Author Archives: SN

“Abah, Macam Mana Nak Ada Rasa Takut Kat ALLAH?”

Soalan ni ditanya oleh anak berumur 9 tahun kepada saya. Saya tersentap.

Berat nak bantu jawab.  Sebab abahnya sendiri pun ‘miskin’ dengan sifat tersebut.  Namun sebagai bapa, kita kena bantu anak dengan tujuan anak dapat panduan dan tunjuk ajar.

Tidak lain dan tidak bukan ‘supplement’ untuk menyuburkan rasa takut diri kepada ALLAH ialah dengan membaca al-Qur’an. 

Bukan baca saja-saja.  Tapi baca dengan sungguh-sungguh mahu memahaminya.  Bukan baca dengan laju dan terburu-buru seperti mahu mengejar sesuatu.  Tapi membacanya perkataan demi perkataan mahu menghayatinya.  Kerana al-Qur’an itu ialah petunjuk yang dapat membimbing manusia yang mahu mempunyai sifat taqwa kepada ALLAH.  Dan rasa takut kepada ALLAH adalah salah satu dari makna taqwa itu. 

Di dalam al-Qur’an sarat dengan mesej yang mensifatkan ALLAH.  Sifat TUHAN seluruh alam.  Dengan mengenali sifat-sifat ALLAH, manusia akan kenal lebih dekat akan keagungan ALLAH.  Bukan sahaja rasa takut, malah pelbagai rasa akan muncul dalam diri.  Hormat, segan, cinta, kagum, rindu, rendah diri, tunduk, hina dan 1001 perasaan akan menyusul juga.

Saya tanya kepada anak.  Kenapa dia ada rasa takut kepada sebahagian makhluk?  Walhal makhluk itu semuanya adalah ciptaan ALLAH belaka. Tentulah yang mencipta lebih hebat dan agung dari yang dicipta.

Saya berikan beberapa contoh sebagai latihan berfikir dan merenung.  Supaya dia mengerti bagaimana rasa takut itu boleh hadir dalam jiwanya. Rasa takut itu hadir kerana kita kenal makhluq tersebut, biasa dengar cerita mengenainya, nampak sifatnya dan dapat lihat zahir fizikalnya.

Ya!  Nak hadirkan rasa takut kepada ALLAH ialah dengan cara mengenali ALLAH.  Nak kenal ALLAH, hendaklah dengan al-Qur’an.  Ulang dan ulang baca.  Ulang dan ulang berusaha untuk memahami mesej-mesej di dalamnya. Supaya terus sebati. Supaya dapat istiqamah sampai mati.

Iman itu naik dan turun.  Supaya iman kita terus bertambah dan tidak lekas turun, al-Qur’an hendaklah dijadikan dampingan hidup.  Iman kepada perkara ghaib terutama iman kepada ALLAH dan Hari Kiamat sangat ampuh disegarkan dengan al-Qur’an. 

Selain al-Qur’an, dengan membaca serta mendengar hadith-hadith Nabi dan kisah-kisah ketaqwaan para salafussoleh juga dapat membantu kita mempunyai rasa takut kepada ALLAH.

Sesungguhnya rasa takut kepada ALLAH adalah sesuatu yang sangat tinggi dan penting untuk dimiliki.  Orang-orang soleh dan alim sejak zaman salafussoleh selalu berusaha memilikinya dan mereka meminta kepada ALLAH agar dibantu dapat memilikinya.  Berdoalah kepada ALLAH agar DIA membimbing kita.

Semoga ALLAH kurniakan kita sifat takut kepadaNYA dan mampu beristiqamah dengan sifat tersebut dalam kehidupan kita sampai mati.

Soalan anak tersebut adalah suatu tadzkirah kepada saya.  Ia mengetuk hati saya yang selalu lalai.  Mengajak saya agar memuhasabah diri akan kepentingan mempunyai sifat takut kepada ALLAH dan berusaha menerapkan sifat tersebut setiap masa dalam kehidupan.

Siapa kata anak tak boleh menasihati ibubapanya.  Inilah salah satu caranya.  Iaitu dengan membangkitkan soalan-soalan cepu emas seperti ini.  Terima kasih wahai anak.  Semoga ALLAH pelihara kita semua.


“Bang, Sekarang ni Orang Tak Berapa Baca Dah al-Qur’an”

“Bang, sekarang ni orang tak berapa baca dah al-Qur’an” kata seorang AJK masjid ketika saya nak hantar al-Qur’an yang diwaqafkan oleh orang-orang yang budiman.

Ketika itu negara sedang pulih dari COVID19. Memang masjid agak lengang. Saya akui apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut benar. Bukan sahaja naskhah al-Qur’an tak berapa disentuh oleh ahli jemaah masjid, bilangan yang datang pun tak ramai. Lesu sahaja kelihatan suasana dalam masjid.

Saya teruskan sahaja meletakkan al-Qur’an di tempat-tempat strategik dalam masjid dengan harapan agar naskhah al-Qur’an tersebut mudah dicapai serta kelihatan menarik untuk diambil dan dibaca. Apatah lagi kulitnya menarik berwarna-warni dan nampak eksklusif. Kalau buka di dalam, persembahannya lebih menarik. Ditambah pula dengan adanya terjemahan maksud al-Qur’an. Hasratnya agar bukan sahaja al-Qur’an itu dibaca ayatnya, tapi juga difahami!

Lagipun sasaran penggunaan al-Qur’an waqaf tersebut bukanlah seminggu dua atau sebulan dua, tapi bertahun-tahun hingga berbelas atau berpuluh tahun. Mudahan-mudahan bermanfaat dalam tempoh yang panjang.

Tak lama selepas itu selepas situasi COVID19 negara agak pulih, saya singgah ke masjid tersebut untuk solat fardhu. Kelihatan salah satu al-Qur’an yang diletakkan di situ sedang dibaca oleh seorang lelaki. Naskhah satu lagi berada di saf hadapan di atas sebuah rehal. Kedudukan naskhah-naskhah al-Qur’an yang lain pula berada di sana sini dalam masjid. Ini memberi isyarat kepada saya bahawa naskhah-naskhah al-Qur’an tersebut telah mula dimanfaatkan orang ramai. Bukan terbiar begitu sahaja. Saya lega dan gembira.

Kita buat je apa yang patut kita buat. Selebihnya serah kepada ALLAH. Moga-moga perbuatan baik yang kita cuba usahakan, ALLAH sudi terima dan redho serta membalas kita dengan kebaikan dari sisiNYA. Aamiin…

Terima kasih buat semua yang menyokong usaha ini.

Tuan/puan boleh sertai usaha ini di pautan berikut:

https://ilannur.onpay.my/order/form/waqaf


Projek Belanja Buku

Ada orang minat nak beli buku agama, tapi tiada bajet.

Ada orang tak terfikir nak baca buku agama, tapi kalau orang bagi, dia baca je.  Malah dia hargai dan memanfaatkan ilmu tersebut. 

Ada orang sibuk dan leka dengan urusan harian, sampai tak peduli pasal agama dan ilmu agama.

Ada orang tak tahu nak baca buku agama yang mana sebab terlalu banyak dalam pasaran.

In shaa ALLAH, kami merancang untuk berjumpa masyarakat di jalanan, di kedai/gerai, di sekolah, di masjid/surau, di taman rekreasi dan kawasan sekitar bandar Dungun untuk meningkatkan kesedaran beragama dan mempertingkatkan pengetahuan agama dengan cara memberikan buku-buku agama yang sesuai dan baik kepada mereka.

Kami mengajak tuan/puan memberikan sokongan kepada projek kecil ini dengan menampung harga buku-buku yang akan diagihkan.  Tuan/puan belanja harga buku, kami agihkan.

Moga dengan Projek BELANJA BUKU yang diadakan ini bermanfaat kepada semua yang tersenarai di atas dan lain-lain golongan juga.  

Ramadhan dah dekat.  Semoga usaha ini dapat menyedarkan masyarakat umum akan kepentingan beragama dan kepentingan meningkatkan ilmu agama di samping sibuk dengan urusan penting harian yang lain.  

Ayuh! Semoga keterlibatan anda menyumbang dalam projek ini memanfaatkan diri sendiri dan masyarakat.  Semoga ALLAH terima ia sebagai amalan soleh yang dapat memberatkan timbangan amal kita kelak pada Hari Akhirat.  Aamiin…

Maklumat lanjut:

https://ilannur.onpay.my/order/form/belanjabuku

Terima kasih atas sokongan tuan/puan untuk merealisasikan usaha ini.  Semoga ALLAH berkati.

SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR

019-3826408

Dungun, Terengganu Darul Iman.


Laporan:

Alhamdulillah, telah selesai apa yang cuba diusahakan oleh projek kecil ini.  Walau tak dapat mencapai skala yang diharapkan, namun ia berjaya juga dilaksanakan dengan kadar yang ada.  Terima kasih kepada semua yang terlibat menyumbang dan menyokong hasrat projek ini.  Semoga ALLAH balas semuanya dengan kebaikan.  Aamiin…

Sebanyak 36 buah buku dan majalah tajaan para penyumbang yang budiman telah disampaikan kepada orang ramai dalam rangka bertemu masyarakat awam menyebarkan risalah khas berkaitan Ramadhan. Jelas terpancar keterujaan mereka apabila diberitahu ada orang belanja mereka buku agama.  Tentu seronok dapat hadiah buku kan?  Semoga ia bermanfaat buat merancakkan lagi semangat, ilmu dan iman mereka semua.

In shaa ALLAH, jika ada sokongan yang lebih besar, usaha ini akan dilakukan lagi pada masa akan datang.  Hubungi saya jika tuan/puan ingin berkongsi idea bagi menambahbaikkan lagi usaha ini.  Harapnya lebih banyak buku dapat diberikan dan lebih ramai akan tersenyum gembira apabila dikhabarkan bahawa ada orang belanja mereka buku agama.  🙂

Semoga ALLAH berkati kita semua.

Di bawah ini adalah beberapa gambar yang sempat dirakam.


Agihan Al-Qur’an Waqaf Tahun 1444H

Alhamdulillah. Ini adalah tahun ke-3 usaha waqaf al-Qur’an yang saya usahakan bersama kenalan-kenalan saya. Boleh rujuk sini untuk usaha yang lepas:

a) Agihan Al-Qur’an Waqaf Tahun 1442H

b) Agihan Al-Qur’an Waqaf Tahun 1443H

In shaa ALLAH, dengan sokongan semua, saya akan teruskan lagi usaha ini bagi tahun 1444H.

Jenis al-Qur’an yang digunakan untuk usaha ini ialah al-Qur’an yang mempunyai terjemahan Bahasa Malaysia. Harapannya ialah untuk mengajak masyarakat bukan sahaja membaca al-Qur’an tetapi juga berusaha untuk memahami mesej-mesej mulia dan penting di dalamnya. 

Apakah kelebihan buat yang menyertai usaha ini?

Selain mengharapkan kebaikan di sisi ALLAH yang mana ia adalah tujuan paling utama usaha ini, ia juga dapat memberi kelebihan lain kepada yang menyertai.  Antaranya ialah:

  1. Naskhah al-Qur’an dibayar pada harga yang lebih murah.  Bukan pada harga jualan sebenar di kedai-kedai buku.
  2. Dapat menjimatkan wang, masa dan tenaga kerana tak perlu mengagih dan menghantar sendiri naskhah al-Qur’an ke masjid, surau, madrasah, sekolah atau pusat-pusat dakwah.  Bahkan kos penghantaran samada melalui darat atau udara ditanggung beres.
  3. Urusan sangat mudah kerana boleh disalurkan melalui atas talian (online).
  4. Tiada caj pengurusan.
  5. Tiada mark-up harga.
  6. Naskhah al-Qur’an yang dipilih untuk usaha ini adalah dari edisi terkini, berkualiti, cantik dan disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Malaysia.  Tambahan pula ia mengandungi pelbagai kelebihan antaranya mempunyai terjemahan BM, panduan berwarna hukum tajwid, tafsir ringkas ayat pilihan dan lain-lain lagi.  Ciri-ciri ini diharapkan agar naskhah al-Qur’an yang disumbangkan menjadi pilihan utama para pembaca untuk menggunakannya dan memanfaatkannya.
  7. Dan lain-lain lagi.
Al-Qur’an edisi Haramain bersaiz B5 atau setara.

Senarai Agihan

Berikut adalah senarai agihan:  

✅ Muharram 1444 (30/7/2022 – 28/8/2022)

  1. Masjid Kampung Che Lijah, Dungun, Terengganu – 30 buah
  2. Masjid al-Ehsan, Kg Berjaya KEDA, Jeniang, Gurun, Kedah – 40 buah

Safar 1444 (29/8/2022 – 27/9/2022)

  1. Masjid Pusat Asasi UIA, Gambang, Pahang – 30 buah
  2. SMK TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor – 40 buah

Rabi`ul Awwal 1444 (28/9/2022 – 26/10/2022)

  1. MRSM Kuala Terengganu, Terengganu – 40 buah
  2. Masjid Kg Air Putih, Kemaman, Terengganu – 30 buah
  3. Surau Kg Kubang Kurus, Chukai, Kemaman, Terengganu – 20 buah

Rabi`ul Akhir 1444 (27/10/2022 – 25/11/2022)

  1. Masjid Nurul Hidayah, Kg Baharu Tebing Tembah, Paka, Terengganu – 20 buah
  2. Masjid Lama Kg Tebing Tembah, Paka Terengganu – 20 buah
  3. Surau Hj Abas, Kg Baharu Tebing Tembah, Paka, Terengganu – 8 buah
  4. Masjid al-Khairiah, Batu 7 Taman Tas, Kuantan, Pahang – 12 buah

Jumadal Awwal 1444 (26/11/2022 – 24/12/2022)

  1. Madrasah Tahfiz Darul Hikmah, Chukai, Kemaman, Terengganu. –  60 buah
  2. Masjid Kg Kelulut, Marang, Terengganu – 23 buah
  3. Masjid Kg Rhu Muda, Marang, Terengganu – 22 buah

Jumadal Akhir 1444 (25/12/2022 – 22/1/2023)

  1. Masjid al-I`tisam, TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor – 40 buah
  2. SK TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor – 40 buah
  3. Masjid Kampung Beris Meraga, Chukai, Terengganu – 20 buah
  4. Surau Batu 48, Dungun, Terengganu – 10 buah
  5. Surau Kampung Raja, Sura Hujung, Dungun, Terengganu – 10 buah
  6. Surau Hospital Dungun, Terengganu –  5 buah

Rajab 1444 (23/1/2023 – 21/2/2023)

  1. Surau Baiduri, Kg Geliga Besar, Kemaman, Terengganu – 30 buah
  2. Maahad Tahfiz al-Huda, Batang Kali, Selangor – 30 buah
  3. Maahad Tahfiz Ibnu Katsir, Klang, Selangor – 10 buah
  4. Yayasan Bushra, Shah Alam, Selangor – 20 buah
  5. Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia, Saujana Utama, Selangor – 20 buah
  6. Ghulam al-Dakwah, Shah Alam, Selangor – 20 buah

Sya`ban 1444 (22/2/2023 – 22/3/2023)

  1. Program MSU Quranic League anjuran Management & Science University, Shah Alam, Selangor yang melibatkan penyertaan seluruh negara – 80 buah 
  2. Masjid as-Solihin, Kampung Durian Mentangau, Paka, Dungun, Terengganu – 20 buah
  3. Pusat Islam Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu – 20 buah

Ramadhan 1444 (23/3/2023 – 21/4/2023)

  1. Masjid Kg Chendor, Kuantan, Pahang – 30 buah
  2. Surau al-Hidayah, Bandar Baru Chendor, Kuantan, Pahang – 10 buah
  3. Surau al-Hikmah, Kubang Ikan, Balok, Pahang – 10 buah
  4. Masjid an-Naim, Sura Jetty, Dungun, Terengganu – 30 buah
  5. Masjid Nurul Ehsan, Padang Jambu, Dungun, Terengganu – 30 buah
  6. Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Kampung Molek, Dungun, Terengganu – 30 buah
  7. Surau an-Nur, Kg Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu – 15 buah
  8. Surau Ayoh Weil, Kg Sentul Patah, Marang, Terengganu – 15 buah
  9. Surau Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu – 10 buah
  10. Surau al-Amin Taman Permint, Seberang Paka, Dungun, Terengganu – 10 buah
  11. Surau Hijau, Lorong 3 Kampung Limbong, Paka, Dungun, Terengganu – 10 buah
  12. Surau al-Ulum, Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor – 20 buah
  13. Surau as-Sahabah, Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor – 20 buah

✅ Syawwal 1444 (22/4/2023 – 20/5/2023)

  1. Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang, Terengganu – 30 buah
  2. Masjid Jamek Kampung Bukit Parit, Marang, Terengganu – 30 buah
  3. Surau al-Barakah, Kampung Bukit Baru, Marang, Terengganu – 15 buah
  4. Surau Pengkalan, Kampung Star Kanan, Marang, Terengganu – 15 buah

Dzulqa`dah 1444 (21/5/2023 – )

  1. ?
  2. ?
  3. ?

Dzulhijjah 1444 ( – )

  1. ?
  2. ?
  3. ?

Terima kasih atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama semua yang menyertai.

Semoga usaha ini diberkati dan diterima oleh ALLAH, dikira ia sebagai amal jariah yang berkekalan pahalanya dan dibalas olehNYA dengan kebaikan buat semua yang terlibat.  Mudah-mudahan ia juga memberi manfaat kepada masyarakat sasaran, in shaa ALLAH.

Dari semasa ke semasa memang ada pihak yang memerlukan naskhah al-Qur’an yang baharu, lebih-lebih lagi yang mempunyai terjemahan maksud ayat al-Qur’an kerana naskhah yang mempunyai terjemahan BM memang masih kurang terdapat di surau, masjid, sekolah, pusat pengajian, rumah kebajikan dan pusat-pusat dakwah.  Sama-samalah kita galakkan masyarakat baca al-Qur’an berserta kefahaman.

Jika anda berminat sama-sama menyertai usaha ini, silalah hubungi saya. 

Saudaramu,

Shahmuzir bin Nordzahir, 019-3826408


Tanggapan Kepada Jin Terus Berubah Setelah Baca Sirah

Ada banyak iktibar yang saya perolehi dari membaca buku Sirah Nabawiyyah ar-Rahiq al-Makhtum. Terutama dalam usaha nak memahami jiwa dan perasaan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Tanggapan saya kepada golongan jin juga berubah ketika membaca buku ini. ALLAH memberitahu Nabi bahawa ada segolongan jin menyahut seruan Nabi (tanpa pengetahuan Nabi). Sedangkan ketika itu segolongan manusia mengejek dan membaling batu kepada Baginda. Berita ini dapat menjadi penawar kepada sakit dan penat Nabi setelah dihambat oleh manusia. Manusia tak terima. Jin terima.

Jin adalah saudara makhluq kepada manusia. Ramai manusia bersangka buruk kepada mereka disebabkan oleh tindakan sebahagian jin yang nakal dan degil. Saya tak anggap mereka golongan jahat yang mengusik manusia. Mereka adalah seperti kita. Yang juga ditaklif atas mereka akan perbuatan pahala dan dosa. Bermasyarakat dan bermuamalah juga. Tapi dengan cara mereka. Pengalaman di Makkah baru ni ketika buat haji pun ada dapat pendedahan baharu pasal sikap jin sesama mereka. Sebahagian mereka bukan sengaja nak kacau manusia, tapi kadang-kadang muamalah mereka sesama mereka ada melibatkan manusia terutama jin yang melangkaui batas peraturan agama.

Terlalu banyak ibrah dapat kita keluarkan dari sirah Nabi Muhammad ﷺ. Kadang-kadang apabila datang sesuatu situasi dalam masyarakat dalam negara dan seluruh dunia, kita dapat mengaitkannya dengan sirah. Apakah perbuatan Nabi dan sikap para Sahabat dalam berhadapan situasi seumpama itu. Sekurang-kurang kita ada sedikit sebanyak panduan untuk diri sendiri.

Menariknya baca buku sirah ni, ia disusun ikut kronologi. Mudah faham konteksnya berbanding membaca potongan-potongan kisah. Apatah lagi kalau buku sirah tu meletakkan sekali ayat al-Qur’an dalam Bahasa Arab bukan sekadar terjemahan. Itu lebih memberi kesan yang syahdu ke dalam qalbu.

Bacalah sirah Nabi di samping lain-lain bahan bacaan penting. Baca sirah bukan sekadar nak tahu kisah, tapi yang lebih penting ialah ibrah yang diceduk buat bekalan menjadi hamba ALLAH yang 100% menyerah.

SIRAH NABAWIYYAH AR-RAHIQ AL-MAKHTUM
https://ilannur.onpay.my/


Semangat Budak Ini Bagi Salam

Belum sempat saya sampai ke tangga masjid, ada sorang budak bagi salam.

“Assalamu`alaikum!” Dia beri salam sambil tersenyum riang.

“Wa`alaikumussalam wa rahmatullah. Bagus-bagus! Siapa yang bagi salam dulu dia menang.” Jawab saya mesra kepadanya.

Senyum-senyum dia pandang kawannya di sebelah dan berbisik. Tapi suaranya saya dapat tangkap dengar.

“Hah kan aku dah cakap.” Bisiknya.

“Assalamu`alaikum!” Kawan di sebelahnya pula ucapkan salam kepada saya.

Saya jawab salamnya sambil memuji perbuatan mereka berdua lalu terus masuk ke dalam masjid.

Mereka berdua ni dalam lingkungan darjah 5-6 agaknya. Tapi dah mempunyai semangat yang tinggi dan berani untuk memulakan ucapan salam kepada orang lain. Ucapan salam pula jelas dan baik serta beradab.

Masih ramai yang belum ada semangat dan keberanian macam budak ni. Sedangkan ia sunnah Nabi Muhammad ﷺ. Memang dalam hadith diceritakan Nabi Muhammad ﷺ selalu mendahului salam kepada orang lain walau Baginda seorang pemimpin yang dihormati. Kenal atau tak kenal Nabi bagi salam belaka. Itulah perbuatan Nabi. Dan sangat wajar kita hidupkan sunnah Nabi ini.

Berebut-rebutlah bagi salam. Jangan malu dan segan. Ia perbuatan mulia yang sepatutnya dihidupkan.

Kalau nak baca lebih lanjut hadih-hadith pasal sunnah menyebar-luaskan ucapan salam, bacalah di sini: https://muzir.wordpress.com/2011/06/17/keutamaan-menyebarluaskan-salam/

Dalam tu pun ada kisah `Abdullah bin `Umar radhiAllahu `anhuma yang sangat semangat menghidupkan sunnah menyebarluaskan salam ini. Boleh jadikan kisah tersebut sebagai motivasi dan tauladan.


𝘽𝙀𝙍𝙄𝙏𝘼 𝙏𝙀𝙍𝙆𝙄𝙉𝙄 𝘿𝘼𝙍𝙄 𝙃𝘼𝙍𝘼𝙈𝘼𝙄𝙉 1443𝙃/2022𝙈

𝘽𝙀𝙍𝙄𝙏𝘼 𝙏𝙀𝙍𝙆𝙄𝙉𝙄 𝘿𝘼𝙍𝙄 𝙃𝘼𝙍𝘼𝙈𝘼𝙄𝙉 1443𝙃/2022𝙈

1️⃣👍
Video LIVE dari Masjidil-Haram:
https://youtu.be/Qgxv7pkZMnU

2️⃣👍
Video LIVE dari Masjidin-Nabawi:
https://youtu.be/dleEwheC0Tg

3️⃣👍
Berita dan maklumat terkini mengenai jemaah haji di bawah Muassasah Tabung Haji:
https://www.facebook.com/TabungHaji/

Sebarkan kepada semua agar lebih ramai dapat melihat dan mendapat berita terkini dari Tanah Suci Makkah dan Madinah. Semoga ALLAH berkati dan kurniakan kita semua akan kesempatan ke sana. Aamiin… 🤲


SOP Masjid Bermula 1/4/22 di Terengganu


Natijah Musibah

Musibah sepatutnya menjadikan kita sedar betapa kita perlukan TUHAN, kembali mengingati TUHAN, banyakkan pergantungan kepada TUHAN dan sedar diri bahawa diri lemah perlukan bantuan TUHAN. Juga sedar bahawa hakikat semua yang ada pada diri dan sekeliling kita adalah sementara sahaja. Tiba masa, ia musnah jua.

Kalau musibah tak melembutkan jantung hati kita malah membuatnya keras dengan salah menyalah, tuduh menuduh, saling bergaduh dan banyak menyalahkan orang lain, maka risaulah kerana perbuatan itu semakin menjauhkan kita dari kehendak TUHAN.

Musibah dapat melonggarkan pautan kuat kita kepada dunia. Membuatkan kita sedar bahawa dunia ini hanya sementara. Bahawa Akhiratlah destinasi kita. Cinta kepada Akhirat semakin membesar lantaran kesedaran yang TUHAN hantar melalui musibah.

https://muzir.wordpress.com/2018/09/23/al-quran-muka-surat-24-604/

Ucapan istirja` “إنا لله وإنا إليه راجعون” diajar TUHAN agar kita menyebutnya ketika dilanda musibah. Kalau dengan menyebutnya sekali, jantung hati kita tak berdetak sedar bahawa kita semua milik TUHAN dan pasti kembali kepada TUHAN; maka ulang-ulanglah sebut sepanjang ditimpa musibah itu. Moga jantung hati kita sedar dan terpujuk dengan lafaz yang mulia ajaran TUHAN itu.

Kembali kepada TUHAN.
Itulah natijah dari musibah.
Kembali ingat, rujuk, ibadah, taubat dan bergantung kepada TUHAN.

Kita lemah, TUHAN kuat.
Kita miskin, TUHAN kaya.
Kita kurang, TUHAN memiliki dan berkuasa ke atas segalanya.
Kita mati, TUHAN hidup dan tak mati selama-lamanya.


SOP Solat di Masjid Seluruh Negara

Tengahari tadi ada seseorang dari Selangor mesej saya mengenai SOP Solat Jumaat. Saya hanya mampu jawab SOP di Terengganu je. Saya ingatkan tak banyak beza, rupanya ada beberapa tempat ketat SOPnya. Ada jadual sebegini senang nak rujuk lain kali kalau ada orang tanya.

SOP Solat Jumaat dan Solat Fardhu di Masjid dan Surau di Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Sepanjang Tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN). Dikemaskini sehingga 8 Oktober 2021 – Sumber FB JAKIM


%d bloggers like this: