Tatkala Diberi Keputusan…

Tentu kalian pernah menghadapi suatu peperiksaan yang penting bukan?

Tidak kiralah samada kalian menghadapinya semasa di bangku sekolah, kolej, universiti ataupun semasa dalam dunia pekerjaan.  Pokoknya hampir semua kita berpeluang menghadapinya mengikut tahap umur masing-masing.  Jika di peringkat sekolah, tentulah UPSR, PMR, SMA dan SPM adalah yang terpenting.  Di universiti pula ialah ujian-ujian semester.  Manakala di peringkat pekerjaan ialah ujian-ujian kenaikan pangkat atau yang seumpama dengannya.

Apa perasaan kalian apabila menunggu keputusan peperiksaan penting tersebut?  Tentu berdebar-debar bukan?  Semua perasaan datang bertandang ke dalam hati.  Bikin sakit jiwa dibuatnya.

Tatkala Diberi Keputusan… (1)

Apabila tiba saat keluarnya keputusan, macam-macam reaksi akan kelihatan.  Ada yang menangis gembira.  Ada yang menangis kecewa.  Ada yang ketawa suka.  Ada yang ketawa mentertawakan diri sendiri.  Dan yang murung pun ada.  Macam-macam…

Apa hendak buat?  Memang sudah tidak boleh buat apa-apa lagi.  Pasrah sahaja.  Keputusan diberi berdasarkan usaha masing-masing.

Yang mendapat keputusan cemerlang, tentu berasa gembira lalu mahu dikongsi kegembiraan itu dengan semua.  Mungkin ini antara dialog mereka:

“Ni slip keputusan aku.  Tengoklah!”

“Aku dah tunjuk keputusan aku (yang cemerlang itu).  Tengok kau punya…?”

“Mak, ayah, abang, adik, pak long, mak long, ni hah keputusan saya!”

“Saya telah berusaha keras dan yakin untuk mendapat keputusan yang cemerlang ini.”

Pendek kata, mahu dihebahkan ke seluruh dunia akan keputusan cemerlangnya itu.  Mahu sahaja difotokopi lalu ditampal di papan kenyataan untuk dilihat orang.  Gembira sungguh mereka!

Manakala bagi yang mendapat keputusan yang corot, tentu ini antara dialog hati mereka:

“Aduh, kan bagus kalau aku tak payah tahu keputusan peperiksaan ini.”

“Menyesal aku.”

“Penat-penat sahaja aku datang nak tengok keputusan.  Betapa teruknya keputusan ni, hish!”

“Kalau macam ni punya keputusan, tak tahu pun tak apa…!”

“Alangkah baiknya kalau peperiksaan hari tu berhenti setakat tu sahaja.  Tak payah ada keputusan, grrr…!”

Betapa berbeza sungguh dengan situasi pertama.  Jika orang-orang yang mendapat keputusan cemerlang mereka ingin menghebahkan kepada dunia dan semua, tetapi bagi orang-orang yang gagal, mereka akan berasa menyesal dan kecewa.

Tatkala Diberi Keputusan… (2)

Itu tatkala diberi keputusan ujian-ujian keduniaan di dunia.

Bagaimana dengan situasi di Hari Akhirat?

Rupa-rupanya di dalam al-Qur’an, ALLAH `Azza wa Jalla telah merakamkan dialog-dialog manusia yang hampir serupa dengan dialog-dialog di atas.  Ini bagi menggambarkan kepada manusia betapa bahagia dan gembiranya seseorang apabila mereka diberi keputusan yang baik di Hari Akhirat.  Manakala bagi orang-orang yang mendapat keputusan yang teruk, maka penyesalan dan kekecewaanlah yang pasti hinggap ke dalam dada-dada mereka.

Di dalam surah al-Haaqqah, ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

69:19

69:20

Yang maksudnya:

“Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya):  ‘Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!  Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!”  (Surah al-Haaqah, 69:20)

Tidakkah hampir serupa dengan dialog di atas?

Mari kita lihat bagaimana pula reaksi orang-orang yang mendapat keputusan yang buruk di Hari Akhirat kelak:

69:25

69:26

69:27

Yang maksudnya:

“Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku, dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku.  Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi)”  (Surah Al-Haaqah, 69: 25-27)

Tentu kita dapat membayangkan sedikit sebanyak akan perasaan yang bakal dihadapi oleh kita semua pada Hari Akhirat kelak.  Biar hari ini kita segera berasa gerun dan bersiap sedia sebelum datang penyesalan yang tidak kunjung sudah pada Hari Kiamat nanti.  Semoga kita semua beroleh buku amalan kita dengan tangan kanan kita, amin…amin…!

Jika di dunia, tatkala mendapat keputusan cemerlang, kita bahagia dan gembira.  Tentunya jika mendapat keputusan yang cemerlang di Hari Akhirat, perasaan bahagia dan gembira itu berkali-kali ganda perasaannya.

Jika di dunia, tatkala mendapat keputusan buruk, kita menyesal dan kecewa.  Tentunya jika mendapat keputusan yang buruk di Hari Akhirat kelak, perasaan menyesal dan kecewa itu akan berlipat kali ganda perasaannya.  Semoga ALLAH melindungi kita dari musibah ini, amin.

Dunia & Akhirat

Justeru, mengetahui hal ini, hendaklah kita sama-sama berusaha memperbaiki diri kita seboleh mungkin.  Kita hidup di dunia ini sebenarnya masih dalam waktu peperiksaan.  Banyak soalan-soalan dan ujian-ujian yang menuntut diri kita menjawabnya dengan betul.  Dan bertindak dengan betul.  Semua tindak-tanduk kita mempunyai markah.  Dan tentunya akan diadili pada Hari Diumumkan Keputusan nanti.  Keputusan diberi berdasarkan amalan perbuatan kita semasa di dunia.

Ingat, keseluruhan hidup ini merupakan ujian daripada ALLAH!

Jika mendapat keputusan yang buruk di dunia, kita masih mempunyai peluang untuk memperbaikinya samada menduduki semula peperiksaan tersebut atau mencari peluang lain.  Selagi usaha dan tekad masih ada, selagi itu peluang masih terbuka untuk keluar dari keadaan itu.

AKAN TETAPI, jika mendapat keputusan yang buruk di Hari Akhirat, tiada lagi peluang kedua.  Tiada peluang langsung!   Kita tidak akan dipulangkan ke dunia untuk memperbaikinya.  Jawapannya ialah samada ke Syurga yang penuh nikmat atau ke dalam neraka yang penuh dengan seksaan.

Pastikanlah kita, pasangan kita, anak-anak kita, ahli keluarga kita, sahabat-sahabat kita buat betul-betul dalam ujian kehidupan ini.  Supaya apabila kita semua dikumpulkan nanti pada Hari Keputusan Yang Agung, kita semua mendapat keputusan yang baik dan cemerlang, lalu diberi ganjaran kemuliaan di sisi RABB al-`alamin, amin.

ALLAHU A`LAM.

Sekadar mengingatkan diri sendiri dan semua yang tersayang,

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com

2 responses to “Tatkala Diberi Keputusan…

Leave a comment