Mu’allaf, Mukallaf dan Salaf

Mendengar atau membaca kisah-kisah orang yang baru masuk Islam mempunyai manfaatnya yang tersendiri.  Padanya terdapat iktibar dan motivasi.  Iman akan menjadi segar umpama segarnya bunga yang disirami air.  Diri akan rasa termotivasi ibarat bersinarnya matahari pada waktu dhuha.  Begitulah kesannya kepada sebahagian orang tatkala mendengar atau membaca kisah-kisah mereka.

Kita boleh mendengar kisah-kisah mereka melalui ceramah perkongsian yang diadakan di masjid atau di pusat dakwah.  Televisyen dan radio kadang-kadang ada menyiarkan.  Di internet, lebih banyak lagi, contohnya Youtube, Facebook dan laman-laman web khusus seperti  wechooseislam.wordpress.com dan lain-lain saluran.

Mu’allaf

Mu’allaf ialah istilah yang digunakan bagi golongan yang sedang berminat dan berjinak-jinak dengan agama Islam.  Samada mereka baru sahaja memeluk Islam atau belum lagi memeluk agama Islam, mereka tetap digolongkan ke dalam golongan Mu’allaf.  Dan dalam bab zakat, golongan ini layak menerima bantuan zakat.

Jika kita biasa mendengar kisah-kisah kesusahan dan pengorbanan mereka, maka kita akan nampak hikmahnya kenapa Islam memperuntukkan bantuan zakat kepada golongan ini.  Bukan sahaja mereka terpaksa bersusah payah mempelajari Islam iaitu sesuatu yang amat baru bagi mereka, malah ramai di kalangan mereka yang telah diusir dari keluarga dan terpaksa menjalani kehidupan yang sangat sukar lantaran hijrah mereka yang besar itu.

Bukan itu sahaja, lebih teruk dari itu sebahagian mereka ada yang menerima ugutan dan ancaman dari pihak keluarga atau pihak-pihak tertentu kerana bertindak keluar dari agama asal mereka.  Sangat wajar mereka dibantu dan disokong.

Cabaran mereka sangat besar dan mereka sanggup menghadapinya demi agama yang suci dan benar iaitu Islam.  Kisah-kisah mereka boleh menitiskan air mata kita apabila mendengarnya.  Terasa kagum dan insaf melihat betapa besarnya pengorbanan yang terpaksa mereka harungi untuk mengecap nikmat Islam dan Iman berbanding kita yang lahir dalam keluarga Muslim ini.  Malangnya, kita selalu bersikap leka, culas malah ada yang curang terhadap nikmat yang sangat besar yang telah ALLAH kurniakan buat kita selama ini.

Tambah terasa sangat kerdil apabila melihat sebahagian Mu’allaf ini sangat komited dengan Islam.  Dihayatinya satu per satu ajaran Islam lalu digigit rapi tidak melepaskannya.  Mereka juga sangat bersemangat melakukan da`wah kepada ahli keluarga, kawan-kawan dan jiran tetangga.  Saya pernah diberitahu bahawa ada seorang yang di kalangan mereka membuat sasaran:

“Dalam sebulan, mesti ada seorang yang diajak masuk Islam!”

Ma Shaa ALLAH!  ALLAHU Akbar!

Mukallaf

Dalam masyarakat kita di Malaysia, selalunya orang bukan Melayu yang masuk Islam dipanggil sebagai Mu’allaf, Saudara Baru, India-Muslim, Cina-Muslim dan berbagai-bagai gelaran lagi.  Hakikatnya gelaran-gelaran ini tidak sesuai digunakan.

Patutkah mereka masih digelar Mu’allaf atau Saudara Baru sedangkan mereka telah masuk Islam bertahun-tahun lamanya?

Jika kita lihat definisi Mu’allaf sendiri pun kita boleh tahu ia sangat tidak tepat dengan mereka yang sudah masuk Islam dalam tempoh yang lama.

Istilah India-Muslim atau Cina-Muslim pula bagaimana?

Ya, ini juga satu perangai masyarakat kita.  Mereka cuma nampak Islam itu sinonim dengan Melayu sahaja.  Lalu perlu diletak gelaran India-Muslim atau Cina-Muslim bagi orang Cina atau India yang beragama Islam.

Sedangkan sepatutnya apabila seseorang itu sudah masuk Islam, cukup mereka digelar sebagai Muslim.  Perbezaan bangsa tidak lagi menjadi ketara kerana Islam telah menjadikan kita semua sama bersaudara.  Sempadan bangsa terpadam menjadikan kita satu ummat seagama.  Yang membezakan antara seorang Muslim dengan Muslim yang lain ialah sifat taqwa kepada ALLAH.

Gelaran Mu’allaf sepatutnya tidak lagi melekat pada diri mereka.  Mereka kini Mukallaf seperti kita, iaitu masing-masing memikul tanggungjawab untuk patuh kepada suruhan-suruhan ALLAH dan meninggalkan semua larangan-laranganNYA.

Salaf

Sebenarnya apabila mengikuti kisah para mu’allaf, mengetahui kesusahan mereka, pengorbanan mereka dan perjuangan mereka mengingatkan saya kepada kisah-kisah awal dakwah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Iaitu kisah hebat golongan salaf ummat ini.

Para sahabat Nabi bukan sahaja telah berkorban harta dan tenaga, bahkan mereka telah berkorban jiwa raga dan nyawa untuk Islam.  Mereka telah dibuang keluarga, dipulau, dipukul, diherdik, diseksa, diancam dan bahkan sebahagiannya dibunuh.

Kisah yang masyhur seperti kisah Bilal bin Rabah radhiAllahu `anhu yang diseksa di tengah padang pasir di bawah bahang panas matahari serta diletakkan batu yang berat di atas tubuhnya sangat menyentuh perasaan kita.

Kisah keluarga `Ammar bin Yasir radhiAllahu `anhu `anhuma yang ditahan, diseksa dan dibunuh juga merobek emosi kita.  Bapanya, Yasir radhiAllahu `anhu dan ibunya Sumayyah radhiAllahu `anha telah menjadi korban pertama mangsa kezaliman masyarakat jahiliah Makkah yang menentang dakwah Baginda Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Kisah Mus`ab bin `Umair radhiAllahu `anhu, seorang remaja yang dihalau oleh ibunya, kisah Ummu Salamah radhiAllahu `anha yang dipisahkan dari suami serta anaknya, kisah Khabbab bin `Aradh radhiAllahu `anhu yang dibaringkan di atas bara api, kisah Abu Fukaihah radhiAllahu `anhu yang diikat kakinya lalu ditarik di atas padang pasir dan macam-macam lagi kisah tragis yang dihadapi oleh salafussoleh sangat meruntun perasaan kita.  Betapa perjuangan mereka untuk menjaga iman sangat tinggi dan dahsyat.

Kisah-kisah mu’allaf zaman ini dan salaf ummat ini sewajarnya mengetuk pintu keimanan kita lalu membuka luas dada kita untuk bersemangat menjadi seorang muslim yang lebih baik.  Ambillah pengajaran dari kisah mereka, pengorbanan mereka, semangat mereka, kesusahan mereka dan keikhlasan mereka dalam berusaha mendapatkan iman dan Islam.

Mungkin kita bukan mu’allaf yang baru berjinak-jinak dengan Islam kerana telah lahir dan membesar dalam agama Islam.  Sudah tentu kita pula bukanlah dari golongan salaf yang merupakan golongan awal ummat ini serta berjasa kepada perjuangan dakwah Nabi.  Tapi yang pasti kita semua adalah mukallaf iaitu orang yang diberi tanggungjawab kepada kita atas segala tindak tanduk kita terhadap suruhan dan larangan ALLAH.  Kita semua akan disoal oleh ALLAH pada Hari Akhirat nanti dan kelak akan diberi ganjaran atau hukuman.  Ya!  Kita semua  adalah mukallaf!

Semoga kita menjadi muslim yang benar-benar muslim iaitu seseorang yang berserah diri kepada TUHAN, taat serta patuh kepadaNYA.  Aamiin…


Leave a comment