Baru-baru ini, kami suami isteri membincangkan berita tentang kanak-kanak dan remaja yang saban hari dilaporkan terlibat dengan pelbagai masalah dan gejala sosial. Ada yang terlibat dengan gejala ponteng sekolah, merokok, tak hormat orang tua, sehinggalah kepada gejala seksual, gangsterisme dan sebagainya. Sangat merisaukan!!
Ada banyak faktor yang menyebabkan ia berlaku. Rakan sebaya, media, sekolah dan teknologi internet adalah antara yang utama menjadi faktor. Namun, sebelum kita ingin melihat ke luar, saya rasa elok kita lihat rumahtangga kita dahulu. Ibubapa sebenarnya menyumbang faktor terbesar dalam membentuk peribadi, akhlaq dan jatidiri anak-anak.
Mungkin kita boleh mempelajari sesuatu dari video berikut:
Sebelum mereka dihasut dengan pengaruh luar, dan sebelum mereka mengenal tangan-tangan di luar; mereka terlebih dahulu banyak dipengaruhi oleh ibubapa. Saya percaya ramai menyedari hakikat ini. Oleh itu, usahakanlah selagi diberi peluang dan ruang untuk kita menanam nilai yang soleh ke dalam diri anak-anak kita.
Sungguh, anak-anak kita dilahirkan ke dunia ini bersih tanpa dosa. Mereka tidak mengerti apa-apa. Hari demi hari, mereka mengutip pelajaran kehidupan. Sudah tentulah, kita sebagai ibubapa iaitu insan yang paling dekat dan paling awal dikenalinya akan menjadi tempat rujukan utama. Mata, telinga, mulut dan segala pancaindera mereka menyerap segala apa yang dilihat, didengar, dirasa dan disentuhnya.
Ayuh ibubapa, kita bentuk kebaikan diri kita! Kita perbaiki akhlaq kita! Kita perkemaskan pendekatan kita! Agar anak-anak kita hanya mencontohi yang baik-baik daripada kita.
Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam bersabda:
“Tiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah-Islami). Ayah dan ibunya lah kelak yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (penyembah api dan berhala).” (HR. Bukhari)
Semoga mereka (kita dan anak-anak kita) menjadi muslim yang soleh. Berguna buat agama, keluarga dan negara, amin…
WAllahu Ta’ala A’lam.
SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
28 Julai 2008