Mengaitkan semua dengan Dajjal akan menyebabkan sebahagian manusia makin meremehkannya. Makin menidakkannya. Sedangkan ancaman Dajjal itu benar dan besar. Ini bahaya!
Ancaman Dajjal telah diberi amaran oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Kita yang hidup pada zaman kemudian ini semakin dekat dengan ancaman tersebut. Nak atau tidak, kita kena ambil tahu.
Bagaimana?
Dengan cara membaca, menyemak dan mendampingi hadith-hadith Nabi mengenainya. Dan berusaha memahaminya melalui penyampaian para ulama yang diakui ilmunya.
Sebahagian kita banyak membaca kisah-kisah dan anggapan-anggapan tentang Dajjal yang ditulis oleh macam-macam orang. Lalu dikaitkan dengan konspirasi besar dunia. Kita pun tahu bahawa isu Dajjal ini bukan sahaja dititikberatkan oleh muslim, tapi juga oleh kristian dan yahudi. Jadi terlalu ramai yang menyumbang kepada cerita ceriti mengenai Dajjal. Sikap kita terhadap cerita ceriti Dajjal ini boleh kita ambil sikap sebagaimana kita bersikap terhadap kisah-kisah dan berita-berita Israiliyyat, iaitu:
- Yang benar dan sama dengan sumber al-Qur’an serta as-Sunnah; kita terima.
- Yang bercanggah dengan sumber al-Qur’an dan as-Sunnah; kita tolak.
- Yang tidak disebut oleh al-Qur’an dan as-Sunnah serta tidak pula bercanggah dengan kedua-duanya; kita tak terima bulat-bulat dan tak tolak bulat-bulat.
Begitulah.
Soalnya sudahkah kita meneliti hadith-hadith Baginda satu per satu dan mengimaninya serta memahaminya menurut disiplin ilmu yang benar? Malangnya ramai mendahulukan dan fokus kepada cerita-ceriti yang bersepah di dalam masyarakat tanpa dilapik dengan ilmu yang benar.
Dan akhir sekali kita kena ingat bahawa berita mengenai Dajjal ini termasuk dalam perkara ghaib yang tidak diketahui oleh manusia. Hanya ALLAH sahaja yang mengetahuinya. Pengetahuan mengenai Dajjal hendaklah berpaksikan pada wahyu iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah.
Berhati-hati terhadap dakyah Dajjal adalah dengan cara menguatkan aqidah kita terhadap ALLAH. Tidak mensyirikkan ALLAH dan tekad mentauhidkanNYA. Supaya dengannya kita tak jatuh kepada hasutan dan tipu daya Dajjal yang berusaha memesongkan aqidah manusia di hujung umur dunia.
Kalau pun kita terpaksa berhadapan dengan Dajjal dan dia ingin merosakkan kita (na`udzu billahi min dzalik), maka ingatlah potongan pesanan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam kepada Ibnu Abbas radhiAllahu `anhuma, iaitu:
“Kalau seluruh ummat berkumpul mahu memudharatkanmu, perkara itu tidak akan terjadi melainkan ia sudah ditetapkan ALLAH.” (HR at-Tirmidzi)
In shaa ALLAH, ia akan memberi kekuatan kepada diri untuk semakin menyerahkan urusan kita kepada ALLAH. Bukan kepada Dajjal sang penipu daya.
Jalanilah kehidupan ini dengan meletakkan diri sebagai hamba ALLAH. Bahawa ALLAH `Azza wa Jalla sentiasa Melihat, Mendengar, Mengetahui dan Menjaga kita. Takut dan berhati-hati terhadap Dajjal adalah suatu yang wajar kerana Nabi berpesan tentang bahayanya. Namun janganlah kita terlalu obses dan fobia dengan Dajjal hingga menampakkan diri kita seolah-olah tiada penjaga. Penjaga kita ialah ALLAH. Ingat tu!
Amaran Nabi terhadap datangnya Dajjal adalah supaya kita semakin kuatkan aqidah kita. Supaya kita makin kenal, cinta, takut, harap dan berserah diri kepada ALLAH. Bukan semakin kalut terhadap Dajjal.
Kita ada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH berkuasa ke atas segala sesuatu.
Leave a Reply