Skrip Jawapan Oleh Pelaku Syirik & Bid`ah

ALLAH Jalla wa A`la mengarahkan sekalian manusia supaya membulatkan penyembahan hanya kepada ALLAH dan jangan memuja, memohon dan menyembah selain ALLAH.  Ini adalah suatu mesej yang sangat penting untuk dijadikan panduan dan penghayatan kita.

Namun, ada sesetengah manusia telah menjadikan selain ALLAH tempat mereka mengadu, memohon dan memuja.  Mereka beralasan bahawa mereka melakukan hal tersebut bukanlah untuk menyembah selain ALLAH, tetapi sebagai perantara untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan menjadi pemberi-pemberi syafa`at.

Perhatikanlah ayat-ayat berikut yang dipetik dari al-Qur’an bahawa ALLAH berfirman:

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ ۚ
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ

مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ

“Sungguh!  Ingatlah!  Agama ini (penyembahan dan pengabdian) hanyalah untuk ALLAH!  

Dan orang-orang yang mengambil auliya’ (pelindung dan pemberi pertolongan) selain ALLAH (sambil mereka berkata):

Tidak kami sembah mereka melainkan supaya mereka dapat mendekatkan diri kami kepada ALLAH sehampir-hampirnya.

(Surah az-Zumar, 39:3)

Dan firman ALLAH:

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ

هَٰؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللَّهِ

“Dan mereka menyembah selain ALLAH, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata:

Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi ALLAH.” 

(Surah Yunus, 10:18)

Itulah antara jawapan-jawapan mereka.

Jawapan-jawapan tersebut adalah jawapan-jawapan yang tidak ALLAH redhai.  Ia tidak dapat dijadikan alasan bagi memperbolehkan perbuatan mensyirikkan ALLAH dan melakukan bid`ah.  ALLAH menyuruh seluruh manusia agar hanya menyembah, memohon dan mengabdikan diri kepadaNYA sahaja!  Jelas dan tegas!  Tiada alasan!

Tentu banyak sekali pengajaran kenapa ALLAH meletakkan jawapan-jawapan manusia salah ini di dalam al-Quran.

Antaranya mungkin supaya kita jangan tergolong ke dalam golongan manusia yang jenis ini.  Dan juga untuk memberitahu mengenai sifat manusia yang sejak dahulu memang ada yang memberikan alasan atas perbuatan salah mereka kononnya mereka buat itu semua atas alasan mahu dekatkan diri kepada ALLAH.  Sifat begini akan ada pada manusia setiap zaman.  Ya, memang ada!

Dan mungkin juga untuk mengkhabarkan kepada kita bahawa ia memang suatu skrip jawapan yang diberikan oleh para pelaku syirik dan bid`ah bagi menghadapi teguran para mukhlisin terhadap mereka. Seolah-olah jawapan mereka sudah menjadi skrip yang akan diucapkan sepanjang zaman.

  • “Kami bukannya sembah kubur!  Kami hanya memohon supaya ruh para wali dapat sampaikan hajat kami kepada ALLAH!”
  • “Kami bukannya puja dan sembah para wali!  Kami hanya menjadikan mereka sebagai perantara sahaja.  Kami tetap minta dengan ALLAH sebenarnya!”
  • “Kami bukan memohon kepada Nabi dan para wali yang telah mati!  Kami hanya memohon syafaat daripada mereka!”
  • “Kami bukan sembah pun kepada Nabi atau para wali!  Kami melakukan perbuatan-perbuatan ini semua supaya mereka (Nabi dan para wali) dapat mendekatkan kami kepada ALLAH!  Itu sahaja hasrat kami!  Salahkah?!!”

Itulah antara skrip yang berulang-ulang diucap oleh pelaku syirik dan bid`ah apabila mereka ditegur.

Hampir sama dengan skrip yang dipetik dari al-Quran di atas bukan?

Semoga kita tidak termakan dan terhasut dengan jawapan-jawapan sebegini lalu redha dengan perbuatan syirik dan bid`ah mereka.  Sesungguhnya jawapan yang diberikan oleh para pelaku syirik dan bid`ah tidak dapat diterima sebagai suatu jawapan yang kukuh dan sah.

Yang salah tetap salah.  Mana-mana perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam dari segi ibadah dan tidak dicontohkan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak boleh kita terima dan redha ia sebagai amalan agama, walau kelihatan pada zahirnya ia baik diamalkan, apa salahnya diamalkan dan lain-lain seumpamanya.

Tekadkan dalam qalbu kita bahawa hanya kepada ALLAH lah kita memohon, menyembah, beribadah dan mengabdikan diri; zahir dan batin.

Semoga ALLAH menunjukkan kita semua akan jalan yang diredhaiNYA dan moga dibimbing kita semua dengan hidayah dan taufiqNYA, amin…

muzir.wordpress.com


Leave a comment