Keutamaan Ibadah Puasa Bulan Ramadhan

Kehadiran Ramadhan adalah suatu yang sangat dinanti-nantikan oleh orang-orang yang beriman.  Golongan yang bersungguh-sungguh mahu menjadikan diri mereka sebagai orang yang bertaqwa pastinya sangat rindu dan teruja kerana bulan Ramadhan menyediakan keberkatan yang mencurah-curah anugerah ALLAH `Azza wa Jalla.

Berikut disenaraikan secara ringkas kelebihan dan keutamaan berkaitan ibadah puasa dan Ramadhan agar dapat sama-sama kita meneliti serta menghayati dengan sungguh-sungguh betapa tingginya keberkatan yang tersedia di dalamnya.

1.    Puasa adalah ibadah fardhu yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, dengan tujuan agar yang melakukannya memperolehi taqwa.  ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah 2:183)

2.    Ibadah puasa sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH dan ALLAH sendiri yang akan mengganjarinya.  Puasa boleh menjadi perisai dari perbuatan tidak berfaedah dan ia menjadi kegembiraan yang besar bagi orang-orang yang beriman yang melakukannya.

Hal ini telah disebut di dalam sebuah hadith qudsi dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alahi wa sallam bersabda:

قَالَ اللَّهُ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلاَّ الصِّيَامَ، فَإِنَّهُ لِي، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ‏.‏

وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ، وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ، فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ، أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ‏

‏ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ، وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Maksudnya:

“ALLAH berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) itu bagi dirinya sendiri kecuali puasa.  Sesungguhnya puasa itu untukKU dan AKU yang akan membalasnya. 

Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak.  Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:  “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”. 

Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamanNYA, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu di sisi ALLAH lebih harum dari bau minyak kasturi. 

Bagi orang yang berpuasa ada 2 kegembiraan iaitu gembira ketika ia berbuka dan gembira ketika ia menghadap TUHANnya kerana besar pahala puasa.”

(HR al-Bukhari & Muslim)

3.    Ibadah puasa pada bulan Ramadhan boleh menghapuskan semua dosa-dosa yang pernah dilakukan pada masa lampau.  Dengan syarat hendaklah ibadah puasa Ramadhan tersebut dilakukan dengan penuh keimanan dan sangat mengharapkan ganjaran yang disediakan oleh ALLAH.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

(HR al-Bukhari & Muslim)

4.    Pada bulan Ramadhan, sekalian manusia mempunyai peluang yang besar untuk melakukan kebaikan dan menggandakannya kerana manusia didorong ke arah itu dan malah para syaitan yang selalu menjadi ejen kejahatan telah diikat dan dibelenggu sepanjang Ramadhan.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya:

“Apabila bulan Ramadhan datang, maka dibukalah pintu-pintu Syurga dan ditutuplah pintu-pintu Neraka, serta dibelenggu syaitan-syaitan.” 

(HR al-Bukhari & Muslim)

Banyak hikmah yang boleh kita perolehi daripada kalam-kalam mulia yang disenaraikan di atas.  Dengan meneliti dan menghayatinya, in shaa’ ALLAH kita akan dapat membuka, menyedia dan menggerakkan minda, jasad dan roh kita untuk sama-sama mengejar kebaikan-kebaikan yang telah ALLAH sediakan di dalam bulan Ramadhan.  Kepada ALLAH lah kita memohon hidayah dan taufiq.

Selamat menyambut dan menghayati Ramadhan.  Semoga kita sama-sama beroleh ketaqwaan, amin…

– muzir.wordpress.com


3 responses to “Keutamaan Ibadah Puasa Bulan Ramadhan

Leave a comment