9/11, Palestin dan al-Qur’an

Pasca peristiwa 9/11 (11 September 2001) dulu, membuak-buak masyarakat barat marah dan menuduh peristiwa tersebut dilakukan oleh orang-orang Islam.  Sana-sini diadakan sekatan dan tekanan kepada ummat Islam terutama di Amerika Syarikat dan Eropah.

Namun, di sebalik melarat kebencian dunia kepada Islam dan ummat Islam, ramai juga di kalangan orang bukan Islam terutama dari benua barat cuba berfikir dan menyelidik.  Mereka cuba menyemak kitab suci ummat Islam iaitu al-Qur’an untuk mengetahui sisi buruk ajaran Islam.  Benarkah ajaran Islam menganjurkan keganasan?  Apakah lagi elemen negatif yang terkandung di dalamnya?

Ada yang ingin mencari keburukan.  Tak kurang juga yang cuba menyelami dan cuba memahami ajaran Islam yang sebenar.

Bukan keburukan yang mereka temui. Sebaliknya, mereka temui kebenaran dan keindahan. Hasilnya, ribuan malah puluhan ribu masuk Islam beberapa tahun selepas itu terutama di negara yang majoriti Kristian seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia. Alhamdulillah.

Peristiwa terbaru yang kini berlaku di Palestin juga sedang menatijahkan perkara yang sama. Selepas 7 Oktober 2023, wujud trend di media sosial orang yang bukan Islam di barat tertanya-tanya tentang sikap orang Islam di Palestin yang kelihatan tetap bersabar dan redho terhadap ujian yang menimpa mereka.

Kejahatan rejim zionist yang mengebom ke penempatan orang awam bahkan mengebom bangunan seperti masjid, sekolah dan hospital telah mengakibatkan ribuan penduduk Gaza termasuk wanita, kanak-kanak dan orang sakit menjadi korban.  Di sebalik kesengsaraan mangsa pengeboman tersebut, kelihatan mereka tetap sabar disebabkan oleh faktor dalaman yang kuat dan jitu.

Mereka merujuk kepada TUHAN akan susah payah mereka.  Mereka tetap bertahmid dengan menyebut “alhamdulillah”, bertakbir “Allahu akbar”, beristirja` “inna lillahi wa inna ilaihi raji`un” dan bermacam-macam ucapan yang memasrahkan diri mereka kepada TUHAN.

Para pengguna media sosial khususnya dari barat bingung dengan sikap tersebut.  Mereka pelik bagaimana penduduk Palestin khususnya Gaza yang kini dizalimi bertalu-talu oleh rejim jahat zionist boleh menghadapinya dengan sangat tabah dan redho.

Mereka lalu mencari kitab al-Qur’an untuk memahami apakah inti pegangan orang-orang Islam di Palestin sehingga begitu kuat menghadapi ujian getir kemusnahan dan kematian. Mereka ramai-ramai buka dan baca al-Qur’an. Bukan sahaja baca berdasarkan kitab terjemahan yang mereka telah beli tapi juga menganalisis mengikut kadar kemampuan masing-masing. Ternyata ramai terkejut dan mula nampak kebenaran serta keindahan Islam.

Banyak kata-kata semangat yang meneguhkan jiwa di dalam al-Qur’an.  Banyak kisah para Nabi di dalamnya yang mana ia menjadi contoh kekuatan iman dan kesungguhan.  Banyak mesej tentang Hari Akhirat yang mana ia merupakan kegembiraan untuk yang beriman dan kesengsaraan untuk yang engkar kepada TUHAN.

Dengan membaca satu per satu ayat al-Qur’an, mereka merasakan bahawa TUHAN benar-benar bercakap dengan mereka. Mereka mengalami perasaan yang selama ini mereka tak pernah alami ketika membaca kitab suci agama mereka. Kali ini mereka merasai seperti sedang berkomunikasi dengan TUHAN yang sebenar melalui kitab suci yang benar.  Di media sosial mereka menyatakan pengalaman masing-masing bagaimana al-Qur’an menyentuh jiwa mereka yang paling dalam.

Sejuk hati melihat situasi ini.  Alhamdulillah.

Walau kita rasa marah dan geram terhadap kezaliman yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin dan di lain-lain tempat di pelusuk dunia, namun hendaklah kita sedar bahawa itu semua dalam pengetahuan dan kawalan ALLAH.  Ia ujian buat kita semua.

Yang dizalimi diuji dengan kesabaran.  Kita yang tak dizalimi sekarang ini diuji dengan pilihan tindakan.  Doakah kita?  Bantukah kita?  Sensitifkah kita?  Cintakah kita kepada saudara-saudara seIslam kita?

Setiap peristiwa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita serahkan segala urusan kepada ALLAH serta redho dengan taqdir ketentuan yang berlaku setiap hari kepada kita. Samada taqdir itu baik atau buruk, kita tetap serahkan jiwa kepada TUHAN. Sabar dan redho serta syukur. Berusaha untuk hidup dalam Islam dan mati dalam Islam.

Semoga ALLAH buka hati sekalian manusia dan jin untuk masuk Islam. Kenal ALLAH, sembah ALLAH dan tidak syirikkanNYA. Aamiin… 🤲


Leave a comment