Doa Dari Al-Quran Untuk Kebaikan Zuriat & Keluarga

Ibubapa yang soleh boleh memberikan contoh yang baik kepada anak2

Setiap kita ingin memiliki anak, zuriat atau keturunan yang bisa membuatkan hati rasa gembira dan bahagia.  Dan sudah tentulah ukurannya pasti kita lihat dari sudut agama kerana ukuran agama lebih abadi sifat dan kesannya.

Apakah yang harus diperbuat untuk membentuk anak-anak supaya menjadi soleh?

Ada banyak cara.  Yang pertama dan yang paling utama ialah ibubapa mesti mendidik anak-anak dengan akhlaq yang soleh dan harus memberikan contoh yang baik.  Kerana anak-anak banyak mencontohi tauladan dan perbuatan dari ibubapa mereka.  Mata dan segala pancaindera anak sentiasa meniru perbuatan ibubapa.  Dari yang kecil-kecil hingga yang besar-besar semuanya dirakam oleh anak-anak akan perbuatan ibubapa mereka.  Justeru, ibubapa mesti menjaga akhlaq sebelum mengharapkan anak menjaga akhlaq mereka.

Yang kedua ialah jangan lekang dengan do`a kerana selepas usaha dan ikhtiar, mesti kita serahkan urusan kita kepada ALLAH `Azza wa Jalla.  Kita tidak mampu membentuk dan mengawal 100% anak-anak kita.  Pasti unsur luar akan sedikit sebanyak mempengaruhi anak-anak kita walaupun kita telah berusaha menanam nilai yang kita mahu ke dalam diri anak-anak kita.  Jadi, di sinilah kekuatan do`a mesti digunakan.  Kepada ALLAH lah kita serahkan mereka.  Hidayah dan taufiq untuk anak-anak adalah haq ALLAH.

Ada banyak doa yang boleh kita panjatkan.  Dan kita boleh berdoa dengan gaya bahasa dan perkataan sendiri.  Namun, di dalam Al-Quran terdapat beberapa rakaman do`a-do`a yang sesuai dan khas untuk kebaikan zuriat dan keluarga.  Maka, sebaik-baiknya yang itulah kita baca dan cuba amalkan,  Kerana do`a-do`a tersebut menjadi contoh buat kita semua dalam hal berdo`a.

Antara yang sangat baik diamalkan ialah:

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا

 أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ

Maksudnya: Wahai TUHAN kami, jadikanlah kami orang yang tunduk patuh kepadaMU dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMU.”   (Al-Baqarah : 128)

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ

 سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Maksudnya:  “Wahai TUHAN ku, berilah aku dari sisiMU akan seorang anak yang baik. Sesungguhnya ENGKAU Maha Mendengar doa”.  (Ali-Imran : 38)

 رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ

 أَنْ نَعْبُدَ الأصْنَامَِ

Maksudnya:  “Wahai TUHAN ku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.”  (Ibrahim : 35)

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

 رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Bermaksud:  “Wahai TUHAN ku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat.  Wahai TUHAN kami, perkenankanlah doa.”  (Ibrahim : 40)

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ

 يَقُومُ الْحِسَابُ

Bermaksud:  “Wahai TUHAN kami, ampunilah aku dan kedua ibubapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat).”  (Ibrahim : 41)

 رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ

 أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Bermaksud:  “Wahai TUHAN kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.”  (Al-Furqan : 74)

 رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي

 أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ

صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي

 إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Bermaksud:  “Wahai TUHAN ku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmatMU yang telah ENGKAU berikan kepadaku dan kepada ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang ENGKAU redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMU dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”  (Al-Ahqaf : 15)

Mudah-mudahan kita dapat beramal dengannya dan dikurniakan kita semua dengan zuriat yang soleh dan solehah, amin.

wAllahu Ta’ala A’lam.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
12 September 2009

==========================

Lain-lain artikel kekeluargaan: https://muzir.wordpress.com/category/kekeluargaan/


Leave a comment