Tag Archives: kewangan

Kursus Perancangan Kewangan Islami (10/6/2012, SC)

Kursus Perancangan Kewangan Islami.

Tarikh: 10 JUN 2012.
Tempat: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara, KL.
Masa: 8 pagi – 6 petang

Maklumat lanjut dan yuran penyertaan adalah seperti tertera di dalam poster.

Peta: Continue reading


Pertanyaan Takaful

Sila gunakan borang ‘online’ ini untuk bertanya apa-apa hal tentang Takaful.  Terima kasih.


Persepsi Non-Muslim Terhadap Sistem Kewangan Islami

Pada 13 MAC 2010 yang lepas, saya telah menghadiri Konvensyen Kewangan & Perbankan Islam 2010 bertempat di Dewan Seminar Masjid Shah Alam.  Ia dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Antara tokoh yang hadir bagi membentangkan beberapa tajuk dan isu berkaitan adalah:

  • Prof Madya Dr Mohamad Akram Laldin, Pengarah Eksekutif International Shariah Research Academy (ISRA).
  • Prof Madya Dr Azman Mohd Noor, Pensyarah Department of Fiqh & Usul Fiqh, International Islamic University Malaysia
  • Prof Madya Dr Wajdi Dato’ Dusuki, Ketua Jabatan Penyelidikan International Shariah Research Academy (ISRA)
  • Dato’ Haji Mokhtar Shafie, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor & Pengerusi Penasihat Syariah Takaful IKHLAS Sdn Bhd
  • Ust Mohd Zamerey Abdul Razak, Setiausaha Majlis Penasihat Syariah Asian Finance Bank Berhad
  • Ust Zaharuddin Mohammad, Ahli Penasihat Syariah HSBC Amanah Takaful
  • Professor Bala Shanmugam, PhD FCPA Monash University Malaysia

Yang paling menarik minat saya sepanjang konvensyen tersebut ialah pada sesi pembentangan oleh Professor Bala Shanmugam dari Monash University Malaysia.  Beliau membentangkan tajuk Islamic Financial System:  A Research Perception Among Non Muslims in Malaysia.

Professor Bala Shanmugam

Pada awal pembentangan, beliau telah memulakannya dengan sejarah beberapa agama yang telah cuba menerapkan nilai agama mereka ke dalam sistem kewangan masyarakat.  Agama Kristian, Yahudi dan lain-lain agama telah gagal memasukkan nilai agama kepada sistem kewangan.  Mereka telah gagal walaupun telah mencuba beberapa kali.  Malah percubaan dan usaha tersebut sentiasa mendapat tentangan yang hebat dari kalangan masyarakat mereka.  Telah nyata bagi mereka bahawa agama dan sistem kewangan tidak boleh digandingkan.  Ia mesti diasingkan.

Namun menurut Professor Bala, Islam tidak menerima nasib yang sama seperti agama-agama lain yang cuba memasukkan nilai agama ke dalam sistem kewangan.  Islam telah dilihat berjaya dalam perkara ini.  Nilai-nilai Islam telah berjaya dimasukkan ke dalam sistem kewangan dan kini ia digelar Sistem Kewangan Islami.  Malah, ia telah berjaya menambat hati pelanggan-pelanggan yang bukan Islam, di samping sokongan dari ummat Islam sendiri.

  • Apa yang membuatkan ISLAM boleh berjaya? 
  • Adakah ia mempunyai ciri-ciri yang istimewa yang tidak diperolehi di dalam agama lain?

Continue reading


BULUHMAS disita!

Semalam adik ipar di Johor menghubungi saya melalui SMS mengatakan bahawa Buluhmas telah disita.  Mujurlah dia mengambil nasihat saya, katanya.  Jika tidak, pasti kerugian.  Berita yang disampaikan beliau saya sambut dengan perasaan yang bercampur-campur.  Sedih pun ada, marah pun ada, geram pun ada.

Mana tak geram, marah dan sedih?  Tak habis2 kita menjadi mangsa.  Ummat Melayu.  Muslim.  Jerih payah mencari rezeki dihanguskan dengan skim2 seumpama ini.  Sudahlah pemilikan wang dan aset kita yang muslim ini sedikit, yang sedikit ini pun hangus juga.  Apabila wang JUTAAN RM disita dan dibekukan oleh pihak berkuasa, maka statik sahajalah fungsi duit yang banyak itu.  Tak dapat dikembangkan.  Tak dapat dimanfaatkan.

Saya secara peribadi ingin mengajak kalian agar bacalah buku2 tentang asas perancangan kewangan.  Melalui ilmu asas berkenaannya, selain mengajar kita tentang mengatur struktur kewangan, insyaALLAH kita juga akan berupaya memilih instrumen kewangan yang betul untuk wang kita disalurkan.  Bukannya menyalur wang yang telah penat disimpan ke skim2 yang ‘tak tentu hala ini’.

Sedangkan instrumen kewangan yang disahkan BNM dan SC pun kita kena berhati2 dan mengukur tahap risiko, inikan pula skim2 yang entah punca dari mana ini?!  Nasihat saya, jauhkanlah!

Jika mahu dilihat dari sudut ISLAM pula, skim2 yang melata tumbuh mutaakhir ini kebanyakannya bermasalah dari sudut syariah.  Ada yang melibatkan unsur perjudian, ada yang melibatkan Riba’, ada yang melibatkan gharar, ketidakadilan dan bermacam2 lagi.  Sebagai seorang muslim yang ingin mencapai TAQWA, sifat menjauhkan diri dari perkara yang syubhah dan tidak ketahuan hukumnya perlu dipraktikkan dalam kehidupan.  Dalam setiap sudut kehidupan.

Press statement BNM


RIBA dan Hukumannya!

(1)   RIBA dihukumkan sebagai antara DOSA BESAR.

(2)  Pemakan dan Pemberi RIBA perangi Allah subhanahu wataala dan Rasulullah sallAllahu alaihi wasallam. 

Firman Allah subhanahu wataala:

“Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertobat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah: 279).

Ikhwanul muslimin, betapa beratnya ayat ini hendak kita terima. Bagi yang berhati lunak dengan agama, apabila dibaca ayat ini terasa gementar jasadnya, tak tertahan air mata…terus meluncur, bercucur. Gerun. Betapa Allah pujaan kita menyuruh kita agar isytiharkan perang denganNya dan RasulNya jika kita masih berdegil tidak mahu meninggalkan RIBA. Ayat inilah yang membuatkan kita semua kuat terpanggil untuk menjauhi RIBA. 

Mahukah kita berperang dengan Allah dan RasulNya???

(3)   Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Firman Allah subhanahu wataala:

”Allah menghancurkan keberkatan kerana RIBA dan menambahkan keberkatan dari sedeqah”.(Al-Baqarah : 276)

Sabda Rasulullah sallAllahu alaihi wasallam dari ibnu Mas’ud radhiAllahu ‘anhu:

Ertinya: ”Sesungguhnya RIBA walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa” (Riwayat Ahmad, al-Hakim) – Musnad Ahmad, no 3754, 1/395; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan (Fath al-Bari, 4/399)

Berkata Ibn Abbas radhiAllahu ‘anhu:

Ertinya: ”Tidak diterima dari pemakan RIBA (yang menggunakan harta RIBA’) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya” – Al-Jami’ li Ahkami Quran, al-Qurtubi, 3/362; az-Zawajir, ibid, 1/224

Apa guna hidup tanpa barakah??? Hidup mungkin kaya, hasil pelaburan mungkin berganda. Namun, janganlah dengan mengejar kekayaan dan kemewahan itu membuatkan kita makin jauh dari rahmat Allah, malah mengundang murka Allah.

(4)  Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri

Nabi sallAllahu alaihi wasallam bersabda :

Ertinya : ”RIBA mempunyai 73 pintu, RIBA yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.. ” (Riwayat Ibn Majah dan al-Hakim) – Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 al-Hakim : Sohih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim.

(5)  Lebih Berat Dari 30 Kali Zina.

Nabi sallAllahu alaihi wasallam bersabda :

Ertinya: ”Satu dirham RIBA yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali” (Riwayat Ahmad & ad-Dar Qutni) – Musnad Ahmad, 2/225; ad-Dar Qutni, hlm 295; Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103

Cukuplah dengan dalil-dalil di atas bagi membuatkan kita cukup2 insaf dan gerun akan amaran/ancaman dan murka Allah subhanahu wataala berkenaan RIBA.

Beralihlah ke sistem muamalah Islami yang pastinya bebas dari RIBA. Berikut adalah antara perkara yang boleh menjuruskan kita kepada RIBA:

  • Perbankan konvensional
  • Insurans konvensional
  • Urusan hutang piutang (tidak kira dengan institusi mahupun dengan individu seperti kawan, adik-beradik dll, apatah lagi dengan ah-long)
  • Urusan muamalah berkaitan item RIBAWI seperti emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam.
  • Menjebakkan diri dengan skim-skim simpanan/pelaburan/perniagaan yang meragukan dan tidak diperiksa akan kepatuhannya kepada prinsip syara’.

Saranan:

  • Beralihlah kepada Perbankan Islami.
  • Beralihlah kepada Takaful.
  • Tambahilah ilmu dengan mendekatkan diri kita dengan majlis ilmu. Agar kita berupaya mengenalpasti perkara2 berkaitan RIBA, lantas menjadikan urusan muamalah seperti hutang dan berkaitan item RIBAWI menepati cara yang dibenarkan syara’.
  • Jauhilah perkara HARAM.  Ambillah perkara yang HALAL.  Jika kalian ragu-ragu samada ia HALAL atau HARAM, sesungguhnya menjauhinya lebih dekat dengan sifat TAQWA.

Beberapa dalil di atas adalah dipetik sebahagian kecil dan disusun semula bersumberkan kertas kerja yang disampaikan oleh Ust Zaharuddin bertajuk “Halal & Haram Dalam Urusan Kewangan:  Antara Dosa dan Harta” di Seminar Perdana ISLAM sebagai Sebuah Cara Hidup pada 15 & 16 April 2006 di DBP, KL.

Semoga kita semua bebas dari RIBA, amin…

WAllahu ta’ala a’lam.

www.muzir.wordpress.com


Saya dan RIBA

Seingat saya, RIBA tidak diajar secara formal di dalam kelas.  Maaf, mungkin saya salah.  Namun, apa yang saya nak kata ialah saya tak ingat di mana saya mengenali RIBA sepanjang pembelajaran formal sukatan pelajaran darjah 1 – tingkatan 5.

 

RIBA adalah DOSA BESAR.  Namun, tak ramai mengenali RIBA dan besarnya kemurkaan ALLAH terhadap manusia yang melibatkan diri dengan RIBA.  Pada pandangan manusia biasa, RIBA hanyalah dosa tahap biasa-biasa.  Mungkin ini disebabkan kurangnya penekanan RIBA dalam sistem pelajaran kita, tak kiralah samada ia KBSR/KBSM, malah mungkin pengajian-pengajian agama di institusi sekolah/masjid/pondok juga kurang menekankannya.  Tidak hairanlah, RIBA telah memerangkap ramai orang awam seperti kita, malah amat menyedihkan kita, ustadz-ustadz sendiri turut sama terlibat.  Astaghfirullah!

 

(1)
Alhamdulillah, saya telah ditanam rasa bencikan RIBA sejak di tingkatan 2 di Sek Men Agama Kuala Lumpur (SMAKL).  Cikgu Mohd Nor bukanlah seorang ustadz yang mengajar matapelajaran agama.  Tetapi, beliau mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup (Perdagangan).  Di samping mengajar mengikut sukatan yang telah ditentukan, beliau selalu memberi tadzkirah (peringatan), khususnya dalam hal kewangan dan ekonomi ummat ISLAM.  Sangat terserlah kerisauannya kepada terjebaknya ummat ISLAM di dalam dosa besar RIBA.

 

”Walaupun kamu cuba untuk menjauhi RIBA, namun debu-debu RIBA pasti akan terkena kepada kamu”, itulah antara kata-kata beliau yang saya masih ingat.  Beliau ingin membayangkan bahawa RIBA adalah dosa besar yang sudah bersebati dengan kehidupan masyarakat moden.  Untuk keluar daripada belenggu RIBA, amatlah sukar tetapi tidak mustahil.  Namun, ia tetap dosa besar yang menuntut kita semua supaya terhindar darinya.  RIBA adalah dosa besar, bukan dosa kecil.

 

(2)
Kemudian, apabila menyambung pelajaran ke MRSM Muar, sekali lagi saya disuntik semangat untuk menjauhi RIBA apabila cikgu Sheikh memberitahu bahawa beliau membeli van secara tunai.  Semata-mata untuk mengelakkan diri dari terlibat dengan RIBA.  Kalau beli van melalui pinjaman bank, tentu akan terlibat dengan RIBA. 

 

Perbualan tersebut saya rakam di dalam jiwa saya yang ketika itu bukan di dalam kelas formal, tetapi hanya ketika saya dan rakan-rakan sedang berkumpul di depan dorm, sambil makan burger.  Cikgu Sheikh bukanlah ustadz yang mengajar matapelajaran agama, namun nampak jelas komitmen beliau dalam menjalani kehidupan dalam keadaan beragama. 

 

Sejak itu, saya mula berfikir tatkala sudah habis belajar nanti, bagaimana hendak membeli kereta dan rumah secara tunai, semata-mata untuk menjauhkan diri dari dosa besar RIBA.  Aduh, mampukah saya?  Itulah kerungsingan yang saya bawa selama beberapa tahun setelah mengutip pengajaran RIBA daripada cikgu Mohd Nor dan cikgu Sheikh.  Terima kasih cikgu!  Moga ALLAH memberkati kehidupan cikgu berdua, amin.  Cikgu-cikgu lain turut ada saham dalam pembentukan diri ini, namun dalam bab RIBA khususnya, saya hanya mengingati dua orang cikgu ini. 

 

(3)
Saya tercuit lagi dengan kerisauan tentang RIBA ketika di dunia universiti, tatkala tekun mengikuti kuliah agama melalui kaset.  Kuliah-kuliah di masjid yang saya hadiri, tak teringat pula di mana saya mendengar tentang RIBA.  Mungkin ada, namun ia sepintas lalu tanpa penekanan yang menyeluruh oleh penceramah.  Justeru, ia tak menusuk ke jiwa.  Dalam bab lain, Ya! Kuliah di masjid telah banyak saya dapat manfaat ilmunya. 

 

Ketika di universiti, selain kaset Ustadz Ismail Kamus, Harun Din, Abd Salam, Tuan Ibrahim dan lain-lain, kaset kuliah agama bersiri oleh Ustadz Samsuri menjadi kegemaran saya ketika itu.  Tatkala kaset lain lebih berbentuk ceramah umum, kaset Ustadz Samsuri lebih ilmiah sifatnya.  Pendekatan beliau yang menggunakan kitab Bahrulmazi melegakan kehausan saya yang dahagakan ilmu agama.  Dalam hal RIBA, kaset beliau yang bertajuk “Debu-debu RIBA” telah benar-benar menjadi salah satu jalan hidayah dan taufiq dari ALLAH kepada saya.  Alhamdulillah.  Makin takut saya kepada RIBA.  Kerana ia bukan dosa kecil, ia adalah DOSA BESAR!!!

 

(4)

Cabaran sebenar saya berhadapan dengan RIBA adalah tatkala ingin membeli motorsikal pertama saya.  Ketika di universiti (1997), saya telah diberi keizinan oleh ALLAH untuk membeli motorsikal pertama saya secara tunai, alhamdulillah.  Second-hand Yamaha RXZ berharga RM3500 telah menjadi milik saya ketika itu.  Risau juga ketika itu takut-takut terpaksa terjebak dengan RIBA.  Namun, alhamdulillah kerana dipermudahkan ALLAH.  Saya hanya berpeluang memilikinya pada tahun kedua pengajian hasil jimat cermat duit pemberian biasiswa yang telah ditaja oleh sebuah syarikat swasta.  Agak tinggi juga nilai biasiswanya berbanding lain-lain syarikat ketika itu.  Saya telah memilih biasiswa tajaan Gamuda Berhad dan terpaksa menolak tawaran-tawaran lain dari Sony, NEC, JPA dan MARA.  Hasil duit biasiswa tu, saya berupaya membeli secara tunai komputer meja pada tahun pertama di universiti.  Tahun kedua, beli tunai motorsikal.

 

Saya telah memperbaharui insurans motor dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad, walaupun kawan saya kata ia tindakan yang rugi kerana insurans motor untuk motorsikal tersebut masih ’hidup’. 

 

”Kenapa nak renew baru, kan hidup lagi insurans tu?!” tanya kawan saya.  ”Saya nak yang Takaful” jawab saya. 

 

Saya berasa lega, kerana pada waktu itu sudah ada syarikat yang menawarkan Takaful.  Bayangkan jika ketika itu tiada syarikat Takaful.  Sudah tentu saya terpaksa membeli insurans dengan syarikat insurans konvensional, yang jelas padanya RIBA!  Sekurang-kurangnya untuk urusan pertama jual-beli kenderaan saya sudah bebas dari RIBA, alhamdulillah.  Saya sangat bersyukur diberi nikmat seumpama ini. 

 

Ini semua adalah hidayah dan taufiq dari ALLAH…

 

Setelah tamat pembelajaran di universiti dan meneruskan kehidupan ke dunia pekerjaan; urusan muamalah seperti pembelian rumah, kereta, penggunaan kad ’kredit’, perbankan, insurans dan lain-lain telah dipermudahkan ALLAH untuk saya beristiqamah dengan sistem muamalah Islami.  Saya bersyukur tinggal di Malaysia dan hidup pula pada zaman di mana usaha sistem perbankan dan insurans Islami sedang giat diusahakan.  Ia memberi ruang untuk kita menarik nafas lega untuk BEBAS DARI RIBA.  Namun, perjalanan dan perkembangan sistem muamalah Islami ini masih jauh dan terlalu banyak ruang penambahbaikkan perlu diteruskan.

 

(5)

Walaupun saya bekerja sebagai seorang jurutera di syarikat yang menaja saya sewaktu belajar dulu, namun saya mempunyai kecenderungan dan minat yang mendalam di dalam pengurusan kewangan peribadi.  Buku Perancangan Kewangan Keluarga terbitan Bank Negara Malaysia adalah panduan terawal saya dalam mengatur struktur pengurusan kewangan saya.  Masa tu saya berumur 22 tahun.

 

Setelah membaca beberapa buku kewangan tulisan Azizi Ali, Milan Doshi & Robert Kiyosaki; minat saya dalam hal kewangan peribadi semakin mendalam.  Saya selalu memberi nasihat kepada adik-adik dan rakan-rakan dalam hal asas kewangan, tapi diselitkan unsur-unsur Islami iaitu ke arah memilih sistem kewangan yang bebas-RIBA.

 

Malah, saya selalu menghantar email ke dalam rangkaian yahoogroups dan intranet Gamuda Berhad tentang kepentingan memilih sistem kewangan Islami.  Kadang-kadang saya forwardkan spread-sheet yang saya buat sendiri berdasarkan pembacaan saya di buku-buku kewangan dan selitkan idea-idea muamalah Islami.

 

Minat saya dalam kewangan peribadi akhirnya telah membuka jalan kepada kerjaya baru yang jauh dari kelulusan akademik saya, yang telah mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Mekanikal & Bahan. 

 

Kini, saya bergelar Perunding Takaful dan selalu terlibat dalam memberi nasihat kepada orang ramai dalam memilih sistem kewangan Islami, khususnya berkaitan pengurusan risiko kewangan iaitu TAKAFUL.  Dalam bidang ini, semua Perunding Takaful mempunyai 2 cabaran yang utama, iaitu:

  • Memberi kesedaran tentang peri pentingnya pengurusan risiko kewangan di kalangan ummat ISLAM, khususnya Melayu.  Ini kerana ummat Melayu di negara ini masih mempunyai kesedaran yang rendah dalam hal pengurusan risiko kewangan berbanding kaum lain.

  • Setelah kesedaran itu ada, perlu dibawa pula masyarakat agar memilih pelan pengurusan risiko kewangan yang berlandaskan ISLAM, iaitu yang bebas RIBA.  Dalam hal ini, Takaful mempunyai penyelesaiannya.

Dalam perkembangan teknologi maklumat kini, saya turut mengambil bahagian dalam menyampaikan maklumat takaful melalui siber menerusi laman web peribadi saya, iaitu www.takafulonline.net

 

(6)
Jika semasa di sekolah menengah rendah, saya dicetus semangat jauhkan RIBA oleh cikgu Mohd Nor.  Di sekolah menengah atas pula, cikgu Sheikh.  Di Universiti, ceramah Ustadz Samsuri.  Kini, saya terus mendapat motivasi lagi dalam bidang ini.  Iaitu melalui Ustadz Zaharuddin pula.

 

Sebenarnya saya mengenali ustadz Zaharuddin sejak di bangku universiti lagi.  Waktu tu beliau sangat aktif dengan harakah Islamiyyah.  Tak perlulah saya perincikan cerita.  Namun, ustadz Zaharuddin melalui laman webnya, www.zaharuddin.net telah membuka lembaran baru kepada ummat ISLAM di Malaysia dalam mengenali sistem muamalah Islami.  Kini, sudah ramai yang peka dan berhati-hati dalam menangani isu-isu muamalah. 

 

Artikel-artikel beliau kini menjadi bacaan dan rujukan saya sebagai persediaan menghadapi masyarakat.  Tugas saya sebagai Perunding Takaful telah membolehkan saya berjumpa dengan ramai orang dan menyampaikan mesej ”JAUHKAN RIBA!” melalui cara saya yang tersendiri. 

 

Kebiasaannya, orang ramai yang saya jumpa bukan hanya bertanya pasal Takaful, tapi merangkumi banyak perkara, khususnya sistem kewangan Islami.  Walaupun saya akui masih banyak yang perlu saya pelajari dan terokai dalam bab muamalah Islami, namun saya berasa amat bertuah dapat berdakwah dengan cara begini.  Mudah2an ia dikira sebagai hasanah di sisi ALLAH subhanahu wata’ala, amin.

 

RIBA adalah dosa besar!

 

SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
9 Ogos 2008