Sebarlah Berita/Cerita Baik Pasal Makkah & Madinah

Dr Abdul Basit pernah pesan agar kongsilah berita-berita mengenai Makkah dan Madinah. Agar manusia tak lalai dari mengingatinya, mencintainya, merinduinya serta terbit rasa ingin datang ke bumi yang berkat ini. Moga ia termasuk usaha meninggikan syi`ar Islam dan diredhoi ALLAH. Begitulah lebih kurang maksud nasihat beliau.

Pesanan itu saya majukan di sini supaya tuan/puan sahabat-sahabat dapat sama mendapatnya. Dahulu mungkin kita segan atau berusaha nak minimakan dari pengetahuan orang akan ziarah ke Tanah Suci ini. Tapi dengan pesanan ini, moga pendekatan kita berbeza.

Namun, hendaklah kita berhati-hati dan berpada-pada. Jagalah niat dan cara kita. Supaya tak terjebak dalam perkara riya’ dan sum`ah. Jangan melampaui batas. Jaga adab dan akhlaq. Jangan sampai terpalit dosa atau sampai gugur pahala amalan kita.

Timbanglah antara pro dan kontra akan tindakan kita, antara maslahah dan mafsadah, antara pahala dan dosa, antara ikhlas dan syirik (riya’ dan sum`ah), antara meninggikan syariat atau meninggikan nama sendiri. Agar kita sedar dalam iman tatkala melakukannya.

Hendaklah kita minta dengan ALLAH agar DIA jaga kita, tegur kita, terima amalan kita, ampuni kita dan redhoi kita.

Moga apa yang dikongsi menjadi kebaikan buat diri kita sendiri dan sesiapa yang sudi mengambil manfaat darinya. Fokuslah pada perhatian dan ganjaran di sisi ALLAH yang lebih baik dan lebih kekal sifatnya berbanding pujian dan perhatian makhluq. Tak berbaloi merugikan pahala untuk untung mendapat redho manusia.


Leave a comment