Kemuncup Di Padang Dakwah

Berjalan di padang yang berkemuncup memang tidak dapat dielakkan dari kemuncup itu melekat di kaki seluar.  Adalah kurang bijak jika seseorang itu asyik berhenti di tengah padang untuk membuang kemuncup yang melekat kerana sudah tentu kemuncup-kemuncup akan melekat lagi di kaki seluarnya.

Yang lebih baik ialah abaikan dahulu kemuncup-kemuncup yang melekat itu dan teruskan langkah hingga sampai di tempat sesuai yang tiada kemuncup lagi.  Di situ cabutlah semuanya.  Perbuatan ini tentunya lebih produktif dan efektif.

Perumpamaan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (TGNA) di atas telah digunakan oleh Tuan Guru Dr Abdul Basit Abd Rahman sebagai selingan dalam memberikan nasihat kepada para hadirin di Yayasan Ta`lim pagi tadi yang menyentuh soal adab menuntut ilmu.  Ia ditujukan terutamanya buat para pendakwah dalam menangani kemuncup yang mungkin mengganggu di padang dakwah.  (Semoga ALLAH memelihara kedua-dua tuan guru, amin)

Ia satu lagi perumpamaan oleh TGNA yang mendalam maknanya.  Saya memang suka dengan perumpamaan-perumpamaan yang dibawa oleh TGNA.  Ia selalu mengetuk minda dan menyegarkan iman.  Alhamdulillah.

Baca perumpamaan lain oleh TGNA yang sempat saya salin di sini:

https://muzir.wordpress.com/2011/05/12/pesanan-tuan-guru-nik-abdul-aziz-nik-mat/

Kemuncup Di Padang Dakwah

Sebagaimana di padang mungkin ada banyak kemuncup yang tidak menyenangkan, maka di padang dakwah tentu ada juga ‘kemuncup’nya.  Kemuncup-kemuncup di padang dakwah mungkin dalam bentuk gangguan, ugutan, fitnah dan provokasi samada sengaja atau tidak sengaja oleh pihak-pihak tertentu yang tidak sependapat.  Sebagaimana kemuncup yang melekat di kaki seluar yang tidak perlu kita asyik berhenti untuk mencabutnya, begitu jugalah dengan ‘kemuncup’ di jalan dakwah.

Janganlah dilayan sangat ‘kemuncup-kemuncup’ dakwah ini kerana ia bisa mengganggu perjalanan dakwah yang tentunya sangat panjang dan penuh ujian.  Utamakanlah yang lebih utama dahulu.  Iaitu menyampaikan risalah taqwa kepada masyarakat.  Jangan sampai terganggu dan terbantut akibat terlalu melayan ‘kemuncup-kemuncup’ ini.

Saya kira fenomena jawab-menjawab di kalangan pendakwah turut termasuk di dalam kategori ‘kemuncup’ dakwah.  Ia mungkin suatu yang dilihat sihat jika dipandang dari sudut akademik dan ilmiah kerana perbuatan tersebut boleh mencambahkan ilmu.  Tetapi, jika terlalu disibukkan di dalam hal sebegitu dan kerap pula, ia boleh membantutkan dakwah buat masyarakat ramai yang rata-rata masih keliru dengan nilai moral dan agama.  Paling menyedihkan jika ia akhirnya meragut ukhuwwah di kalangan ummat Islam dan para pendakwah.

Juga amat menyedihkan jika para pendakwah terlalu menyibukkan diri dengan isu-isu terkini yang remeh sedangkan ummat amat dahagakan ilmu dan peringatan dari para pendakwah.  Tidak melayannya bukan bermaksud mengabaikannya langsung.  ‘Kemuncup-kemuncup’ ini harus ditangani juga apabila tiba masa yang sesuai dan dijawab dengan hikmah.

Kemuncup & Dakwah Berpasukan

Jika seseorang yang berjalan seorang diri bisa terganggu perjalanannya jika dia asyik berhenti kerana mahu mencabut kemuncup, apatah lagi jika sepasukan pemain yang bermain bolasepak di padang.

Sangat tidak patut jika terdapat seseorang pemain sibuk mencabut kemuncup di kaki seluarnya atau di stokingnya sedang permainan dijalankan.  Tentu perbuatan tersebut akan mengganggu konsentrasi si pemain itu dan memberikan kesan yang buruk kepada keseluruhan pasukan.  Jika tidak selesa dengan kemuncup itu, tahanlah dahulu.  Teruskan bermain dengan cemerlang untuk mencapai matlamat permainan.  Mengenai kemuncup itu, cabutlah kemudian ketika permainan direhatkan.

Buat sahabat-sahabat yang memilih perjuangan dakwah secara berkumpulan atau organisasi samada melalui badan-badan kebajikan, NGO atau parti politik, perumpamaan di atas harus difikir dan direnungkan untuk kebaikan kumpulan yang kalian sertai.  Kalian mempunyai rakan pasukan yang bergerak bersama-sama di dalam pasukan.  Bukan kalian sahaja dilekati ‘kemuncup’ itu, ahli pasukan lain turut dilekati sama.  Ingat, matlamat pasukan mesti diutamakan.  Amat tidak bijak jika kalian sibuk mencabut kemuncup di tengah permainan dijalankan.

Janganlah kerana masalah atau kepentingan peribadi, keseluruhan pasukan terpaksa memperlahankan perjuangan dakwah dan malah mungkin terkesan dek perbuatan kalian yang merugikan itu.  Tumpukan pada matlamat perjuangan badan kebajikan, NGO dan parti politik yang kalian sertai sesuai dengan kehendak ALLAH dan RasulNYA.

Mudah-mudahan ibrah dari perumpamaan ini dapat memanfaatkan saya dan tuan/puan yang sudi membaca.  Semoga ALLAH merahmati semua para pendakwah samada yang bergerak sendiri-sendiri atau berorganisasi pada skala mana pun mereka berada.  Dan semoga pengislahan berterusan berlaku ke atas gerak kerja mereka seterusnya menatijahkan insyaALLAH ummat yang sejahtera, sama-sama menuju Syurga, amin.

Sekadar berkongsi,

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
15 Januari 2012.
Advertisements

One response to “Kemuncup Di Padang Dakwah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: