Ada banyak iktibar yang saya perolehi dari membaca buku Sirah Nabawiyyah ar-Rahiq al-Makhtum. Terutama dalam usaha nak memahami jiwa dan perasaan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.
Tanggapan saya kepada golongan jin juga berubah ketika membaca buku ini. ALLAH memberitahu Nabi bahawa ada segolongan jin menyahut seruan Nabi (tanpa pengetahuan Nabi). Sedangkan ketika itu segolongan manusia mengejek dan membaling batu kepada Baginda. Berita ini dapat menjadi penawar kepada sakit dan penat Nabi setelah dihambat oleh manusia. Manusia tak terima. Jin terima.
Jin adalah saudara makhluq kepada manusia. Ramai manusia bersangka buruk kepada mereka disebabkan oleh tindakan sebahagian jin yang nakal dan degil. Saya tak anggap mereka golongan jahat yang mengusik manusia. Mereka adalah seperti kita. Yang juga ditaklif atas mereka akan perbuatan pahala dan dosa. Bermasyarakat dan bermuamalah juga. Tapi dengan cara mereka. Pengalaman di Makkah baru ni ketika buat haji pun ada dapat pendedahan baharu pasal sikap jin sesama mereka. Sebahagian mereka bukan sengaja nak kacau manusia, tapi kadang-kadang muamalah mereka sesama mereka ada melibatkan manusia terutama jin yang melangkaui batas peraturan agama.
Terlalu banyak ibrah dapat kita keluarkan dari sirah Nabi Muhammad ﷺ. Kadang-kadang apabila datang sesuatu situasi dalam masyarakat dalam negara dan seluruh dunia, kita dapat mengaitkannya dengan sirah. Apakah perbuatan Nabi dan sikap para Sahabat dalam berhadapan situasi seumpama itu. Sekurang-kurang kita ada sedikit sebanyak panduan untuk diri sendiri.
Menariknya baca buku sirah ni, ia disusun ikut kronologi. Mudah faham konteksnya berbanding membaca potongan-potongan kisah. Apatah lagi kalau buku sirah tu meletakkan sekali ayat al-Qur’an dalam Bahasa Arab bukan sekadar terjemahan. Itu lebih memberi kesan yang syahdu ke dalam qalbu.
Bacalah sirah Nabi di samping lain-lain bahan bacaan penting. Baca sirah bukan sekadar nak tahu kisah, tapi yang lebih penting ialah ibrah yang diceduk buat bekalan menjadi hamba ALLAH yang 100% menyerah.

SIRAH NABAWIYYAH AR-RAHIQ AL-MAKHTUM
https://ilannur.onpay.my/