Akibat Tidak Merujuk Manual Terlebih Dahulu

Pagi tadi saya telah membeli alat penyangkut kecil dengan tujuan untuk menyangkut beberapa anak kunci.  Apabila sampai di rumah, saya terus membuka bungkusan lalu menampal penyangkut tersebut ke dinding.

Hmm, janggal pula kelihatannya…

Kelihatan hodoh setelah saya cuba menariknya agar tercabut…!

Apabila melihat manual ringkas di kulit belakang, ternyata rupa-rupanya saya telah terbalik menampalnya.  Saya cuba menarik semula penyangkut tersebut dengan harapan ia tanggal dengan mudah.  Hah, kuat sungguh ia melekat.  Saya tidak teruskan menariknya kerana khuatir pelekatnya tidak lagi kuat seperti asal.  Saya biarkan sahaja ia begitu.  Memang nampak tidak cantik.  Hmm, hendak buat macam mana.  Sudah terlanjur.  Jika cabut dan buang, membazir pula.  Biar sahajalah begitu…

“Inilah akibatnya tak rujuk manual terlebih dahulu…!”  dengus hati saya.

Agaknya itulah sifat kita semua.  Sifat manusia secara umumnya.  Memang kita jarang merujuk manual yang diberikan oleh pembuat peralatan.  Kita anggap kita sudah pandai.  Kita anggap perlakuan kita sudah betul.  Kita anggap ia mudah sahaja.  Hakikatnya, manual adalah suatu yang penting untuk dirujuk sebelum melakukan pemasangan atau menggunakan sesuatu peralatan.  Jika tidak merujuknya, tentu akan berlaku kesilapan atau penyalahgunaan yang tidak mengikut spesifikasi.

Manual Untuk Manusia & Kehidupannya

Kita sudah lama menjalani kehidupan ini.  Yang remaja, sudah belasan tahun hidup di dunia ini.  Yang dewasa pula, sudah puluhan tahun menggunakan nikmat kurniaan TUHAN kepadanya.  Telah banyak kesilapan telah kita lakukan.  Sudah banyak kali kita terbabas dalam menjalani kehidupan ini.

Kenapa?

Puncanya ialah kerana kita tidak membaca dan melihat manual kehidupan terlebih dahulu sebelum kita menjalani kehidupan dewasa yang penuh dengan cabaran.  Kita tidak meneliti al-Qur’an yang merupakan manual untuk manusia dan kehidupannya.  Kita jalan dan terus jalan ikut rasa hati tanpa dipandu al-Qur’an atau sedikit sekali kita merujuk kepada al-Qur’an.

Manual pemberian al-Khaliq kepada makhluqNYA, manusia.

Kalau baca pun, kita hanya membacanya tanpa memahami makna.  Lahir dalam keluarga yang bukan berbahasa Arab tidak memberikan kita kelebihan awal untuk faham bahasa al-Qur’an yang diturunkan di dalam bahasa Arab.  Rata-rata kita mengaji al-Qur’an ketika umur persekolahan, itupun hanya membaca tanpa mendalami maksud-maksud ayat al-Qur’an yang suci itu.

Selepas itu kita terus menjalani kehidupan persekolahan menengah, kolej dan universiti.  Kemudiannya berkerjaya, berkeluarga dan seterusnya tua.  Mendalami manual kehidupan iaitu al-Qur’an tidak pernah atau jarang menjadi tumpuan sebahagian besar kita.  Sebab itulah banyak kesilapan, kesalahan, perlanggaran dan keterbabasan berlaku sepanjang kehidupan kita.

Sepatutnya al-Qur’an menjadi pendidikan asas buat kita semua.  Bukan setakat mengaji.  Bukan setakat membaca.  Malah memahami dan mentababburnya pada awal umur kanak-kanak.  Berbekalkan itulah, lalu kehidupan yang mencabar selepas itu iaitu kehidupan dewasa dapat ditempuhi dengan lebih bersedia.  Barulah gerak tangan, langkah kaki, fikir akal dan rasa hati tentunya berlandaskan ajaran-ajaran al-Quran yang sudah sebati di dalam diri.

Amat menyedihkan kerana hakikatnya apa yang berlaku pada diri kita dan masyarakat tidak begitu.

Berbanding kehidupan salafussoleh, mereka terlebih dahulu sejak kecil telah mendalami al-Qur’an.  Mereka bukan sahaja hafal malah menghayati setiap ajaran di dalam al-Qur’an.  Disokong pula pengetahuan mereka terhadap hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang menjadi penghurai kepada ayat-ayat di dalam al-Qur’an.  Lalu sebab itulah mereka berjaya dan sangat jarang berbuat kesilapan.  Kerana mereka telah terlebih dahulu membaca dan menghayati manual dari TUHAN.

Inilah kesilapan saya.  Dan saya percaya ia kesilapan kita semua.  Kesilapan ibubapa kita dan kesilapan masyarakat serta pimpinan kita.  Kita telah lama mengenepikan al-Qur’an yang merupakan manual kehidupan seluruh manusia.

Membaca tanpa faham, Membaca serta faham, Membaca serta faham tafsirannya, adalah 3 bentuk berbeza dengan manfaat dan implikasi yang berbeza.

Adakah Sudah Terlambat?

Ya.  Memang sudah terlambat.  Akuilah hakikat itu.  Dan ia sepatutnya menjadi pengajaran buat kita.

Namun, seperti apa yang berlaku kepada kisah pelekat di atas, walaupun kesilapan telah berlaku, ruang untuk memperbetulkannya masih ada.  Walaupun sudah terlambat, namun tidak terlalu terlambat.  Atas kesedaran inilah, sepatutnya kita bangkit memperbetulkannya.  Segera bangkit dan perbetulkannya.  Jangan menyerah kalah kerana terlambat.  Lambat memulakannya adalah lebih baik dari langsung tidak memulakannya.  ‘Better late than never’ bak orang ramai kata.

Untuk diri kita, bukalah kembali manual yang telah kita terlupa atau lalai daripadanya itu, dan baca satu per satu akan arahan dan tunjuk ajarnya.  Kali ini baca manual kehidupan yakni al-Qur’an itu untuk memahaminya dan untuk menghayatinya dan untuk mempraktikkannya.  Bukan lagi sekadar baca untuk mengkhatamkannya.  Apatah lagi mengkhatamkannya tanpa memahaminya.

Untuk diri anak-anak kita dan generasi muda yang kita kenali, nasihatilah mereka akan peri pentingnya mempelajari al-Quran dengan memahami maksudnya, mentadabburnya dan menghayatinya dalam kehidupan.  Jika kita di kalangan ibubapa, pendidik atau pihak yang berotoriti, maka ambillah peranan yang proaktif bagi menekankan manusia-manusia di bawah tanggungjawab kita agar mereka semua dididik dengan bersumberkan dan bersilibuskan al-Qur’an dan as-Sunnah.

Rujuklah manual kehidupan terlebih dahulu sebelum mengibar layar bagi menempuhi badai kehidupan dengan merujuk kepada al-Qur’an dan as-Sunnah.  Semoga dengannya kehidupan akan diberkati di dunia dan di akhirat, amin…

Mudah-mudahan perkongsian ini bermanfaat buat diri saya dan tuan/puan.

Sekadar berkongsi,

muzir.wordpress.com
24 April 2012 

2 responses to “Akibat Tidak Merujuk Manual Terlebih Dahulu

Leave a comment