RAMADHAN: Perbanyakkan Mohon Keampunan & Kembalilah Kepada ALLAH

 

Setiap kita mempunyai dosa samada dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja.  Apatah lagi kita yang hidup pada zaman mutakhir ini yang berhadapan dengan pelbagai godaan yang luar biasa datang dari luar dan dalam diri sendiri. Betapa lemahnya kita dalam menghadapi godaan tersebut sehingga selalu kalah dan melakukan dosa.

Walaupun begitu, ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sentiasa tahu kelemahan kita.  DIA tahu kita selalu lupa.  DIA tahu kita sering gagal menghindari dosa.  Dan DIA tahu fitrah manusia yang mahu kembali kepadaNYA.  Betapa baiknya DIA.  Betapa lembutnya DIA dengan kita.  Kita seharusnya berterima kasih dengan sungguh-sungguh kerana DIA sentiasa bersedia memberi keampunan kepada hamba-hambaNYA yang ingin bertaubat.

ALLAH Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللهِ ۚ  إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ  إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIAlah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

(Surah az-Zumar 39:53)

Malah, ALLAH ‘Azza wa Jalla sangat gembira dengan sikap hamba-hambaNYA yang mahu bertaubat dan kembali kepadaNYA.

Sahabat Nabi iaitu Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اللهُ أَفْرَحُ بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ سَقَطَ عَلَى بَعِيرِهِ، وَقَدْ أَضَلَّهُ فِي أَرْضِ فَلاَةٍ

“ALLAH lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA, melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menemui kembali untanya yang telah hilang di tengah-tengah padang gurun.”

(HR al-Bukhari & Muslim)

Hah!  Bayangkanlah seorang lelaki yang berjalan seorang diri bersama untanya di padang pasir yang panas.  Tiba-tiba, unta yang dijadikan sebagai pengangkutan itu hilang sedang dia berehat.  Semua bekalan makanan, minuman dan pakaian ada pada unta tersebut.  Tentulah sangat gelisah, takut dan buntu lelaki tersebut mengenangkan nasibnya yang malang itu.  Setelah lama berjalan dan menunggu, tiba-tiba unta tersebut kelihatan berjalan menujunya.  Tentu gembira sakan lelaki tersebut kan?  Saya dan anda tentu dapat membayangkannya.  Ia suatu kegembiraan yang tiada tara.

Nah! ALLAH lebih lagi gembira menerima kita yang memohon ampun dan bertaubat kepadaNYA.  Justeru, jangan putus asa dan kecewa.  Walau banyak mana pun dosa kita, insyaALLAH DIA akan terima taubat kita.

Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda dalam satu hadith qudsi bahawa ALLAH berfirman:

يَا ابْنَ آدَمَ! إِنَّكَ مَا دَعَوْتنِي وَرَجَوْتنِي غَفَرْتُ لَك عَلَى مَا كَانَ مِنْك وَلَا أُبَالِي

يَا ابْنَ آدَمَ! لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُك عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتنِي غَفَرْتُ لَك

يَا ابْنَ آدَمَ! إنَّك لَوْ أتَيْتنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُك بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

“Wahai anak Adam!  Sesungguhnya jika engkau berdoa kepadaKU dan berharap kepada-KU, niscaya AKU akan kurniakan keampunan buatmu atas apa yang engkau telah lakukan, dan AKU tidak peduli,

Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu tinggi sampai menyentuh awan di langit, kemudian engkau memohon ampun pada-KU, niscaya AKU akan kurniakan keampunan buatmu,

Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-KU dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-KU dalam keadaan tidak berbuat syirik terhadap-KU dengan sesuatu, niscaya AKU akan datang kepadamu dengan pengampunan sepenuh bumi juga.”

(HR at-Tirmidzi, hasan sahih.)

Perhatilah dengan teliti setiap maksud perkataan hadith di atas.

SubhanALLAH, boleh menitis air mata kita tatkala mengenangkan betapa Pemurahnya DIA, betapa Pengampunnya DIA dan betapa tak kisahnya DIA akan dosa kita yang menggunung.  DIA tetap akan terima kita jika kita berusaha mahu kembali kepadaNYA.  Betapa lembutnya DIA terhadap kita.  Betapa Penyayangnya DIA.  ALLAH…ALLAH…ALLAH!

Peluang Besar-Besaran Untuk Pengampunan Dosa

Bagi yang berkesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan, kita disarankan untuk beribadah dengan penuh keimanan dan sungguh-sungguh dalam mengharapkan pahala dari ALLAH Subhanahu wa Ta’ala.  Ganjaran besar berupa pengampunan dosa yang telah lalu menanti mereka yang beribadah sungguh-sungguh di dalam bulan yang mulia ini.

Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” 

(HR Bukhari & Muslim)

Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam juga bersabda:

مَنْ قَام رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang mendirikan solat sunat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” 

(HR Bukhari & Muslim)

Perbanyakkanlah amalan-amalan sunat dan mohonlah keampunan kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala di dalam bulan yang penuh barakah ini.

 

Rugi Besar Jika Tidak Diampuni ALLAH Pada Bulan Ramadhan

Abu Hurairah radhiAllahu `anhu ada menceritakan perbuatan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang sedang menaiki mimbar, lalu Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam menyebut “amin” sebanyak 3 kali.  Perbuatan Baginda itu mengundang perasaan pelik pada sahabat yang mendengar, lalu Baginda ditanya apakah sebabnya Baginda mengucapkan “amin” sebanyak 3 kali ketika menaiki mimbar?

Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab bahawa Jibril datang ketika itu dan berdo’a tentang 3 golongan yang akan dijauhkan dari rahmat ALLAH pada Hari Akhirat, iaitu:

  • seseorang yang menemui Ramadhan tetapi tidak mendapat keampunan ALLAH,
  • seseorang yang sempat hidup bersama orang tuanya tetapi mereka berdua tidak membuatkan dia dapat masuk syurga kerana dia telah mengabaikan dari berbuat baik kepada mereka berdua,
  • seseorang yang mendengar nama Nabi Muhammad disebut tetapi tidak mengucapkan solawat ke atas Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.

Nabi telah diminta supaya mengucapkan “amin” oleh Jibril.  Maka sebab itulah Baginda mengucapkan “amin”.

Jelas di sini bahawa Ramadhan adalah suatu medium khas buat manusia untuk mendapat keampunan dari ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.  Yang keluar dari Ramadhan tanpa mendapat keampunan, ternyata dia tergolong dalam kumpulan manusia yang rugi besar.  Bahkan dijauhkan ALLAH dari rahmatNYA.

Pohonlah banyak-banyak akan keampunan ALLAH sepanjang Ramadhan dan lakukan ibadah dengan sungguh-sungguh.

(Matan penuh hadith di atas boleh dibaca di sini: https://muzir.wordpress.com/2015/06/15/3-doa-jibril-yang-nabi-saw-aminkan-ketika-baginda-menaiki-mimbar/)

 

Doa Yang Patut Dibaca Selalu, Khususnya Pada Bulan Ramadhan

Ramadhan dan pengampunan dosa tidak dapat dipisahkan.  Malah, apabila ditanya oleh `A’ishah radhiAllahu ‘anha tentang apakah yang harus dibaca olehnya sekiranya bertemu dengan Lailatul-Qadr, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam mengajarkan doa khusus berikut untuk memohon keampunan, iaitu:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

“Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU Maha Pengampun, Maha Mulia, ENGKAU suka memberikan keampunan, maka ampunkanlah aku”.

(Jami` at-Tirmidzi.  Hasan sohih)

Lihatlah muslimin muslimat sekalian!  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menganjurkan kita agar membaca doa memohon keampunan supaya diampuni dosa-dosa kita yang telah lalu.  Betapa besar nilai dan makna doa ini sehingga Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menyarankannya.

Ini bermakna, berdoa memohon keampunan dari ALLAH mempunyai nilai yang sangat tinggi sehinggakan pada malam al-Qadr yang istimewa itu pun diajar tentang doa khusus untuk mendapat keampunan dari ALLAH.

Justeru, janganlah tinggalkan berdoa memohon ampun kepada ALLAH.  Perbanyakkanlah doa keampunan dari ALLAH disamping lain-lain hajat yang ingin dipohon kepadaNYA.

Perbanyakkanlah memohon ampun di dalam bulan Ramadhan ini.  Pohon dan terus pohon!

Mudah-mudahan tulisan ringkas ini dapat menimbulkan rasa keinsafan buat kita semua dalam berusaha untuk kembali kepada ALLAH.  Mohon ampun daripadaNYA.  Kembali kepada ALLAH dengan makna 100% beriman kepadaNYA melalui hati, lisan dan amal.  Kembali mengamalkan sunnah-sunnah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam kehidupan kita.

Semoga kita semua beroleh Taqwa dan diampuni ALLAH Subhanahu wa Ta’ala.  Dan akhir nanti kembali bertemuNYA dalam keadaan tidak berdosa.  ALLAH redho dengan kita, kita redho dengan ALLAH… amin.

www.muzir.wordpress.com

24 Ogos 2010, 14 Ramadhan 1431H


9 responses to “RAMADHAN: Perbanyakkan Mohon Keampunan & Kembalilah Kepada ALLAH

  • afizah35

    subhanallah…tkasih.

    menitis air mata saya tatkala membaca hadith2 di atas, terutama yg ini!

    “Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-KU dan berharap kepada-KU, akan AKU ampuni apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-KU akan AKU ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-KU tanpa menyekutukan AKU dengan sesuatu apapun, pasti AKU akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (HR. Tirmidzi, ia berkata, ”hadits ini hasan shahih.)

    ya Allah, aku telah banyak berdosa, terimalah taubatku ya Allah…hambumu ini rasa kembali bsemangat dlm hidup disbbkan oleh besarnya sifat pengampunmu ya Allah…amin…

    izinkan saya share & print artikel ini…thanks again
    please continue writing…

    Liked by 1 person

  • exsmaklian10

    thanks bro :)

    good article

    bro nih ex SMKAKL kan?

    Liked by 1 person

  • Kerengga kurus

    Sangat terkesan di hati.. Aku antara hambaNya yang setiap hari memikul dosa.. Moga Allah mengampuni aku…moga hidup dan mati ku di dalam agamaMu ya Allah..

    Like

  • Anonymous

    satu peringatan yang indah dan mulia……Semuga Allah mengampuni segala dosa dosa ku yang lalu walaupun sebesar zarah

    Like

  • ayu

    Ka maaf itu ditulisan arabnya fathah tapi di bahasa indonesianya bacanya anni
    Tolong di betulkan kak
    Terima kasih

    Like

Leave a comment