4 Pilihan Buat Perokok

Memang sukar seseorang yang sudah terjebak dengan tabiat merokok untuk melepaskan tabiat yang buruk itu.  Walaupun begitu, ada juga yang telah berjaya keluar 100% atau mengurangkan tabiat merokok.  Tahniah buat golongan ini.  Antara faktor utama yang membuatkan mereka beriltizam meninggalkan tabiat buruk merokok itu ialah:

  1. Faktor agama.  (Merokok telah difatwakan haram oleh jumhur ulama  dan institusi-institusi mufti)
  2. Faktor kasih kepada orang yang tersayang.

Saya ada menulis tentang hal tersebut di sini:

Buat seseorang yang masih lagi terlibat dengan tabiat merokok, mereka tidak dapat lari dari membuat 4 pilihan ini setiap hari, iaitu:

Pilihan untuk perokok.

1)  Merokok dan membiarkan asap terhidu oleh orang lain.

Saya berasa sangat kecewa dan bercampur marah apabila ada para perokok yang merokok di tempat-tempat awam (contohnya restoran dan perhentian bas), terutama apabila ahli keluarga saya terpaksa menghidu asap-asap rokok yang dihembuskan para perokok.  Bagi saya, golongan seperti ini sangat mementingkan diri sendiri, tidak peka terhadap keperluan orang lain dan tidak bertanggungjawab.

Jika mereka memilih untuk merokok dan membiarkan asap terhidu oleh orang lain, perbuatan merokok mereka bukan sahaja berdosa kerana memudharatkan diri sendiri dan pembaziran, bahkan menempah dosa yang banyak kerana menzalimi orang lain.  Bagaimana orang lain boleh terzalim?

  • Asap rokok boleh memudharatkan orang lain.
  • Asap rokok menyebabkan udara yang bersih menjadi tercemar.
  • Asap rokok menyebabkan keselesaan orang lain terganggu.
  • Asap rokok menyebabkan orang lain marah.
  • Asap rokok menyebabkan si perokok dikutuk dan dikeji oleh orang yang terpaksa menghidu asap beracun tersebut.
  • Dan lain-lain lagi.

Hasilnya, si perokok boleh mendapat dosa yang banyak sekali.  Iaitu dosa merokok dan dosa menzalimi orang lain.  Si perokok boleh pilih pilihan yang ini jika dia mahu.

2)  Merokok dan memastikan asap tidak terhidu oleh orang lain.

Jika si perokok merokok tetapi asapnya dipastikan oleh si perokok tidak terhidu orang lain, maka kes seperti ini lebih ringan berbanding yang pertama.  Si perokok tetap berdosa kerana melakukan apa yang dilarang oleh agama iaitu memudharatkan diri sendiri dan membazir.  Tetapi dosanya tidak berganda kerana tidak melibatkan orang lain.

Hasilnya, dia tetap berdosa.  Si perokok boleh pilih pilihan yang ini jika dia mahu.

Antara sebab pengharaman merokok di sisi ISLAM

Antara sebab pengharaman merokok di sisi ISLAM

3)  Tidak merokok.

Bagi si perokok yang melakukan perbuatan merokok setiap hari, ini bermakna dia telah secara istiqamah melakukan dosa.  Jika dia merokok 5 batang setiap hari, bermakna dia melakukan perbuatan dosa sebanyak 5 kali setiap hari.  Cuba bayangkan jika dia merokok di tempat awam yang menyebabkan orang lain termudharat sama.  Tentulah bukan 5 perbuatan dosa dia lakukan, tetapi lebih dari itu.  Itu jika 5 batang rokok.  Bagaimana jika lebih?  Bagaimana pula dosa-dosa yang lain???

Jika si perokok tidak merokok pada hari itu, bermakna dia kurang melakukan dosa pada hari tersebut.  Jika biasanya dia merokok 5 batang sehari, tetapi dia kurangkan 1 menjadi 4 batang, bermakna dia mengurangkan 1 dosa hariannya.

Ketahuilah wahai para perokok, merokok adalah berdosa.  Jika dalam 24 jam sehari itu ada waktu-waktu yang kalian tidak merokok, itu bermakna kalian tidak melakukan dosa dalam waktu-waktu tersebut.  Minit dan jam yang kalian gunakan untuk merokok, itu berdosa.

Tidak merokok, tidak berdosa.  Si perokok boleh pilih pilihan yang ini jika dia mahu.

4)  Berusaha berhenti merokok.

Bukan senang hendak berhenti merokok.  Perkara ini sudah maklum.  Dan saya sangat kasihan dengan rakan-rakan yang masih gagal keluar dari tabiat merokok ini.  Mereka berusaha, tapi selalu kalah.

Tapi ketahuilah wahai rakan-rakan sekalian, setiap kali kalian meletakkan usaha untuk berhenti merokok, setiap itu juga ia dicatat sebagai amal kebajikan dari sisi ALLAH Ta`ala.  Para Malaikat tidak akan terlepas mencatitnya.  Dan ALLAH Ta`ala sentiasa memerhatikan tindakan dan hati kalian.  ALLAH Ta`ala tahu kalian berusaha dan DIA tahu keikhlasan hati kalian.

Tatkala kalian membaca artikel-artikel dan tips-tips bagaimana hendak berhenti merokok, setiap itu juga dikira ia sebagai suatu perjuangan.  Setiap kali kalian mematahkan puntung rokok atau menahan tangan kalian dari merokok, setiap itu juga ALLAH berikan pahala, in sha’ ALLAH.  Kerana usaha hijrah dari perbuatan dosa itu adalah amal perbuatan yang mulia di sisi ALLAH Ta`ala dan ada ganjaran dari sisiNYA, in sha’ ALLAH.

Melawan nafsu dan tabiat buruk menghisap rokok adalah suatu perjuangan buat kalian.  Berusahalah berhenti merokok dan berhentilah merokok.  In sha’ ALLAH ada pahala buat kalian.  Sama seperti di atas, si perokok boleh pilih pilihan yang ini jika dia mahu.

Tuan/puan perokok sekalian,

Dari 4 pilihan yang disebut di atas, pilihan yang ke-4 lah yang paling menguntungkan kalian dunia dan akhirat.  Terpulanglah mana satu yang kalian mahu pilih.  Setiap perbuatan esok nanti akan dipertanggungjawabkan ke atas diri masing-masing.

Semoga ALLAH Ta`ala mempermudahkan para perokok yang ikhlas mahu berhenti untuk meninggalkan tabiat yang buruk ini.  Dan semoga ALLAH Ta`ala memberikan kita semua akan hidayah dan taufiqNYA, amin…

Sekadar berkongsi,

muzir.wordpress.com
27 Syawwal 1433
14 September 2012

7 responses to “4 Pilihan Buat Perokok

  • Mohd Zamri Bp

    membazir jika menghisap rokok tanpa sebab munasabah dan menghisap dalam kuatiti banyak dalam stu msa

    Liked by 1 person

  • salamramadhan

    kajian rokok ini dibuat oleh saintis barat yang bertujuan untuk merosakkan pemikiran dan akidah orang islam secara halus, dan ini adalah kajian dan pandangan saya setelah dibuat penyelidikan, sila renungkan.

    1. Bahan tumpat dijadikan ubat contohnya serbuk akar tongkat ali.
    2. Bahan air dijadikan ubat contohnya air dicampur akar kayu obat.
    3. Bahan wap dijadikan ubat contohnya daun dan cengkeh yang dibakar dan disedut.

    Cuba fikir mengapa tok-tok guru pejuang dahulu yang tinggi ilmu dunia dan kerohanian membakar daun dan akar kayu tertentu dan disedut. kajilah bagaimana hebatnya rohani dan jasmani mereka.

    Mengapa pihak barat terlalu memburukkan rokok dan apa akibatnya dan inilah tujuan mereka.

    1. Merokok adalah makruh kerana mengeluarkan kan bau yang tidak wangi. Jadi ada segelintir umat islam mengubah hukum makruh kepada haram. Jadilah orang yang mengubah hukum Allah swt. Hukum benda makruh apabila diberi kepada orang lain bertujuan untuk menyuka atau mengambil hati orang mendapat pahala.
    2. Pihak Barat juga cuba menghasut umat islam supaya berpendapat araklebih baik daripada rokok.
    3. Umat islam diasuh supaya meninggalkan angkat jual beli dimulakan dengan rokok.

    InsyaAllah segala maklumat selanjutnya saya akan berikan dan saya minta tuan-tuan bolehlah membuat kajian kajian secara jasmani dan rohani dahulu.

    Like

  • Anonymous

    Bagi orang-orang yang merokok akan mencari jalan bagaimana untuk menjadikan rokok tidak haram, cuma makruh sahaja. Maka mulalah timbul ada ustaz atau ulama hebat yang merokok.
    Sedangkan kalau ulama yang hebat pasti akan meninggalkan perkara yang makruh sejauh-jauhnya. Yang wajib disegerakan, yang sunat dibanyakkan, yang makruh di tinggalkan, yang haram jauh sekali

    Like

Leave a comment