Cara Nabi Muhammad Membaca Al-Quran

Bacalah Al-Quran dan fahamilah ia...

Bacalah Al-Quran dan fahamilah ia…

Di dalam tulisan sebelum ini bertajuk Kelebihan Membaca dan Menghayati Al-Quran telah disenaraikan beberapa hadith Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai anjuran, galakan dan kelebihan berkaitan Al-Quran.  Semoga dengannya kita semakin bersemangat untuk mendampingkan diri kita dengan Al-Quran, in shaa’ ALLAH.

Berikut pula diterangkan cara Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran.  Tujuannya adalah supaya kita dapat mengetahui, lalu cuba meniru dan mengikuti cara terbaik tersebut.  Hadith-hadith di bawah telah disalin dari kitab asy-Syama’il al Muhammadiyyah karya al-Imam at-Tirmidzi dan kitab Riyadhus Solihin karya al-Imam an-Nawawi – rahimahumallah.

1)  Membaca dengan jelas, huruf demi huruf.

عَنْ يَعَلَى بْنِ مَمْلَكٍ، أَنَّهُ سَأَلَ أُمَّ سَلَمَةَ، عَنْ قِرَاءَةِ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم، فَإِذَا هِيَ تَنْعَتُ قِرَاءَةً مُفَسَّرَةً حَرْفًا حَرْفًا

Daripada Ya`la bin Mamlak radhiAllahu `anhu, bahawasanya beliau bertanya kepada Ummu Salamah radhiAllahu `anha mengenai cara bacaan (al-Qur’an) Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  Lalu Ummu Salamah menjelaskan bahawa bacaan Baginda jelas, huruf demi huruf.

(HR Abu Daud, at-Tirmidzi dan Nasa’i)

2)  Memanjangkan bacaan sesuai dengan hukum tajwid.

عَنْ قَتَادَةَ، قَالَ‏:‏ قُلْتُ لأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ‏:‏ كَيْفَ كَانَتْ قِرَاءَةُ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم‏؟‏ فَقَالَ‏:‏ مَدًّا

Daripada Qatadah radhiAllahu `​anhu, beliau berkata:  Aku bertanya Anas bin Malik radhiAllahu `anhu:  “Bagaimanakah cara bacaan (al-Qur’an) Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam?”  Lalu Anas menjawab:  “Baginda memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).”

(HR al-Bukhari, Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

3)  Memotong bacaan pada setiap ayat.

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، قَالَتْ‏:‏ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم، يَقْطَعُ قِرَاءَتَهُ، يَقُولُ‏:‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ثُمَّ يَقِفُ، ثُمَّ يَقُولُ‏:‏ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ثُمَّ يَقِفُ، وَكَانَ يَقْرَأُ مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ

Daripada Ummu Salamah radhiAllahu anha, beliau berkata:  “Adalah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam memotong bacaan Baginda (pada setiap ayat).  Baginda membaca ‘  الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ  ‘ kemudian berhenti.  Kemudian Baginda membaca ‘  الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ  ‘ kemudian berhenti.  Setelah itu Baginda membaca ‘  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ  ‘.”

(HR Abu Daud, at-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)

4)  Kadang-kala dengan suara yang perlahan, kadang-kala dengan suara yang kuat.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ أَبِي قَيْسٍ، قَالَ‏:‏ سَأَلْتُ عَائِشَةَ، عَنْ قِرَاءَةِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَكَانَ يُسِرُّ بِالْقِرَاءَةِ أَمْ يَجْهَرُ‏؟‏ قَالَتْ‏:‏ كُلُّ ذَلِكَ قَدْ كَانَ يَفْعَلُ قَدْ كَانَ رُبَّمَا أَسَرَّ وَرُبَّمَا جَهَرَ فَقُلْتُ‏:‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ، الَّذِي جَعَلَ فِي الأَمْرِ سَعَةً‏

Daripada `Abdullah bin Qais radhiAllahu `anhu, beliau berkata:  Aku telah bertanya `A’ishah radhiAllahu `anha mengenai bacaan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam:  “Adakah Baginda membaca secara perlahan atau pun kuat?”  Beliau menjawab:  “Semua itu Baginda pernah lakukan.  Kadang-kala Baginda membaca dengan perlahan.  Dan kadang-kala Baginda membaca dengan kuat.”  Lalu aku membalas:  “Segala pujian bagi ALLAH yang menjadikan perkara ini mudah.”

(HR Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

Dalam hadith yang lain ada menceritakan salah satu keadaan Nabi membaca al-Quran dalam solat malam:

عَنْ أُمِّ هَانِئٍ، قَالَتْ‏:‏ كُنْتُ أَسْمَعُ قِرَاءَةَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، بِاللَّيْلِ وَأَنَا عَلَى عَرِيشِي

Daripada Ummu Hani radhiAllahu `anha, beliau berkata:  “Aku dengar suara bacaan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pada waktu malam sedangkan aku ketika itu di atas katilku.”  (Ketika itu, Nabi melakukan solat malam berdekatan Ka`bah.  Ia terjadi ketika di Makkah sebelum peristiwa hijrah.)

(HR at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Nasa’i)

Lagi hadith:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ‏:‏ كَانَتْ قِرَاءَةُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، رُبَّمَا يَسْمَعُهَا مَنْ فِي الْحُجْرَةِ وَهُوَ فِي الْبَيْتِ

Daripada Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma, beliau berkata:  “Bacaan Nabi sallAllahu alaihi wa sallam kadang-kadang dapat didengari oleh sesiapa yang berada di kawasan rumahnya, sedangkan Baginda di dalam rumah.”

(HR Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Ini menunjukkan bacaan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam tidak terlalu kuat.  Namun, suaranya kadang-kadang dapat didengari oleh orang yang duduk berdekatan.

5)  Mengelokkan suara bacaan.

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ، قَالَ‏:‏ سَمِعْتُ عَبْدَ اللهِ بْنَ مُغَفَّلٍ، يَقُولُ‏:‏ رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، عَلَى نَاقَتِهِ يَوْمَ الْفَتْحِ، وَهُوَ يَقْرَأُ‏:‏ إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ، قَالَ‏:‏ فَقَرَأَ وَرَجَّعَ، قَالَ‏:‏ وَقَالَ مُعَاوِيَةُ بْنُ قُرَّةَ‏:‏ لَوْلا أَنْ يَجْتَمِعَ النَّاسُ عَلَيَّ لأَخَذْتُ لَكُمْ فِي ذَلِكَ الصَّوْتِ أَوْ قَالَ‏:‏ اللَّحْنِ‏

Daripada Muawiyah bin Qurrah, beliau berkata:  Aku telah mendengar `Abdullah bin Mughaffal radhiAllahu `anhu berkata:  “Aku melihat Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam duduk di atas tunggangannya pada Hari Pembebasan Makkah dan ketika itu Baginda membaca: إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا.  لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ (Yang bermaksud:  “Sesungguhnya KAMI telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.  Kemenangan yang dengan sebabnya ALLAH mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian…”)”.  `Abdullah bin Mughaffal berkata:  “Baginda membacanya dan melakukan rajja`a“.

Mu`awiyyah bin Qurrah (yang merekodkan hadith ini) berkata:  “Seandainya aku tidak risau orang akan berkumpul di sekelilingku, pasti akan kubaca untuk kalian dengan suara sebegitu.” Atau katanya “al-lahn.”

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ahmad.)

Rajja`a:  Para ulama berbeza pandangan mengenainya.  Ada mengatakan ia merujuk kepada keluar masuk suara dari peti suara.  Ada mengatakan ia bermaksud mengelokkan suara.  Ada yang mengatakan ia terjadi secara spontan kerana kegembiraan.  Ada juga mengatakan suara sebegitu terjadi secara spontan kerana ketika itu Nabi membaca dalam keadaan sedang menunggang unta (pergerakan unta menyebabkan suara Nabi jadi begitu).  Dan ada juga yang mengatakan mengulang-ulang perkataan dalam keadaan tone suara yang rendah.  Allahu a`lam.  (Syamail Muhammadiyah terbitan Dar al-Arqam)

Al-Lahn:   Memperelokkan bacaan al-Quran dari segi suara dan tajwid.  Allahu a`lam.  (Syamail Muhammadiyah terbitan Kemilau Publika)

Dalam hadith berikut, diceritakan betapa eloknya suara dan bacaan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam:

عَنِ الْبَرَاءِ، قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ فِي الْعِشَاءِ ‏{‏وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ‏}‏ فَمَا سَمِعْتُ أَحَدًا أَحْسَنَ صَوْتًا أَوْ قِرَاءَةً مِنْهُ‏

Daripada al-Bara’ radhiAllahu `anhu, beliau berkata:  “Aku mendengar Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam membaca وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ dalam solat `Isya’.  Tidak pernah aku mendengar seorang pun yang suaranya atau bacaannya lebih baik daripada Baginda.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

6)  Kadang-kala Nabi mendengar orang lain membaca Al-Quran.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ، قَالَ قَالَ لِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ اقْرَأْ عَلَىَّ ‏”‏‏.‏ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ آقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ قَالَ ‏”‏ نَعَمْ ‏”‏‏.‏ فَقَرَأْتُ سُورَةَ النِّسَاءِ حَتَّى أَتَيْتُ إِلَى هَذِهِ الآيَةِ ‏{‏فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا‏}‏ قَالَ ‏”‏ حَسْبُكَ الآنَ ‏”‏‏.‏ فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ

Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu berkata:  Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berkata kepadaku:  “Bacakanlah Al-Quran untukku.”  Aku berkata:  “Wahai Rasulullah, saya membacakan Al-Quran untuk tuan?  Padahal kepada tuan lah Al-Quran diturunkan.”  Baginda bersabda:  “Ya.”  Lalu aku pun membaca surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat ini:  فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا  (Yang bermaksud:  “Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada Hari Akhirat kelak), apabila KAMI datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan KAMI juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?”).  Baginda bersabda:  “Cukuplah setakat itu dahulu.”  Aku menoleh kepada Baginda, ketika itu air matanya bercucuran.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

*Ayat tersebut adalah ayat ke-41, surah an-Nisa’.  Boleh rujuk sini:  https://muzir.wordpress.com/2018/10/27/al-quran-muka-surat-85-604/

Semoga bermanfaat.  Mudah-mudahan hidayah dan taufiq ALLAH tercurah ke atas kita semua, amin…

muzir.wordpress.com


3 responses to “Cara Nabi Muhammad Membaca Al-Quran

Leave a comment