Bagaimanakah Ghibah (Umpatan) Yang Diperbolehkan?

lisanKita sangat dilarang dari melakukan ghibah (umpatan) kepada manusia lain.  Ada banyak nas yang melarang kita dari terlibat melakukan ghibah dan menyuruh kita agar menjaga sungguh-sungguh akan lidah kita.  Definisi ghibah dan contoh-contoh nas yang menyebut tentangnya boleh dibaca di sini, in shaa’ ALLAH:

Namun, ghibah diperbolehkan jika di sana terdapat keperluan yang mana ghibah terpaksa dilakukan dengan tujuan yang dibenarkan syara’.  Hal ini telah dicontohkan oleh para sahabat dan juga oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam sendiri.  Berikut adalah beberapa hadith yang telah disusun oleh al-Imam an-Nawawi di dalam Riyadhus Solihin dalam tajuk ‘Ghibah Yang Diperbolehkan’:

1.  Dari `A’isyah radhiAllahu `anha bahawasanya ada seseorang meminta izin kepada Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam, kemudian Baginda bersabda:

“Berilah izin untuknya, dia adalah orang yang sangat jahat dari kabilahnya/kaumnya.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

2.  Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

“Aku tidak mengira sedikit pun kalau si fulan dan si fulan itu mengetahui tentang agama kita.”

(HR al-Bukhari)

Laits bin Sa`ad iaitu salah seorang perawi hadith ini mengatakan:  “Kedua-dua orang tadi (yang disebutkan oleh Nabi dalam hadith di atas) adalah orang-orang munafiq.”

Hadith 1 dan 2 di atas adalah mengenai perbuatan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam yang melakukan ghibah (mengumpat) dengan tujuan supaya orang lain berwaspada terhadap kata-kata dan perbuatan individu-individu yang dimaksudkan oleh Baginda.  Supaya tidak tertipu atau termudharat oleh mereka.

3.  Dari Fatimah binti Qais radhiAllahu `anha berkata:

“Saya datang kepada Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dan berkata: Sesungguhnya saya telah dilamar oleh Abul-Jahmi dan Mu`awiyah.” 

Kemudian Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:  “Adapun Mu`awiyah maka dia adalah orang miskin yang tidak mempunyai harta kekayaan, dan Abul-Jahmi maka dia tidak pernah menaruh tongkat dari bahunya (yakni dia seorang yang suka memukul).”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Muslim dikatakan: “Adapun Abul-Jahmi maka dia adalah orang yang suka memukul wanita.”

Hadith ini menceritakan bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pernah memberikan nasihat kepada Fatimah binti Qais apabila beliau bertanya mengenai lelaki-lelaki yang datang melamarnya.  Ini menunjukkan kepada kita bahawa dibenarkan untuk kita menceritakan mengenai aib seseorang jika diminta nasihat kepada kita seperti perihal memilih pasangan, memilih rakan kongsi perniagaan dan sebagainya.  Tujuannya mestilah untuk menasihat, bukan untuk memalukan atau menelanjangkan aib seseorang.

4.  Dari Zaid bin Arqam radhiAllahu `anhu berkata:

“Ketika kami berada dalam perjalanan bersama Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, tiba-tiba rombongan itu mendapat kesusahan.  Kemudian `Abdullah bin Ubay berkata:  “Janganlah kamu sekalian membantu orang-orang yang bersama Rasulullah sehingga mereka meninggalkan tempat ini.”  Dan katanya:  “Seandainya kami telah sampai kembali di Madinah nescaya orang-orang yang mulia itu akan mengusir orang-orang rendahan.”

Kemudian saya datang kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan menyampaikan hal itu kepada Baginda, Baginda lantas mengutus seseorang untuk memanggil `Abdullah bin Ubay, tetapi dia tidak mengaku terhadap apa yang telah diperbuatnya dan dia menguatkan pengakuannya itu dengan sumpah, sehingga orang-orang di situ berkata:  “Zaid telah berdusta kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.” 

Maka betapa sedihnya hatiku di dalam menanggapi apa yang mereka katakan sehingga akhirnya ALLAH Ta`ala menurunkan wahyu kepada NabiNYA untuk membenarkan saya, iaitu yang berbunyi:  إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ dan seterusnya (surah al-Munafiquun).  Kemudian Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam memanggil orang-orang tadi agar mereka mahu memohon maaf, tetapi mereka memalingkan kepala mereka.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Hadith ke-4 ini mengisahkan perbuatan Zaid bin Arqam yang melakukan ghibah (umpatan) terhadap `Abdullah bin Ubay yang mempunyai perancangan buruk kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  `Abdullah bin Ubay merupakan seorang yang munafiq, iaitu pada zahirnya dia Islam tetapi hatinya sentiasa memusuhi Islam.  Orang seperti ini ada dalam masyarakat umat Islam sejak dahulu hingga sekarang dan sentiasa merancang merosakkan perancangan umat Islam.  Kita mesti selalu berhati-hati dengan golongan seperti ini.  Perancangan jahat mereka tidak boleh didiamkan, malah mesti dilaporkan dan didedahkan kepada pihak berkenaan bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan umat Islam.

5.  Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata:

“Hindun iaitu isteri kepada Abu Sufyan berkata kepada Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam:  “Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang suami yang kikir.  Dia tidak pernah memberikan belanja yang cukup bagi saya dan anak saya kecuali apabila saya mengambil tanpa pengetahuannya.”

Baginda bersabda:  “Ambillah belanja yang cukup untuk kamu dan anakmu dengan cara yang baik.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Hadith ke-5 ini pula adalah mengenai perbuatan Hindun yang mengadu kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dengan menyebut nama dan sifat kedekut suaminya yang bernama Abu Sufyan.  Ghibah yang sebegini dibenarkan dengan niat untuk membuat pengaduan dan nasihat kepada pemimpin atau orang yang mampu memberikan nasihat atau penyelesaian.

Enam (6) Situasi Dibenarkan Ghibah

Berdasarkan hadith-hadith sahih di atas, para ulama telah sepakat bahawa terdapat enam (6) situasi kita dibenarkan untuk melakukan ghibah.  Enam (6) keadaan tersebut ialah:

  1. Dalam hal penganiayaan.  Orang yang dianiaya itu boleh mengadukan mengenai orang yang menganiayanya kepada penguasa atau orang yang mempunyai kuasa atau kemampuan untuk menyedarkan atau mengadili tindakan aniaya itu.  Misalnya orang yang dianiaya itu mengatakan:  “Si fulan menganiayai saya begini dan begitu.”
  2. Dalam hal meminta tolong untuk melenyapkan kemungkaran dan untuk menegur orang yang berbuat kemaksiatan, misalnya seseorang berkata kepada orang yang diharapkan dapat melenyapkan kemungkaran tersebut dengan berkata:  “Si fulan berbuat kemungkaran.  Tolonglah buat sesuatu.” dan lain-lain ucapan seumpamanya dengan maksud untuk melenyapkan kemungkaran.  Seandainya tidak dengan maksud untuk melenyapkan kemungkaran maka hal itu tidak dibolehkan.

  3. Dalam hal meminta nasihat.  Misalnya ada seseorang berkata kepada orang lain yang dianggap boleh memberikan nasihat:  “Saya diperlakukan begini oleh ayah saya, atau saudara saya, atau pasangan saya, atau oleh si fulan, lalu bagaimanakah sebaiknya saya lakukan?  Apakah nasihat anda kepada saya?  Apakah hukumnya mereka melakukan begitu kepada saya?”.  Yang terbaik ialah tidak perlu menyebut nama atau hubungan mereka dengan kita, contohnya:  “Bagaimanakah pendapat anda jika seorang suami melakukan begini dan begitu kepada isterinya?”  Dengan cara begini, maksudnya tercapai juga walaupun tidak menyebut nama orang tersebut atau menyebut hubungan dia dengan kita.  Namun, jika mahu menyebut juga, masih dibenarkan.

  4. Dalam hal memberikan peringatan atau nasihat kepada kaum muslimin agar tidak terjerumus ke dalam kejahatan.  Contohnya menyebut cacat dan aib para periwayat hadith dan para saksinya supaya riwayat tersebut diketahui akan statusnya lalu tidak disebarkan secara tanpa hak.  Contoh yang lain adalah seperti ketika bermesyuarat, memilih pasangan atau besan, memulakan kerjasama/perniagaan, memilih jiran tetangga dan seumpamanya.  Tujuan ghibah mestilah dengan sebab ingin memberikan peringatan atau nasihat supaya kemudharatan atau keburukan dapat dicegah.

  5. Dengan berterus-terang menegur kefasikan seseorang seperti kepada orang yang meminum minuman keras, orang yang merampas harta orang lain, orang yang menerapkan kebatilan dan lain-lain kemaksiatan.  Dalam hal ini seseorang boleh berterus terang menegur tindakannya yang tidak benar itu, tetapi tidak boleh mendedahkan aib yang lain yang tidak berkaitan.

  6. Dalam hal memberikan pengertian atau kejelasan, misalnya ada seseorang yang lebih dikenali dengan gelaran ‘si buta’, atau ‘si tuli’, atau ‘si bisu’ dan sebagainya.  Dalam hal ini seseorang boleh menyebutnya dengan gelaran itu, tetapi kalau dengan maksud mengejek atau menghina maka diharamkan.  Dan kalau boleh, hindarilah gelar-gelar semacam itu.

Itulah enam (6) situasi yang dibenarkan kita melakukan ghibah.  Sebaik-baiknya janganlah melakukan ghibah (umpatan) kerana ia boleh menjerumuskan kita kepada kehancuran dunia dan akhirat.  Namun, jika di sana ada keperluan dan ditimbang keperluan itu dengan halal dan haram, manfaat dan mudharat, mudharat kecil dan mudharat besar, maka bolehlah melakukan ghibah.

Semoga tulisan ini bermanfaat buat kita semua, in shaa’ ALLAH.  Semoga ALLAH Ta`ala mengampunkan dosa-dosa kita.  Hidayah dan taufiq ALLAH lah kita dambakan, amin…

muzir.wordpress.com

Advertisements

One response to “Bagaimanakah Ghibah (Umpatan) Yang Diperbolehkan?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: