Dadanya bidang.  Lebat rambutnya hingga mencecah telinganya.  Aku melihat Baginda memakai kain selendang berwarna merah.  Tidak pernah aku melihat sesiapa pun lebih kacak dari Baginda.”

(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Yang dimaksudkan selendang berwarna merah itu ialah kain berwarna merah yang bercampur dengan warna-warna lain.  Bukan semata-mata warna merah.  

(4)

Daripada al-Bara’ bin `Aazib radhiAllahu `anhu berkata:

“Tidak pernah aku melihat seseorang yang rambutnya panjang melebihi paras cuping telinga, memakai kain selendang berwarna merah yang lebih segak dan tampan dari Rasulullah.  Baginda memiliki rambut yang mencecah kedua-dua bahunya.  Baginda tidak rendah dan tidak pula terlalu tinggi.”

(HR Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)

(5)

Daripada `Ali bin Abi Talib radhiAllahu `anhu berkata:

“Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam tidak terlalu tinggi dan tidak rendah.  Baginda memiliki tapak tangan dan tapak kaki yang tebal berisi.  Berkepala besar.  Tulang sendinya besar.  Baginda memiliki garisan bulu halus dari dadanya hingga ke pusat.  Apabila Baginda berjalan, kelihatan seperti Baginda turun dari tempat tinggi.  Tidak pernah aku melihat sesiapa pun sebelum Baginda dan selepas Baginda yang sebanding Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.”

(HR at-Tirmidzi)

(6)

Ibrahim bin Muhammad (cucu `Ali bin Abi Talib) melaporkan bahawa apabila `Ali menceritakan tentang sifat Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, beliau berkata:

“Rasulullah tidak terlalu tinggi dan tidak juga pendek.  Baginda bertubuh sederhana dalam kalangan kaumnya.  Rambutnya tidak kerinting bergulung dan tidak juga lurus kaku, melainkan ikal beralun.  Badannya tegap tidak gemuk, bentuk wajahnya tidak bulat, tetapi bujur telur.

Kulitnya putih kemerah-merahan.  Anak matanya sangat hitam dan bulu matanya panjang.  Tulang sendinya besar dan bahunya bidang.  Badannya bersih daripada bulu, tetapi mempunyai garisan bulu yang halus memanjang dari dada sampai ke pusat.  Telapak tangan dan telapak kakinya terasa tebal.

Apabila Rasulullah berjalan, pergerakannya kelihatan tegap (kakinya diangkat dengan kekuatan), seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi.  Apabila Baginda berpaling, kedua-dua bahunya turut berpaling (seluruh badannya turut berpaling, tidak hanya muka sahaja).  Di antara kedua-dua bahunya, terdapat khatamun-nubuwwah, iaitu tanda kenabian seorang nabi.  Dan Baginda adalah penutup sekalian Nabi.  Baginda adalah manusia yang paling pemurah.  Dan Baginda adalah orang yang kata-katanya paling jujur.

Baginda adalah manusia yang perangainya paling lembut dan paling ramah dalam pergaulan.  Sesiapa yang melihatnya buat kali pertama, pasti akan menaruh rasa hormat dan segan kepadanya.  Sesiapa yang berkenalan dengan Baginda tentu nanti akan mencintainya.  Orang yang menceritakan sifat Rasulullah, tentunya akan berkata “Belum pernah aku melihat seseorang yang setanding dengannya, samada sebelum kelahirannya ataupun sesudah Baginda meninggal dunia.”

(HR at-Tirmidzi)

(7)

Daripada al-Hasan bin `Ali radhiAllahu `anhuma berkata, “Aku pernah bertanya mengenai sifat Rasulullah kepada pakcikku yang bernama Hind bin Abu Halah (yang memiliki nama samaran Abu `Abdullah).  Hind bin Abu Halah adalah orang yang arif tentang sifat Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  Aku sangat berharap beliau dapat menceritakan beberapa sifat Rasulullah kerana aku mahu mencontohi Baginda.  Lalu beliau berkata:

“Rasulullah adalah seorang lelaki yang berwibawa.  Wajahnya cerah berseri bagaikan bulan purnama di malam hari.  Baginda lebih tinggi daripada orang yang sederhana dan lebih rendah daripada orang yang tinggi lampai.  Kepalanya besar (padan dengan dadanya yang bidang dan tubuhnya yang gagah).

Rambutnya agak beralun.  Apabila rambut bahagian depannya terurai, Baginda membuat belahan dua.  Jika tidak membelah dua, hujung rambutnya dibiarkan sampai cuping telinga, namun tidak melepasi had itu.  Rasulullah menjadikan rambutnya sebagai wafroh (rambut tidak lebih telinga).  

Warna kulitnya putih kemerah-merahan.  Dahinya luas.  Keningnya panjang melengkung tidak bersambung antara keduanya.  Di antara kedua-dua keningnya, ada urat yang akan kelihatan timbul ketika sedang marah.  Hidung Rasulullah mancung.  Di hujung hidungnya kelihatan bercahaya, sehinggakan orang yang tidak mengamatinya menyangka hidung Baginda lebih mancung dan besar (daripada yang sebenarnya).

Janggutnya lebat, kedua-dua pipinya rata (tidak cengkung atau berisi) dan mulutnya lebar sesuai dengan wajahnya.  Giginya agak jarang, namun teratur rapi.  Bulu dadanya halus.  Lehernya indah, tegak dan kuat.

Bentuk tubuhnya sederhana, badannya berisi seimbang, perut dan dadanya sama rata.  Dadanya lebar, kedua-dua bahunya bidang dan tulang sendinya besar.  Bahagian badannya yang tidak ditumbuhi rambut kelihatan bersih bercahaya.

Dari pangkal leher sampai pusat ada bulu yang halus tumbuh seperti garisan.  Kedua-dua puting dadanya dan perutnya bersih tidak berbulu.  Kedua-dua tangan, bahu dan dada bahagian atas berbulu halus.

Kedua-dua lengannya sederhana panjang, tapak tangannya lebar.  Kedua-dua tapak tangan dan kakinya terasa tebal, jari-jarinya panjang, lekukan telapak kakinya (bahagian tengah) tidak menyentuh tanah.  Kedua-dua kakinya halus (tiada lubang atau rekahan) sehingga air tidak melekat di kulit kakinya.

Apabila Rasulullah berjalan, kakinya diangkat dengan kesungguhan.  Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan tenang dan tawadhu`.  Jika Baginda berjalan, pergerakannya cepat seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi.  Dan apabila berpaling, Baginda akan memalingkan seluruh tubuhnya mengadap siapa atau apa yang dipaling.

Pandangan matanya banyak terarah ke bawah.  Baginda menundukkan kepala menatap ke arah bumi lebih lama daripada memandang ke langit.

Apabila ada sahabat berjalan, Rasulullah akan berjalan di belakangnya.  Apabila bertemu dengan orang lain, Baginda yang akan terlebih dahulu memberi salam.”

(HR at-Tirmidzi)

(8)

Jabir bin Samurah radhiAllahu `anhu berkata:

“Rasulullah bermulut lebar, asykalul-`ain dan bertumit nipis.”

Syu`bah berkata, “Aku bertanya kepada Simak:  Apakah yang dimaksudkan dengan bermulut lebar”.  Jawab Simak, “Bentuk mulut lebar seimbang dengan bentuk wajahnya”.  Aku bertanya, “Apa yang dimaksudkan dengan asykalul-`ain?”  Jawab Simak, “Mata putihnya sedikit kemerahan”.  Aku bertanya, “Apa yang dimaksudkan dengan bertumit nipis?”  Jawab Simak, “Daging tumitnya sedikit”.

(HR Muslim dan at-Tirmidzi)

(9)

Dari Jabir bin Samurah radhiAllahu `anhu berkata:

“Aku melihat Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pada suatu malam bulan purnama.  Pada malam tersebut, Baginda memakai pakaian berwarna merah.  Lalu aku melihat kepada Baginda dan kepada bulan purnama, pada pandanganku Baginda lebih indah daripada bulan purnama.”

(HR at-Tirmidzi)  

(10)

Daripada Abu Ishaq, dia berkata bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu: 

“Adakah wajah Rasulullah seperti pedang?”  Al-Bara’ menjawab, “Tidak!  Bahkan seperti bulan”.

(HR al-Bukhari dan at-Tirmidzi)    

(11)

Daripada Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, beliau berkata:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam adalah berkulit putih seakan-akan diperbuat dari perak.  Rambutnya beralun rapi”

(HR at-Tirmidzi)

(12)

Daripada Jabir bin `Abdullah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

“Diperlihatkan kepadaku para Nabi.  Maka ternyata Musa `alaihis salam bagaikan lelaki dari kaum Syanu’ah.  Dan aku diperlihatkan `Isa bin Maryam `alaihis salam, maka ternyata orang paling mirip dengannya yang aku pernah lihat ialah `Urwah bin Mas`ud.  Dan aku melihat pula kepada Ibrahim `alaihis salam, maka ternyata orang yang paling mirip dengannya ialah sahabat kalian (diri Rasulullah).  Dan aku melihat Jibril `alaihis salam, maka orang paling mirip dengannya yang aku pernah lihat ialah Dihyah.”

(HR Muslim dan at-Tirmidzi) 

Kaum Syanu’ah berasal dari Yaman dan dikenali sebagai orang yang mempunyai tubuh yang kuat dan gagah.  Dihyah radhiAllahu `anhu adalah sahabat Nabi yang mempunyai wajah yang kacak dan menarik penampilannya. 

(13)

Daripada Sa`id al-Jurairi berkata, bahawa aku mendengar Abu at-Tufail radhiAllahu `anhu berkata:

“Aku telah melihat Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dan tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang melihatnya selain aku.  Aku (Sa`id al-Jurairi) berkata, “Gambarkanlah Baginda kepadaku”.  Beliau (Abu at-Tufail) berkata, “Baginda putih kulitnya, elok dan sederhana tubuhnya.”

(HR Muslim dan at-Tirmidzi)

Abu at-Tufail radhiAllahu `anhu adalah sahabat Nabi yang terakhir meninggal dunia.  Beliau meninggal dunia pada tahun 110 selepas Hijrah.

(14)

Daripada Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma berkata:

“Adalah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam gigi depannya agak renggang.  Apabila bercakap terlihat seperti cahaya keluar dari celah-celah giginya.”

(HR at-Tirmidzi dan al-Baihaqi)

 

Syamail Muhammadiyah - Halaqah 01 ~ Muqoddimah - Wattpad

Betapa indahnya Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam!

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.

Riwayat-riwayat di atas telah dipetik dari kitab yang sangat terkenal iaitu kitab asy-Syama’il al-Muhammadiyah (kesempurnaan Nabi Muhammad) yang disusun oleh al-Imam at-Tirmidzi.  Kitab ini menyenaraikan sifat-sifat fizikal, akhlaq dan cara kehidupan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam secara agak terperinci.  Di dalamnya menyenaraikan 56 bab mengenai sifat peribadi serta kehidupan Baginda.

Semoga ALLAH mengurniakan rasa cinta dan upaya kepada kita semua untuk ikut sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  La haula wa la quwwata illa biLLAH.

muzir.wordpress.com
31 Januari 2012.

 


Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 2

Bersambung dari:  https://muzir.wordpress.com/2011/02/13/rasulullah-saw-ketika-di-makkah-bahagian-1/

Penghijrahan Beberapa Orang Islam Ke Habsyah

Peta Habsyah (credit to: sirahnabawiyyah.blogspot)

Penindasan oleh musyrikin Makkah semakin dahsyat pada pertengahan tahun ke-5 kenabian.  Orang-orang Islam mula berasa tidak selamat tinggal di Makkah.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sangat memahami keadaan ini.  Pada saat itu, turunlah surah al-Kahfi yang menceritakan tentang 3 hal, iaitu tentang Ashabul-Kahfi, kisah antara Nabi Musa dengan Nabi Khidir dan kisah Zulkarnain.  Ketiga-tiga kisah ini memberikan jawapan kepada Baginda dalam berhadapan dengan situasi yang semakin sempit itu.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah mengetahui tentang kisah seorang raja Habsyi yang adil bernama Ashamah al-Najashi.  Tidak ada seorang pun yang dizalimi olehnya.  Lalu Baginda sallAllahu `alaihi wasallam telah menyuruh sebahagian ummat Islam agar melarikan diri ke Habsyah untuk menyelamatkan diri.  Peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab tahun ke-5 kenabian.  Kumpulan ini terdiri daripada 12 orang lelaki dan 4 orang wanita.  Mereka diketuai oleh `Uthman bin `Affan.  Ruqayyah, puteri Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam turut bersama di dalam kumpulan ini.  Di Habsyah, mereka mendapat tempat kediaman yang lebih baik.

Penindasan yang semakin berat oleh musyrikin Makkah telah membuat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam mencadangkan agar sebahagian ummat Islam berhijrah ke Habsyah seperti kumpulan pertama.  Hijrah kali ini lebih sukar kerana musyrikin Makkah telah bersiap sedia lebih awal untuk menggagalkannya.  Namun, dengan izin ALLAH Ta’ala, mereka dapat juga meloloskan diri berhijrah ke Habsyah.  Kumpulan ke-2 ini lebih ramai, iaitu seramai 83 orang lelaki dan 28 orang wanita. Continue reading


Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 1

Sambungan dari:  https://muzir.wordpress.com/2010/02/18/ringkasan-kisah-muhammad-sebelum-jadi-nabi/

Wahyu Pertama & Kedua

Jabal Nur

Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah mengasingkan diri dari kejahilan dan amalan syirik masyarakat dengan beruzlah di Gua Hira’ di atas Jabal Nur yang terletak kira-kira 2 batu dari Kota Makkah.  Pada bulan Ramadhan tahun ketiga beruzlah di sana, turunlah wahyu pertama daripada ALLAH Subhanahu wa Ta`ala melalui Malaikat Jibril.  Wahyu yang pertama ialah ayat 1-3 dari surah Al-`Alaq.

Menurut pengiraan, peristiwa ini berlaku pada hari Isnin, 21 Ramadhan di waktu malam, bersamaan 10 Ogos 610M.  Ketika itu umur Baginda sallAllahu `alaihi wasallam adalah 40 tahun qamariyyah (perkiraan bulan), 6 bulan dan 12 hari.  Iaitu kira-kira 39 tahun shamsiyyah (perkiraan matahari), 3 bulan dan 12 hari. Continue reading


Ringkasan Kisah Muhammad SAW Sejak Kelahiran Hingga Dilantik Nabi

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada ALLAH Subhanahu wa Ta`ala yang telah mengutuskan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam yang dengannya dapatlah kita mengecapi nikmat Iman dan Islam pada hari ini.  Moga ALLAH Ta`ala melimpahkan solawat dan salam ke atas Baginda dan juga ke atas ahli keluarga Baginda serta para Sahabat Baginda.

Di sini saya cuba ringkaskan beberapa maklumat berkenaan kelahiran dan kehidupan insan mulia yang kita semua sama-sama sayangi dan kasihi sepenuh hati kita.  Rujukan adalah dari kitab al-Rahiq al-Makhtum, tulisan sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri.

Mudah-mudahan bermanfaat buat kita semua, insyaALLAH.

Abdullah dan Aminah

  • `Abd al-Muttalib telah memilih Aminah binti Wahb bin `Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri anaknya, `Abdullah.
  • Aminah dianggap wanita yang paling mulia ketika itu dari sudut keturunan dan kedudukan.  Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah.
  • `Abd al-Muttalib telah mengutus anaknya iaitu `Abdullah ke Yathrib untuk mengambil bekalan dagangan untuk didagangkan di Syam.
  • `Abdullah telah meninggal dunia di Yathrib dan dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Ja’di.  Ketika itu `Abdullah berusia 25 tahun.

Kelahiran Bayi Mulia, Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam

  • Dilahirkan di penempatan Bani Hashim di Mekah.
  • Dilahirkan pada hari Isnin, 9 Rabi`ul Awwal tahun pertama peristiwa gajah, bersamaan 20 atau 22 April 571 Masehi.
  • Apabila `Abd al-Muttalib mendapat tahu berita kelahiran cucunya itu, beliau terus ke Ka`bah lalu berdo`a dan bersyukur.  Lantas diberi nama MUHAMMAD, iaitu suatu nama yang cukup asing bagi masyarakat Arab ketika itu.
  • Orang yang pertama menyusukan Nabi, selepas ibunya ialah Thuwaybah, iaitu seorang hamba kepada Abu Lahab.
  • Baginda dilahir dan dibesarkan sebagai anak yatim kerana telah kematian ayah sejak belum dilahirkan lagi.

Hidup Dalam Keluarga Bani Sa`ad (sehingga umur 4-5 tahun)

  • Menurut adat masyarakat Arab setempat, bayi yang baru lahir akan disusukan oleh perempuan yang berada di luar dari masyarakat setempat.  Ia bertujuan supaya bebas dari dijangkiti penyakit masyarakat setempat, menguatkan fizikal kanak-kanak, mengukuhkan urat saraf serta memahirkan anak terebut dengan bahasa Arab jati sejak kecil lagi.
  • `Abd al-Muttalib telah menyerahkan bayi bernama Muhammad itu untuk dipelihara oleh Bani Sa`ad dan disusukan oleh Halimah al-Sa`diyyah.
  • Selepas 4 atau 5 tahun kelahiran, telah berlaku peristiwa pembelahan dada Baginda sallAllahu `alaihi wasallam oleh Jibril.

Ke Pangkuan Ibu Yang Pengasih (sehingga umur 6 tahun)

  • Selepas peristiwa pembelahan dada tersebut, Halimah berasa risau akan keselamatan anak susuannya itu, lalu memulangkan Baginda kepada ibunya, Aminah.
  • Aminah dan anak yatimnya itu telah membuat keputusan untuk menziarahi kubur suaminya di Yathrib, dengan ditemani oleh `Abd al-Muttalib dan Ummu Ayman (pembantu wanita).
  • Mereka menetap di Yathrib (Madinah) selama sebulan.
  • Dalam perjalanan pulang ke Makkah, Aminah jatuh sakit lalu meninggal dunia di Abwa’, iaitu kawasan di antara Makkah dan Yathrib (Madinah).
  • Anak kecil bernama Muhammad itu terpaksa menjalani kehidupan sebagai anak yatim piatu pada umur 6 tahun.

Ke Pangkuan Datuk Yang Penyayang (sehingga 8 tahun)

  • `Abd al-Muttalib sayu dan sedih dengan kejadian yang berlaku.  Peristiwa lama iaitu kematian anaknya `Abdullah kembali datang menerjah ke dalam memorinya.
  • Beliau membawa pulang anak kecil itu ke Makkah dan menjaganya dengan penuh kasih sayang.
  • Apabila umur Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam mencecah umurnya 8 tahun, 2 bulan dan 10 hari, datuknya `Abd al-Muttalib pula meninggal dunia di Makkah.
  • `Abd al-Muttalib sempat berwasiat agar cucunya Muhammad sallAllahu `alaihi wassalam dijaga oleh Abu Talib, bapa saudaranya iaitu saudara kandung bapanya.

Ke Pangkuan Bapa Saudara (sehingga 40 tahun)

  • Abu Talib telah menjalankan amanah menjaga Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam dengan sesempurna mungkin.
  • Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam telah mendapat perlindungan dan penjagaan dari Abu Talib sehingga akhir hayat Abu Talib.
  • Antara peristiwa penting yang berlaku sepanjang bersama Abu Talib ialah:
    • Hujan turun dengan berkat peribadi anak kecil bernama Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Yang mana ketika itu Makkah dilanda kemarau.
    • Pada umur Baginda 12 tahun, Abu Talib yang ketika itu membawa Baginda berdagang ke Syam telah ditegur oleh seorang Rahib bernama Jarjis, atau lebih dikenali sebagai Bahira.  Setelah melihat ciri-ciri yang ada pada Baginda, Bahira telah memberitahu kepada Abu Talib, “Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh ALLAH sebagai rahmat untuk sekalian alam.”  Bahira menasihatkan agar anak tersebut tidak dibawa ke Syam, kerana ditakuti akan dilakukan sesuatu yang buruk kepadanya.  Lalu Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam dibawa pulang ke Makkah semula.
    • Pada umur 15 tahun, Baginda telah ikut membantu dalam peperangan yang dipanggil Peperangan Fijar.  Peperangan tersebut adalah di antara orang Quraisy dan sekutu-sekutu mereka dari Bani Kinanah dengan Qays bin ‘Aylan.
    • Pada zaman remaja, Baginda tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.  Banyak riwayat mengatakan Baginda mengembala kambing.
    • Pada usia 25 tahun, Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam telah dikenali sebagai seorang yang amanah.  Atas sifat amanahnya itu, Khadijah binti Khuwaylid iaitu pedagang dan hartawan telah memilih Baginda untuk membawa dagangannya ke Syam.  Baginda dibantu oleh hamba Khadijah yang bernama Maysarah untuk berniaga di Syam.  Kembali dari urusan perdagangan, Khadijah tertarik dengan kebolehan Baginda yang telah meraih keuntungan yang banyak dari perniagaan tersebut.  Malah yang lebih penting ialah perwatakan Baginda yang berakhlaq mulia, berfikiran tajam, tutur kata yang benar dan bersifat amanah.  Maklumat ini diperolehi dari Maysarah.  Khadijah yang sebelum ini selalu gagal dilamar oleh para pembesar Quraisy, telah tertarik dengan Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Khadijah yang ketika itu berumur 40 telah menyatakan hasrat untuk mengahwini Baginda, dan Baginda setuju.  Lamaran telah dibuat oleh bapa-bapa saudara Baginda.
    • Pada usia 35 tahun, Baginda membawa peranan yang besar dalam pembinaan semula Ka’bah dan Isu Tahkim.
    • Pada usia 40 tahun, Baginda telah menerima wahyu dari ALLAH.  Bermula pada saat inilah, kehidupan Baginda sallAllahu `alaihi wasallam mulai menerima pelbagai tentangan dan halangan yang besar dari masyarakat.  Bapa saudaranya iaitu Abu Talib telah banyak bertindak melindungi Baginda sehinggalah Abu Talib meninggal dunia pada tahun ke-10 dakwah Nabi.

Allahu Ta`ala A`lam.

Saya sarankan tuan/puan untuk mendapatkan kitab al-Rahiq al-Makhtum karangan sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri untuk bacaan lanjut dan lebih terperinci.  Mudah-mudahan rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, insan yang telah banyak berjasa kepada kita akan semakin subur dan diikuti dengan semangat untuk menyambung perjuangan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan mengamalkan segala sunnah-sunnah Baginda.

SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR
18 Februari 2010
www.muzir.wordpress.com

=====

Boleh sambung bacaan di sini:  https://muzir.wordpress.com/2011/02/13/rasulullah-saw-ketika-di-makkah-bahagian-1/