Tag Archives: riba

Senarai Semak Supaya Bebas Riba

Riba adalah antara yang tersenarai sebagai dosa besar dalam Islam.  Kita mesti sedaya upaya menghindari riba dan melepaskan diri dari terlibat dengannya samada secara langsung atau secara tidak langsung.

Berikut adalah senarai semak (checklist) asas sebagai panduan mudah dan ringkas untuk kita sama-sama sedar dan mengambil tindakan untuk bebas dari riba.  Jadual ini menyenaraikan instrumen-instrumen kewangan asas yang melibatkan majoriti masyarakat di Malaysia.  Ia boleh dijadikan langkah pertama untuk dibuat semakan bagi membersihkan diri dan keluarga dari dosa riba, in shaa’ ALLAH:

Kategori

(1) Tindakan Utama

(2) Pilihan Tindakan

 Simpanan Tidak menyimpan wang atau membuka akaun simpanan di dalam institusi perbankan konvensional.

 

Jika mahu menyimpan di institusi kewangan, sila pastikan simpan di perbankan Islami.

 

 Perlindungan kewangan Tidak menyertai pelan insurans konvensional samada untuk diri sendiri, ahli keluarga, kenderaan, harta, perniagaan dan lain-lain.

 

Jika mahu memiliki pelan perlindungan kewangan, pastikan anda menyertai pelan Takaful. Continue reading

Infaq Jariah & Pelupusan Harta Haram Bagi Membina Lebuhraya di Kelantan

Dalam usaha ramai ahli masyarakat mahu berhijrah kepada institusi kewangan Islami hasil dari insafnya mereka bahawa riba itu haram, riba itu dosa besar, tentu ada yang tertanya-tanya bagaimana hendak dilupuskan wang yang terhasil dari riba yang selama ini mereka telah perolehi, bukan?  Sebenarnya ini adalah antara soalan-soalan yang selalu ditanya oleh kaum muslimin kita yang benar-benar sudah taubat dari terlibat dengan sistem kewangan riba.  Adakah mahu dibuang duit haram itu?  Bolehkah pula digunakan?  Atau bagaimana caranya untuk melupuskannya?

Tentu ramai sudah mendapat jawapan hasil dari diskusi dan ceramah mengenai hal ini.  Ya, wang haram yang terhasil dari ‘bunga’ atau interest dari institusi kewangan konvensional tidak boleh dimanfaatkan oleh kita.  Contohnya, jika si A memperolehi duit riba hasil dari perbankan konvensional, maka duit itu tidak boleh dimanfaatkan olehnya dan ahli keluarganya.

Lalu, bagaimana?  Adakah mesti dibuang wang haram itu?  Tidak, jangan pula dibuang.  Walaupun tidak boleh dimanfaatkan oleh diri sendiri dan keluarga, namun ia masih boleh memberikan manfaat kepada masyarakat lain.  Antaranya diserahkan kepada:

  • Institusi baitulmal,
  • pusat zakat
  • pihak lain yang memerlukan, contohnya faqir dan miskin.

Para ilmuan agama yang membicarakan hal ini juga selalu memberikan contoh bahawa duit haram sebegitu boleh digunakan untuk pembinaan infrastruktur awam seperti:

  • membina tandas orang ramai,
  • pagar masjid/sekolah,
  • menambahbaik kemudahan awam,
  • membina tempat letak kereta,
  • membina jambatan
  • jalanraya/lebuhraya.

Di dalam tulisan ini, saya ingin mewar-warkan suatu peluang atau jalan untuk anda melupuskan harta haram tuan/puan.  Selain melupuskan harta yang terbit dari institusi riba dan haram, tuan/puan juga amat digalakkan untuk berinfaq jariah melalui harta tuan/puan yang lain.  Peluang ini boleh dijadikan alternatif buat tuan/puan dalam merebut kesempatan yang diberikan ALLAH Ta`ala untuk berbuat kebaikan.

Continue reading


Kursus Perancangan Kewangan Islami (10/6/2012, SC)

Kursus Perancangan Kewangan Islami.

Tarikh: 10 JUN 2012.
Tempat: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara, KL.
Masa: 8 pagi – 6 petang

Maklumat lanjut dan yuran penyertaan adalah seperti tertera di dalam poster.

Peta: Continue reading


Sistem Kewangan Islami VS Ribawi: Apa Bezanya?

Ramai bertanya apa perbezaan di antara sistem kewangan Islami yang dipromosi oleh ramai cendekiawan dan pendakwah, dengan sistem kewangan ribawi atau juga dikenali sebagai sistem kewangan konvensional?

Ramai juga berkata bahawa sistem kewangan Islami sama sahaja dengan sistem kewangan Ribawi/Konvensional.  Tiada bezanya, kata mereka.  Malah pengiraan, peratusan, formula dan produk hampir sama ciri-cirinya.  Yang berbeza mungkin nama-nama atau istilah-istilah berbahasa Arab yang digunakan oleh sistem kewangan Islami.  Nama-nama dan istilah-istilah berbunyi keAraban tidak boleh dijadikan hujah bahawa sistem kewangan Islami adalah halal, kata mereka.

Nama KeIslaman dan KeAraban

Saya tidak nafikan bahawa memang betul nama-nama atau istilah-istilah tidak boleh dijadikan hujah ia dikatakan berunsurkan Islam.  Dan alhamdulillah, perbezaan antara sistem kewangan Islami dengan Ribawi/Konvensional bukan setakat pada nama.  Kerana tidak semestinya seseorang yang bernama muslim, maka muslim juga sifat dirinya.  Ada juga yang bernama muslim tetapi kuat rasuahnya, kuat menipunya, kuat kezalimannya dan sebagainya.  Yang paling penting ialah intipatinya.  Samada namanya John kah, Steven kah, Wong kah, Ali kah, Umar kah atau Muthu kah; asalkan dia Muslim dan amalkan keseluruhan agama Islam, maka dia seorang yang mulia dan terbukti keIslamannya.  Continue reading


VIDEO – Kuliah UZAR Tentang DOSA RIBA dan Isu Kewangan

Masih ramai yang belum tahu tentang ancaman besar dari ALLAH ‘Azza wa Jalla kepada manusia yang terlibat dengan RIBA.  Beberapa ancaman RIBA boleh dibaca di link berikut, insyaALLAH:

https://muzir.wordpress.com/2008/08/09/riba-dan-hukumannya/ 

Malah ramai juga yang jahil dan menentang usaha-usaha para ulama untuk membantu ummah supaya kita semua dapat keluar dari dosa Riba.  Amat menyedihkan…

Untuk membuka minda dan fikiran kita, dan mudah-mudahan seterusnya mendapat hidayah dan taufiq dari ALLAH, tontonlah dan dengarlah dengan teliti akan kuliah ini (MESTI DENGAR & TONTON):

Video ini mempunyai 9 siri semuanya.  Teruskanlah mendengar dan ambil manfaat daripadanya.  Mudah-mudahan kita semua mendapat hidayah dan taufiq dari ALLAH, amin…

Berikut adalah video siri 2 sehingga 9: Continue reading


Wawancara TV

Pagi tadi, tepat jam 11.30 pagi, saya sampai ke Amani Business Solutions seperti yang dijanjikan.  Namun saya terpaksa tunggu lagi setengah jam kerana AmilinTV baru sahaja selesai mewawancara Dr Asyraf Wajdi dari International Shariah Research Academy for Islamic Finance (ISRA).

Sedang menunggu, terserempak pula Dr Mohd Daud Bakar.  Beliau adalah seorang tokoh besar dalam sistem kewangan Islami dan banyak memberi sumbangan antarabangsa dan dalam negara dalam membangunkan sistem kewangan Islami.  Belum sempat hendak menegur beliau, beliau sudah menegur saya.  Alhamdulillah, nampak merendah diri orangnya.

Wawancara dilakukan di dalam sebuah bilik mesyuarat.  Continue reading


Persepsi Non-Muslim Terhadap Sistem Kewangan Islami

Pada 13 MAC 2010 yang lepas, saya telah menghadiri Konvensyen Kewangan & Perbankan Islam 2010 bertempat di Dewan Seminar Masjid Shah Alam.  Ia dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Antara tokoh yang hadir bagi membentangkan beberapa tajuk dan isu berkaitan adalah:

  • Prof Madya Dr Mohamad Akram Laldin, Pengarah Eksekutif International Shariah Research Academy (ISRA).
  • Prof Madya Dr Azman Mohd Noor, Pensyarah Department of Fiqh & Usul Fiqh, International Islamic University Malaysia
  • Prof Madya Dr Wajdi Dato’ Dusuki, Ketua Jabatan Penyelidikan International Shariah Research Academy (ISRA)
  • Dato’ Haji Mokhtar Shafie, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor & Pengerusi Penasihat Syariah Takaful IKHLAS Sdn Bhd
  • Ust Mohd Zamerey Abdul Razak, Setiausaha Majlis Penasihat Syariah Asian Finance Bank Berhad
  • Ust Zaharuddin Mohammad, Ahli Penasihat Syariah HSBC Amanah Takaful
  • Professor Bala Shanmugam, PhD FCPA Monash University Malaysia

Yang paling menarik minat saya sepanjang konvensyen tersebut ialah pada sesi pembentangan oleh Professor Bala Shanmugam dari Monash University Malaysia.  Beliau membentangkan tajuk Islamic Financial System:  A Research Perception Among Non Muslims in Malaysia.

Professor Bala Shanmugam

Pada awal pembentangan, beliau telah memulakannya dengan sejarah beberapa agama yang telah cuba menerapkan nilai agama mereka ke dalam sistem kewangan masyarakat.  Agama Kristian, Yahudi dan lain-lain agama telah gagal memasukkan nilai agama kepada sistem kewangan.  Mereka telah gagal walaupun telah mencuba beberapa kali.  Malah percubaan dan usaha tersebut sentiasa mendapat tentangan yang hebat dari kalangan masyarakat mereka.  Telah nyata bagi mereka bahawa agama dan sistem kewangan tidak boleh digandingkan.  Ia mesti diasingkan.

Namun menurut Professor Bala, Islam tidak menerima nasib yang sama seperti agama-agama lain yang cuba memasukkan nilai agama ke dalam sistem kewangan.  Islam telah dilihat berjaya dalam perkara ini.  Nilai-nilai Islam telah berjaya dimasukkan ke dalam sistem kewangan dan kini ia digelar Sistem Kewangan Islami.  Malah, ia telah berjaya menambat hati pelanggan-pelanggan yang bukan Islam, di samping sokongan dari ummat Islam sendiri.

  • Apa yang membuatkan ISLAM boleh berjaya? 
  • Adakah ia mempunyai ciri-ciri yang istimewa yang tidak diperolehi di dalam agama lain?

Continue reading


RIBA dan Hukumannya!

(1)   RIBA dihukumkan sebagai antara DOSA BESAR.

(2)  Pemakan dan Pemberi RIBA perangi Allah subhanahu wataala dan Rasulullah sallAllahu alaihi wasallam. 

Firman Allah subhanahu wataala:

“Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertobat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah: 279).

Ikhwanul muslimin, betapa beratnya ayat ini hendak kita terima. Bagi yang berhati lunak dengan agama, apabila dibaca ayat ini terasa gementar jasadnya, tak tertahan air mata…terus meluncur, bercucur. Gerun. Betapa Allah pujaan kita menyuruh kita agar isytiharkan perang denganNya dan RasulNya jika kita masih berdegil tidak mahu meninggalkan RIBA. Ayat inilah yang membuatkan kita semua kuat terpanggil untuk menjauhi RIBA. 

Mahukah kita berperang dengan Allah dan RasulNya???

(3)   Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Firman Allah subhanahu wataala:

”Allah menghancurkan keberkatan kerana RIBA dan menambahkan keberkatan dari sedeqah”.(Al-Baqarah : 276)

Sabda Rasulullah sallAllahu alaihi wasallam dari ibnu Mas’ud radhiAllahu ‘anhu:

Ertinya: ”Sesungguhnya RIBA walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa” (Riwayat Ahmad, al-Hakim) – Musnad Ahmad, no 3754, 1/395; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan (Fath al-Bari, 4/399)

Berkata Ibn Abbas radhiAllahu ‘anhu:

Ertinya: ”Tidak diterima dari pemakan RIBA (yang menggunakan harta RIBA’) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya” – Al-Jami’ li Ahkami Quran, al-Qurtubi, 3/362; az-Zawajir, ibid, 1/224

Apa guna hidup tanpa barakah??? Hidup mungkin kaya, hasil pelaburan mungkin berganda. Namun, janganlah dengan mengejar kekayaan dan kemewahan itu membuatkan kita makin jauh dari rahmat Allah, malah mengundang murka Allah.

(4)  Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri

Nabi sallAllahu alaihi wasallam bersabda :

Ertinya : ”RIBA mempunyai 73 pintu, RIBA yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.. ” (Riwayat Ibn Majah dan al-Hakim) – Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 al-Hakim : Sohih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim.

(5)  Lebih Berat Dari 30 Kali Zina.

Nabi sallAllahu alaihi wasallam bersabda :

Ertinya: ”Satu dirham RIBA yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali” (Riwayat Ahmad & ad-Dar Qutni) – Musnad Ahmad, 2/225; ad-Dar Qutni, hlm 295; Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103

Cukuplah dengan dalil-dalil di atas bagi membuatkan kita cukup2 insaf dan gerun akan amaran/ancaman dan murka Allah subhanahu wataala berkenaan RIBA.

Beralihlah ke sistem muamalah Islami yang pastinya bebas dari RIBA. Berikut adalah antara perkara yang boleh menjuruskan kita kepada RIBA:

  • Perbankan konvensional
  • Insurans konvensional
  • Urusan hutang piutang (tidak kira dengan institusi mahupun dengan individu seperti kawan, adik-beradik dll, apatah lagi dengan ah-long)
  • Urusan muamalah berkaitan item RIBAWI seperti emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam.
  • Menjebakkan diri dengan skim-skim simpanan/pelaburan/perniagaan yang meragukan dan tidak diperiksa akan kepatuhannya kepada prinsip syara’.

Saranan:

  • Beralihlah kepada Perbankan Islami.
  • Beralihlah kepada Takaful.
  • Tambahilah ilmu dengan mendekatkan diri kita dengan majlis ilmu. Agar kita berupaya mengenalpasti perkara2 berkaitan RIBA, lantas menjadikan urusan muamalah seperti hutang dan berkaitan item RIBAWI menepati cara yang dibenarkan syara’.
  • Jauhilah perkara HARAM.  Ambillah perkara yang HALAL.  Jika kalian ragu-ragu samada ia HALAL atau HARAM, sesungguhnya menjauhinya lebih dekat dengan sifat TAQWA.

Beberapa dalil di atas adalah dipetik sebahagian kecil dan disusun semula bersumberkan kertas kerja yang disampaikan oleh Ust Zaharuddin bertajuk “Halal & Haram Dalam Urusan Kewangan:  Antara Dosa dan Harta” di Seminar Perdana ISLAM sebagai Sebuah Cara Hidup pada 15 & 16 April 2006 di DBP, KL.

Semoga kita semua bebas dari RIBA, amin…

WAllahu ta’ala a’lam.

www.muzir.wordpress.com


Saya dan RIBA

Seingat saya, RIBA tidak diajar secara formal di dalam kelas.  Maaf, mungkin saya salah.  Namun, apa yang saya nak kata ialah saya tak ingat di mana saya mengenali RIBA sepanjang pembelajaran formal sukatan pelajaran darjah 1 – tingkatan 5.

 

RIBA adalah DOSA BESAR.  Namun, tak ramai mengenali RIBA dan besarnya kemurkaan ALLAH terhadap manusia yang melibatkan diri dengan RIBA.  Pada pandangan manusia biasa, RIBA hanyalah dosa tahap biasa-biasa.  Mungkin ini disebabkan kurangnya penekanan RIBA dalam sistem pelajaran kita, tak kiralah samada ia KBSR/KBSM, malah mungkin pengajian-pengajian agama di institusi sekolah/masjid/pondok juga kurang menekankannya.  Tidak hairanlah, RIBA telah memerangkap ramai orang awam seperti kita, malah amat menyedihkan kita, ustadz-ustadz sendiri turut sama terlibat.  Astaghfirullah!

 

(1)
Alhamdulillah, saya telah ditanam rasa bencikan RIBA sejak di tingkatan 2 di Sek Men Agama Kuala Lumpur (SMAKL).  Cikgu Mohd Nor bukanlah seorang ustadz yang mengajar matapelajaran agama.  Tetapi, beliau mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup (Perdagangan).  Di samping mengajar mengikut sukatan yang telah ditentukan, beliau selalu memberi tadzkirah (peringatan), khususnya dalam hal kewangan dan ekonomi ummat ISLAM.  Sangat terserlah kerisauannya kepada terjebaknya ummat ISLAM di dalam dosa besar RIBA.

 

”Walaupun kamu cuba untuk menjauhi RIBA, namun debu-debu RIBA pasti akan terkena kepada kamu”, itulah antara kata-kata beliau yang saya masih ingat.  Beliau ingin membayangkan bahawa RIBA adalah dosa besar yang sudah bersebati dengan kehidupan masyarakat moden.  Untuk keluar daripada belenggu RIBA, amatlah sukar tetapi tidak mustahil.  Namun, ia tetap dosa besar yang menuntut kita semua supaya terhindar darinya.  RIBA adalah dosa besar, bukan dosa kecil.

 

(2)
Kemudian, apabila menyambung pelajaran ke MRSM Muar, sekali lagi saya disuntik semangat untuk menjauhi RIBA apabila cikgu Sheikh memberitahu bahawa beliau membeli van secara tunai.  Semata-mata untuk mengelakkan diri dari terlibat dengan RIBA.  Kalau beli van melalui pinjaman bank, tentu akan terlibat dengan RIBA. 

 

Perbualan tersebut saya rakam di dalam jiwa saya yang ketika itu bukan di dalam kelas formal, tetapi hanya ketika saya dan rakan-rakan sedang berkumpul di depan dorm, sambil makan burger.  Cikgu Sheikh bukanlah ustadz yang mengajar matapelajaran agama, namun nampak jelas komitmen beliau dalam menjalani kehidupan dalam keadaan beragama. 

 

Sejak itu, saya mula berfikir tatkala sudah habis belajar nanti, bagaimana hendak membeli kereta dan rumah secara tunai, semata-mata untuk menjauhkan diri dari dosa besar RIBA.  Aduh, mampukah saya?  Itulah kerungsingan yang saya bawa selama beberapa tahun setelah mengutip pengajaran RIBA daripada cikgu Mohd Nor dan cikgu Sheikh.  Terima kasih cikgu!  Moga ALLAH memberkati kehidupan cikgu berdua, amin.  Cikgu-cikgu lain turut ada saham dalam pembentukan diri ini, namun dalam bab RIBA khususnya, saya hanya mengingati dua orang cikgu ini. 

 

(3)
Saya tercuit lagi dengan kerisauan tentang RIBA ketika di dunia universiti, tatkala tekun mengikuti kuliah agama melalui kaset.  Kuliah-kuliah di masjid yang saya hadiri, tak teringat pula di mana saya mendengar tentang RIBA.  Mungkin ada, namun ia sepintas lalu tanpa penekanan yang menyeluruh oleh penceramah.  Justeru, ia tak menusuk ke jiwa.  Dalam bab lain, Ya! Kuliah di masjid telah banyak saya dapat manfaat ilmunya. 

 

Ketika di universiti, selain kaset Ustadz Ismail Kamus, Harun Din, Abd Salam, Tuan Ibrahim dan lain-lain, kaset kuliah agama bersiri oleh Ustadz Samsuri menjadi kegemaran saya ketika itu.  Tatkala kaset lain lebih berbentuk ceramah umum, kaset Ustadz Samsuri lebih ilmiah sifatnya.  Pendekatan beliau yang menggunakan kitab Bahrulmazi melegakan kehausan saya yang dahagakan ilmu agama.  Dalam hal RIBA, kaset beliau yang bertajuk “Debu-debu RIBA” telah benar-benar menjadi salah satu jalan hidayah dan taufiq dari ALLAH kepada saya.  Alhamdulillah.  Makin takut saya kepada RIBA.  Kerana ia bukan dosa kecil, ia adalah DOSA BESAR!!!

 

(4)

Cabaran sebenar saya berhadapan dengan RIBA adalah tatkala ingin membeli motorsikal pertama saya.  Ketika di universiti (1997), saya telah diberi keizinan oleh ALLAH untuk membeli motorsikal pertama saya secara tunai, alhamdulillah.  Second-hand Yamaha RXZ berharga RM3500 telah menjadi milik saya ketika itu.  Risau juga ketika itu takut-takut terpaksa terjebak dengan RIBA.  Namun, alhamdulillah kerana dipermudahkan ALLAH.  Saya hanya berpeluang memilikinya pada tahun kedua pengajian hasil jimat cermat duit pemberian biasiswa yang telah ditaja oleh sebuah syarikat swasta.  Agak tinggi juga nilai biasiswanya berbanding lain-lain syarikat ketika itu.  Saya telah memilih biasiswa tajaan Gamuda Berhad dan terpaksa menolak tawaran-tawaran lain dari Sony, NEC, JPA dan MARA.  Hasil duit biasiswa tu, saya berupaya membeli secara tunai komputer meja pada tahun pertama di universiti.  Tahun kedua, beli tunai motorsikal.

 

Saya telah memperbaharui insurans motor dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad, walaupun kawan saya kata ia tindakan yang rugi kerana insurans motor untuk motorsikal tersebut masih ’hidup’. 

 

”Kenapa nak renew baru, kan hidup lagi insurans tu?!” tanya kawan saya.  ”Saya nak yang Takaful” jawab saya. 

 

Saya berasa lega, kerana pada waktu itu sudah ada syarikat yang menawarkan Takaful.  Bayangkan jika ketika itu tiada syarikat Takaful.  Sudah tentu saya terpaksa membeli insurans dengan syarikat insurans konvensional, yang jelas padanya RIBA!  Sekurang-kurangnya untuk urusan pertama jual-beli kenderaan saya sudah bebas dari RIBA, alhamdulillah.  Saya sangat bersyukur diberi nikmat seumpama ini. 

 

Ini semua adalah hidayah dan taufiq dari ALLAH…

 

Setelah tamat pembelajaran di universiti dan meneruskan kehidupan ke dunia pekerjaan; urusan muamalah seperti pembelian rumah, kereta, penggunaan kad ’kredit’, perbankan, insurans dan lain-lain telah dipermudahkan ALLAH untuk saya beristiqamah dengan sistem muamalah Islami.  Saya bersyukur tinggal di Malaysia dan hidup pula pada zaman di mana usaha sistem perbankan dan insurans Islami sedang giat diusahakan.  Ia memberi ruang untuk kita menarik nafas lega untuk BEBAS DARI RIBA.  Namun, perjalanan dan perkembangan sistem muamalah Islami ini masih jauh dan terlalu banyak ruang penambahbaikkan perlu diteruskan.

 

(5)

Walaupun saya bekerja sebagai seorang jurutera di syarikat yang menaja saya sewaktu belajar dulu, namun saya mempunyai kecenderungan dan minat yang mendalam di dalam pengurusan kewangan peribadi.  Buku Perancangan Kewangan Keluarga terbitan Bank Negara Malaysia adalah panduan terawal saya dalam mengatur struktur pengurusan kewangan saya.  Masa tu saya berumur 22 tahun.

 

Setelah membaca beberapa buku kewangan tulisan Azizi Ali, Milan Doshi & Robert Kiyosaki; minat saya dalam hal kewangan peribadi semakin mendalam.  Saya selalu memberi nasihat kepada adik-adik dan rakan-rakan dalam hal asas kewangan, tapi diselitkan unsur-unsur Islami iaitu ke arah memilih sistem kewangan yang bebas-RIBA.

 

Malah, saya selalu menghantar email ke dalam rangkaian yahoogroups dan intranet Gamuda Berhad tentang kepentingan memilih sistem kewangan Islami.  Kadang-kadang saya forwardkan spread-sheet yang saya buat sendiri berdasarkan pembacaan saya di buku-buku kewangan dan selitkan idea-idea muamalah Islami.

 

Minat saya dalam kewangan peribadi akhirnya telah membuka jalan kepada kerjaya baru yang jauh dari kelulusan akademik saya, yang telah mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Mekanikal & Bahan. 

 

Kini, saya bergelar Perunding Takaful dan selalu terlibat dalam memberi nasihat kepada orang ramai dalam memilih sistem kewangan Islami, khususnya berkaitan pengurusan risiko kewangan iaitu TAKAFUL.  Dalam bidang ini, semua Perunding Takaful mempunyai 2 cabaran yang utama, iaitu:

  • Memberi kesedaran tentang peri pentingnya pengurusan risiko kewangan di kalangan ummat ISLAM, khususnya Melayu.  Ini kerana ummat Melayu di negara ini masih mempunyai kesedaran yang rendah dalam hal pengurusan risiko kewangan berbanding kaum lain.

  • Setelah kesedaran itu ada, perlu dibawa pula masyarakat agar memilih pelan pengurusan risiko kewangan yang berlandaskan ISLAM, iaitu yang bebas RIBA.  Dalam hal ini, Takaful mempunyai penyelesaiannya.

Dalam perkembangan teknologi maklumat kini, saya turut mengambil bahagian dalam menyampaikan maklumat takaful melalui siber menerusi laman web peribadi saya, iaitu www.takafulonline.net

 

(6)
Jika semasa di sekolah menengah rendah, saya dicetus semangat jauhkan RIBA oleh cikgu Mohd Nor.  Di sekolah menengah atas pula, cikgu Sheikh.  Di Universiti, ceramah Ustadz Samsuri.  Kini, saya terus mendapat motivasi lagi dalam bidang ini.  Iaitu melalui Ustadz Zaharuddin pula.

 

Sebenarnya saya mengenali ustadz Zaharuddin sejak di bangku universiti lagi.  Waktu tu beliau sangat aktif dengan harakah Islamiyyah.  Tak perlulah saya perincikan cerita.  Namun, ustadz Zaharuddin melalui laman webnya, www.zaharuddin.net telah membuka lembaran baru kepada ummat ISLAM di Malaysia dalam mengenali sistem muamalah Islami.  Kini, sudah ramai yang peka dan berhati-hati dalam menangani isu-isu muamalah. 

 

Artikel-artikel beliau kini menjadi bacaan dan rujukan saya sebagai persediaan menghadapi masyarakat.  Tugas saya sebagai Perunding Takaful telah membolehkan saya berjumpa dengan ramai orang dan menyampaikan mesej ”JAUHKAN RIBA!” melalui cara saya yang tersendiri. 

 

Kebiasaannya, orang ramai yang saya jumpa bukan hanya bertanya pasal Takaful, tapi merangkumi banyak perkara, khususnya sistem kewangan Islami.  Walaupun saya akui masih banyak yang perlu saya pelajari dan terokai dalam bab muamalah Islami, namun saya berasa amat bertuah dapat berdakwah dengan cara begini.  Mudah2an ia dikira sebagai hasanah di sisi ALLAH subhanahu wata’ala, amin.

 

RIBA adalah dosa besar!

 

SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
9 Ogos 2008