Al-Quran Muka Surat 8/604

[Muka surat 8/604]
[Surah al-Baqarah]
[Surah nombor 2, ayat 49-57]

وَإِذْ نَجَّيْنَاكُم مِّنْ ءَالِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوٓءَ الْعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبْنَآءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَآءَكُمْ ۚ  وَفِي ذَٰلِكُم بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ

Dan (kenangkanlah) ketika KAMI selamatkan kamu dari Fir`aun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari TUHAN kamu. {2:49}

وَإِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ الْبَحْرَ فَأَنجَيْنَاكُمْ وَأَغْرَقْنَآ ءَالَ فِرْعَوْنَ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

Dan (kenangkanlah) ketika KAMI belahkan laut (Laut Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Fir`aun), maka KAMI selamatkan kamu dan KAMI tenggelamkan Fir`aun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya. {2:50}

وَإِذْ وَاعَدْنَا مُوسَىٰٓ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً ثُمَّ اتَّخَذْتُمُ الْعِجْلَ مِن بَعْدِهِ وَأَنتُمْ ظَالِمُونَ

Dan (kenangkanlah) ketika KAMI berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri). {2:51}

ثُمَّ عَفَوْنَا عَنكُم مِّن بَعْدِ ذَٰلِكَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Kemudian sesudah itu KAMI maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur. {2:52}

وَإِذْ ءَاتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَالْفُرْقَانَ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan (kenangkanlah) ketika KAMI turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk. {2:53}

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنفُسَكُم بِاتِّخَاذِكُمُ الْعِجْلَ فَتُوبُوٓا إِلَىٰ بَارِئِكُمْ فَاقْتُلُوٓا أَنفُسَكُمْ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ عِندَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ ۚ  إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya:  “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada ALLAH yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi ALLAH yang menjadikan kamu, supaya ALLAH menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya DIA lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”. {2:54}

وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَىٰ لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat ALLAH dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya. {2:55}

ثُمَّ بَعَثْنَاكُم مِّن بَعْدِ مَوْتِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Kemudian KAMI bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur. {2:56}

وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ وَأَنزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ ۖ  كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ ۖ  وَمَا ظَلَمُونَا وَلَٰكِن كَانُوٓا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Dan KAMI telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan KAMI turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta KAMI berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang KAMI telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya KAMI (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka menganiaya diri mereka sendiri. {2:57}

Nota:

Di dalam muka surat ini, ALLAH melanjutkan lagi peringatan tentang kurniaan dan nikmat yang telah DIA berikan kepada Bani Israil, iaitu:

1)  Selamat dari kekejaman Fir`aun yang dahulunya menyeksa mereka dan membunuh anak-anak mereka.

2)  Membantu Bani Israil dengan peristiwa luar biasa iaitu dapat menyeberangi Laut Merah yang luas lalu menenggelamkan Fir`aun dan tentera-tenteranya.

3)  Penerimaan taubat Bani Israil yang sebelum itu telah menjadikan anak lembu sebagai tuhan semasa peninggalan Nabi Musa `alaihis salam selama 10 malam.

4)  Dianugerahkan kepada mereka kitab Taurat melalui Nabi Musa yang dengannya dapat membezakan perkara baik dan sesat, agar mereka mendapat petunjuk.

5)  Hukuman bunuh kepada para durjana yang telah menyembah anak lembu semasa ketiadaan Nabi Musa `alaihis salam.  Hukuman ini adalah suatu pembersihan dari pengikut Nabi Musa yang menyeleweng dan ia merupakan syariat Nabi Musa pada zaman tersebut.  Dengan perlaksanaan hukuman tersebut, ALLAH mengampunkan dan menerima taubat mereka.

6)  ALLAH telah menghidupkan kembali Bani Israil setelah mereka disambar petir akibat permintaan mereka yang hanya mahu beriman jika dapat melihat ALLAH.

7)  ALLAH telah naungi Bani Israil dengan awan agar mereka tidak kena terik panas matahari sepanjang 40 tahun mereka bingung dan sesat selepas menyeberangi Laut Merah.

8)  ALLAH memberi makan dan minum kepada Bani Israil dengan al-Manna (sejenis cairan seperti madu) dan al-Salwa (seperti burung puyuh).

Kembali ke senarai muka surat


Leave a comment