Kesempatan Ramadhan: Hotel, Restoran, Pasaraya & Kita

Kedatangan Ramadhan biasanya disambut gembira oleh hotel-hotel, restoran-restoran dan pasaraya-pasaraya di sekitar tempat.  Mereka telah dapat menghidu bau duit yang bakal masuk ke mesin-mesin duit mereka.  Masing-masing telah dapat membayangkan berduyun-duyun manusia masuk ke premis hotel, restoran atau pasaraya mereka lalu menghulurkan kertas-kertas bernilai kepada mereka.

Pada mereka tidak lain dan tidak bukan, keuntunganlah yang mereka kejar.  Ramadhan menyediakan kesempatan yang sangat besar buat mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda.  Mereka dengan suka hati menawarkan diri menyediakan perkhidmatan memuaskan nafsu manusia.  Dalam hal ini, nafsu yang dimaksudkan ialah nafus makan, nafsu sombong, nafsu bergaya dan nafsu bersaing.  Apa tidaknya?  Lihat sahaja hotel-hotel, restoran-restoran atau pasaraya-pasaraya dengan promosi mereka sepanjang Ramadhan ini.

Kesempatan Buat Hotel-Hotel

Sepanjang Ramadhan, dipacakkan bunting, banner dan malah diiklankan di media seperti TV, radio dan internet mengenai tawaran-tawaran pemuasan nafsu makan yang dinamakan sebagai ‘Bufet Ramadhan’.  Hendak bunyi lebih insaf dan ala-ala ibadat sedikit, mereka menamakannya dengan ‘Bufet Ramadhan Amal’.

Dengan bayaran puluhan ringgit satu kepala, peserta bufet boleh menikmati bermacam-macam jenis makanan.  Semua kesabaran sepanjang hari berpuasa bakal dilempiaskan dendamnya sejurus azan Maghrib berkumandang.  Perut yang kosong diserbu dengan bermacam-macam jenis makanan ala-barat dan ala-timur.  Makan sampai tersandar…

Bufet Ramadhan – Nabi sallAllahu `alaihi wasallam tidak berbuka puasa dengan cara begini.

Jika dibandingkan 15 tahun lalu, seingat saya ‘Bufet Ramadhan’ hanya hotel-hotel besar sahaja yang mengadakannya.  Kini, pada tahun 2012 ini, hampir semua hotel mengadakannya.  Betapa bisnes ‘Bufet Ramadhan’ ini suatu kesempatan besar buat hotel-hotel mengaut keuntungan.

Kesempatan Buat Restoran-Restoran & Gerai-Gerai

Restoran-restoran  pula, selain mengadakan jamuan bufet, banyak juga yang menyediakan pelbagai juadah makanan.  Siap dengan banner ‘Juadah Ramadhan’.  Hendak dimakan di restoran semasa berbuka puasa boleh.  Hendak dibeli lalu dibawa balik pun boleh.  Pokoknya, semua juadah yang tersusun bermeja-meja itu mesti dipastikan ada pembelinya.  Ia mesti ditukar dengan wang.

Nafsu makan dipupuk semula di tempat sebegini.

Begitu juga gerai-gerai.  Ramadhanlah bulan mereka boleh menggandakan keuntungan.  Istilah baru iaitu ‘Bazar Ramadhan’ yang wujud sekitar 15 tahun kebelakangan ini khas bagi memenuhi selera besar ummat manusia di Malaysia pada bulan Ramadhan.  Di sinilah mereka melunaskan hutang sabar dan lapar mereka.  Para penjual yang bijak pastinya akan mengambil kesempatan ini semahu-mahunya.

*Tuan/puan boleh membaca tulisan bertajuk ‘Bazar Ramadhan Jangan Jadi Bazir Ramadhan’ di sini:

https://muzir.wordpress.com/2011/08/04/bazar-ramadhan-jangan-jadi-bazir-ramadhan/

Kesempatan Buat Pasaraya-Pasaraya

Jika hotel-hotel, restoran-restoran dan gerai-gerai mengambil kesempatan atas nama ‘Ramadhan’ (contohnya ‘Bufet Ramadhan’, ‘Juadah Ramadhan’, ‘Bazar Ramadhan’) sebagai peluang mereka menggandakan keuntungan; pasaraya-pasaraya bagaimana pula?

Pasaraya-pasaraya tidak menggunakan nama ‘Ramadhan’ sebagai daya penarik pelanggan mereka.  Mereka menggunakan nama ‘Raya’, ‘Aidilfitri’, ‘Hari Lebaran’ sebagai daya pemikat dan pujukan.  Ya, bulan Ramadhanlah masanya untuk mereka mengaut duit dalam poket, dompet dan akaun bank kita.  Dengan diskaun-diskaun yang menggiurkan, tak ramai yang dapat menahan diri dari terpesona lalu menyerahkan diri dan wang kepada pasaraya-pasaraya ini.

*Tuan/puan boleh membaca tulisan bertajuk ‘Helah Jualan Murah Raya’ di sini:

https://muzir.wordpress.com/2011/08/07/helah-jualan-murah-raya/

Kesempatan Buat Kita

Tuan/puan yang dikasihi ALLAH,

Sebagaimana hotel-hotel, restoran-restoran, gerai-gerai dan pasaraya-pasaraya mengambil kesempatan ke atas Ramadhan yang berlaku setahun sekali, begitu jugalah dengan kita.  Bezanya ialah cara mereka mengambil kesempatan dan cara kita mengambil kesempatan lain.  Sebagai entiti perniagaan, sesuai sangatlah dengan fungsi mereka untuk mencari peluang dan ruang yang ada untuk menambahkan keuntungan perniagaan sepanjang Ramadhan.

Hambakanlah dirimu kepada ALLAH…

Kita yang muslim ini, yang mukmin ini, yang mengejar taqwa ini, yang hamba ALLAH ini, mestilah terlebih-lebih bersedia dan bergembira untuk mengaut keuntungan yang bakal tersedia sepanjang Ramadhan yang penuh keberkatan tersebut.  Pelbagai strategi mesti kita susun, perancangan mesti dibuat dan azam mesti ditanam untuk mencapai keuntungan yang berlipat kali ganda pada bulan Ramadhan dalam bentuk keredhaan dan pahala dari ALLAH Ta`ala.

Mari kita didik diri kita semua agar dalam bulan yang mulia, bulan Ramadhan ini, kita perbanyakkan amalan-amalan ibadah seperti solat, tadabbur al-Quran, dzikrullah, solawat ke atas Nabi, belajar ilmu agama, menjaga lidah, mata dan lain-lain pancaindera serta mengeratkan ukhuwwah Islamiyyah sesama muslim.  Tinggalkan perkara-perkara yang tidak menguntungkan.

Jika kita tidak mengambil kesempatan atas peluang yang ALLAH sediakan sepanjang Ramadhan untuk menaikkan darjat kita di sisiNYA, malah diambil kesempatan pula oleh hotel-hotel, restoran-restoran, gerai-gerai dan pasaraya-pasaraya ke atas diri kita, maka kerugian sahajalah yang kita perolehi pada bulan Ramadhan.

*Tuan/puan boleh membaca tulisan bertajuk ‘Keutamaaan Ibadah Puasa Bulan Ramadhan’ sebagai motivasi awal untuk menaikkan semangat untuk mengambil kesempatan ke atas Ramadhan, insyaALLAH.  Pautannya di sini:

https://muzir.wordpress.com/2010/08/03/keutamaan-ibadah-puasa-bulan-ramadhan/

*Lain-lain artikel berkaitan puasa Ramadhan dalam bentuk artikel, soal-jawab, video, poster dan sebagainya boleh didapati di pautan berikut, insyaALLAH:

https://muzir.wordpress.com/2010/08/03/keutamaan-ibadah-puasa-bulan-ramadhan/

Semoga ALLAH Ta`ala mengurniakan hidayah dan taufiqNYA buat kita semua untuk sama-sama beribadah dalam bulan yang penuh keberkatan dan maghfirah ini.  Dan semoga ALLAH menerima semua amalan-amalan kita di sisiNYA Yang Maha Mulia, amin…

“La hawla wa la quwwata illa bi ALLAH…”

muzir.wordpress.com
13 Julai 2012

Leave a comment