Tukar Umur Dengan Amal Soleh

“Abah, dulu Abah banyak duit ke?”  Tanya Faisal dari belakang boncengan motor.

“Kenapa Faisal tanya macam tu?”  Saya pelik dengan pertanyaannya itu.

“Yelah, Abah sekarang ni asyik takde duit aje.  Sebab Abah dah beli macam-macam ye?”  Faisal menjelaskan sebab dia bertanya lalu bertanya semula.

“Ooo… yelah Abah ada duit tapi takdelah banyak.  Tapi dah beli macam-macam kuranglah duit.  Beli baju Faisal, mainan Faisal, makanan, motorsikal, kereta dan macam-macam.  Semuanya pakai duit.”  Jelas saya bersahaja tanpa menoleh kepadanya sebab masih di atas motorsikal.

“Ooo… hehehe.  Baru Faisal faham.  Kesian Abah.”  Dia cuba mengambil hati saya.

Saya terfikir sejenak di atas motorsikal dalam baki perjalanan ke rumah.

Telah banyak benda saya beli.  Sejak kecil sampai remaja.  Sejak remaja sampai dewasa.  Sejak dewasa hingga berumahtangga dan hingga beranak pinak kini.  Ada sebahagian benda yang dibeli itu masih kekal elok, ada yang sudah buruk.  Banyak juga yang sudah lupus dan hilang.  Benda-benda itu semua ditukar dengan wang.

Jika wang ditukar dengan barang.  Jika duit ditukar dengan pengalaman manis dan pahit.  Bagaimana pula dengan umur yang telah ALLAH berikan kepada saya?

Peruntukan umur yang diberikan ALLAH Ta`ala kepada saya semakin kurang nilainya dengan kadaran masa.  Persoalannya berapa banyak sudah saya tukarkan umur itu dengan amal yang soleh?

Sebagaimana wang dan duit, ia bertukar dengan barang yang buruk dan baik.  Begitu jugalah dengan umur, ia boleh juga bertukar dengan amalan buruk dan baik.  Perlu berhati-hati tatkala membelanjakan umur…!

Jika tadi saya ditanya Faisal tentang duit, tentunya di akhirat nanti saya ditanya tentang umur pula:

“Muzir, dulu kamu telah diberikan umur yang banyak.

Apa yang telah engkau beli dengan umur itu?  

Kamu beli pahala atau dosa?!”

Sekadar mengingatkan diri sendiri,

muzir.wordpress.com


Leave a comment