Mesti Baca Buku Ini Sebelum Ke Makkah & Madinah

Saya tidak dapat menahan diri dari ingin segera merekomen dua buku ini setelah mendapat tahu ada beberapa sahabat saya akan melakukan ziarah ke Makkah dan Madinah tidak lama lagi.

Makkah al-Mukarramah – Kelebihan & Sejarah

Kulit depan buku 'Makkah al-Mukarramah - Kelebihan & Sejarah'

Maklumat ringkas buku:

  • Tajuk:  Makkah al-Mukarramah – Kelebihan & Sejarah
  • Terbitan:  Telaga Biru Sdn Bhd
  • Pengarang:  Dr Abdul Basit Abdul Rahman
  • Harga:  RM30 (Semenanjung), RM32 (Sabah & Sarawak)
  • Tebal:  230 muka surat

Madinah Munawwarah – Kelebihan & Sejarah

Kulit depan buku 'Madinah Munawwarah - Kelebihan & Sejarah'

Maklumat ringkas buku:

  • Tajuk:  Madinah Munawwarah – Kelebihan & Sejarah
  • Terbitan:  Telaga Biru Sdn Bhd
  • Pengarang:  Dr Abdul Basit Abdul Rahman
  • Harga:  RM30 (Semenanjung), RM32 (Sabah & Sarawak)
  • Tebal:  258 muka surat

Kenapa buku-buku ini?

Ziarah ke Makkah dan Madinah bukanlah ziarah biasa-biasa.  Ia ziarah mulia dan merupakan salah satu ibadah mendekatkan diri kepada ALLAH, terutama tatkala mengerjakan haji atau `umrah.  Justeru para penziarahnya sangat digalakkan agar mengenali dua tempat ini dari segi kelebihan dan sejarahnya.  Dengannya, insyaALLAH akan datang penghayatan dan khusyu` kepada diri si penziarah.

1.  Buku ini terkandung di dalamnya huraian yang agak terperinci berkenaan tempat-tempat yang ada sekitar Makkah dan Madinah.

2.  Dilampirkan nas-nas dari al-Quran dan hadith sahih yang menerangkan kelebihan dan sejarah dua tempat ini.

3.  Diceritakan latar belakang tempat bersejarah dan kaitannya dengan diri Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam dan lain-lain Nabi yang terlibat serta beberapa tokoh yang terkait dengan tempat-tempat tersebut.

4.  Penuh dengan foto dan gambarajah yang berwarna-warni.

5.  Ditulis oleh seorang yang sangat `alim, dihormati dan berpengalaman luas tentang dua tempat yang mulia itu.  Beliau iaitu Dr Abdul Basit telah tinggal lama di sana dan memperolehi Ijazah B.A, M.A dan Ph.D dari Universiti Islam Madinah.

6.  Bukunya menggunakan kertas yang berkualiti tinggi.

7.  Mampu milik.  Saya pernah berkenan hendak memiliki buku tentang Makkah dan Madinah yang memuatkan gambar, peta, gambarajah dan sejarah, tetapi harganya lebih dari RM100.  Buku tersebut sangat terperinci dan menarik sekali.  Namun, disebabkan oleh tidak mempunyai bajet khas, terpaksalah melupakannya.  Dan alhamdulillah, buku karangan Dr Abdul Basit ini penawar duka saya dan saya berpuas hati.

Itulah antara beberapa sebab yang sempat saya tulis di sini.  Walaupun buku ini bukanlah buku yang menerangkan cara melakukan ibadah ketika berada di Makkah dan Madinah.  Namun, saya sangat sarankan tuan/puan memilikinya dan baca sebelum berangkat ke dua tanah haram itu.

Dengan dua buku ini, insyaALLAH tuan/puan akan menjadi seorang penziarah yang faham dan khusyu` serta dapat menghayati sejarah dan kelebihan dua tempat suci ini, iaitu Makkah dan Madinah.

Hati tuan/puan akan disuburi iman, tubuh tuan/puan akan didatangi semangat untuk melangkah, minda tuan/puan akan didatangi bayangan dan ingatan kepada sejarah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, mata dan fikiran tuan/puan akan memandang zahir dan batin tempat itu dan air mata tuan/puan akan berderai keseorangan tatkala menghayatinya.  ALLAHU AKBAR!

Tuan/puan insyaALLAH akan dilorongkan dengan hidayah dan taufiq dari ALLAH untuk lebih semangat dalam ziarah dan ibadah.  Tidak seperti orang lain yang mungkin hanya kagum dengan struktur binaan, kecantikan ukiran dan disibukkan dengan semangat ingin membeli-belah.  Rugi jika begini…

Semoga ALLAH mengurniakan tuan/puan dengan ziarah dan ibadah yang diterimaNYA.  Dan semoga kita semua mendapat hidayah dan taufiq dari ALLAH, amin…

Beli dan baca tau!

Sekadar berkongsi,

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
2 Februari 2012.

5 responses to “Mesti Baca Buku Ini Sebelum Ke Makkah & Madinah

Leave a reply to Nazir Cancel reply