Al-Quran & Kita

Bacalah Al-Quran dan fahamilah ia…

Alhamdulillah, pagi tadi saya telah menyampaikan tadzkirah di salah sebuah sekolah menengah agama di Klang bagi memberi manfaat buat diri saya sendiri dan warga sekolah tersebut berkenaan tujuan utama al-Quran diturunkan kepada ummat manusia.  Satu jam yang diperuntukkan telah dimanfaatkan bagi membuka minda warga sekolah tersebut tentang apakah yang lebih utama untuk ditumpukan dalam hal Al-Quran.  Tadzkirah ini telah diadakan sempena Nuzul-Quran.

Nuzul-Quran bukan untuk dirai peristiwanya.  Tetapi, yang paling penting adalah agar dapat mengembalikan rakyat Malaysia yang diberi cuti sempenanya (sebahagian negeri) kesedaran tentang kepentingan manusia kembali kepada maksud sebenar al-Quran diturunkan.

Tujuan utama tadzkirah pagi tadi adalah untuk mengajak pendengar agar BERTADABBUR dengan al-Quran.  Tadabbur bermaksud merenung setiap ayat yang dibaca dan cuba menghayatinya.  Selepas baca, teliti maknanya, fahami mesejnya dan cuba untuk melaksanakan suruhan yang terdapat di dalamnya serta meninggalkan tegahanNYA.

Ramai di kalangan kita hanya membaca dan membaca.  Bertahun-tahun lamanya sudah kita membaca Al-Quran, tetapi sayang sekali kerana tidak TADABBUR.  Apatah lagi sebilangan besar masyarakat kita tidak langsung faham Bahasa Arab, maka kepentingan untuk melihat makna dan merenung maksud ayat yang dibacakan menjadi sangat penting.  Sedangkan salafussoleh yang berbahasa Arab dan faham betul-betul agama pun mereka tadabbur tatkala mereka membaca al-Quran, apatah lagi kita.  Sebab itu nilai kebaikan Al-Quran betul-betul dijiwai oleh salafussoleh dan generasi selepasnya.

Air mata menjadi murah jika kita membaca al-Quran dengan memahami maknanya.  Air mata yang mengalir beserta keinsafan akan bisa merubah hati manusia untuk berubah dan kembali kepada seruanNYA.  Malah, berbagai-bagai perasaan akan menyinggahi diri sesuai dengan mesej di dalam al-Quran.  Bukan sahaja suruhan dan larangan terdapat di dalam al-Quran, malah kisah, perumpamaan, pengajaran, khabar syurga/neraka, perincian hari kiamat, bukti saintifik dan lain-lain lagi banyak terkandung di dalam Al-Quran.  Jika kita tidak lihat makna dan merenung maksud al-Quran, bagaimana kita mahu menghayatinya???

Ayuh saudara2ku sekalian, mari kita mulakan hari ini!

  • TADABBUR (merenung maksud) al-Quran.
  • Belajar Bahasa Arab.
  • Baca satu per satu ayat al-Quran dan perhatikan maknanya, bagi yang tidak faham Bahasa Arab.
  • Selalu tanyakan pada diri sudahkah kita melaksanakan tuntutan ALLAH seperti yang tertera di dalam al-Quran.
  • Laksanakan perintah ALLAH, jauhi larangan ALLAH.

*Download pdf slide :  AL-QURAN & KITA

Shahmuzir Nordzahir

11 September 2009

www.muzir.wordpress.com


2 responses to “Al-Quran & Kita

Leave a comment