Saya suka melihat bulan penuh. Di dalam kepekatan gelap malam, tiba-tiba di tengah-tengahnya terpancar cahaya putih yang cantik dipantulkan oleh bulan yang bulat. Maha Suci ALLAH yang menciptanya, ia sangat cantik. Apabila saya terlihat bulan penuh, biasanya saya akan memanggil anak-anak saya, untuk berkongsi perasaan saya dengan mereka, sambil mengajak mereka sama-sama bertasbih, bertahmid dan bertakbir.
Orang-orang dulu selalu mengaitkan bulan mengambang penuh dengan kecantikan. Tidak hairanlah mengapa ada bait-bait lagu yang memuji kecantikan kekasih mereka dengan mengaitkannnya dengan bulan. Malah ada di dalam hadith, tatkala Jabir Samurah menatap wajah Rasulullah sallAllhu `alaihi wasallam di malam terang bulan, ia berkata:
“Aku memandang wajah Nabi, lalu melihat ke arah bulan, maka bagiku beliau jauh lebih indah dari bulan yang sedang memancarkan cahaya itu.” (HR At-Turmidzi)
Melihatkan bulan penuh sahaja sudah menarik perhatian saya akan kecantikannya, apatah lagi apabila seseorang yang lebih cantik dan lebih senang dilihat berbanding bulan penuh itu, tentulah dia merupakan seseorang yang mempunyai raut wajah yang sangat menarik, sangat cantik atau sangat tampan. Dialah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Ah, betapa indahnya wajah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, tidak dapat saya bayangkan…
Fenomena Bulan Hampir Dengan Bumi
Di sebuah laman web, dikhabarkan bahawa akan terjadi satu fenomena yang jarang-jarang berlaku, iaitu bulan akan lebih hampir dengan bumi daripada biasa. InsyaALLAH, ini akan membuatkan bulan kelihatan lebih besar dari saiz biasa.
Ia akan berlaku pada 19 MAC 2011 bersamaan 15 Rabi`ul Akhir 1432H, iaitu Sabtu, malam Ahad.
InsyaALLAH, saya tidak akan lepaskan peluang untuk melihatnya. Yang lebih penting ialah melihatnya dengan disertakan rasa syukur dan kasih kepada Yang Menciptanya. Tasbih, tahmid, tahlil dan takbir patut diulang-ulang tatkala melihat keindahannya. Sungguh, semua yang diciptakannya tidak pernah sia-sia…
“RABBAna ma khalaqTA hadza batila, subhanaKA, faqina `adzab an-nar”
“Wahai TUHAN kami, tidak ENGKAU jadikan ini semua dengan sia-sia, Maha Suci ENGKAU, maka jauhkanlah kami dari azab api neraka”
Berikut pula adalah keratan akhbar yang menceritakan secara ringkas tentang fenomena ini. Walaupun mesej akhbar ini ialah mesej kerisauan dan amaran, tetapi saya mempunyai perasaan yang berbeza, iaitu ‘excited’. Excited hendak melihat keagungan ciptaan Tuhan Yang Maha Mencipta, Maha Indah. Namun, perlu juga berhati-hati terutama buat nelayan kerana bulan selalu dikaitkan dengan pasang-surut air laut di pantai. Apabila bulan berada hampir dengan bumi, sudah tentulah ia sedikit sebanyak memberikan kesan yang di luar kebiasaan.
Semoga setiap apa yang berlaku di sekeliling kita bisa menambahkan keimanan kita semua. Mendatangkan rasa kehambaan ke dalam diri kita, betapa kerdilnya kita, betapa dhaifnya kita. DIAlah Segala-galanya. DIAlah Segala-segalanya!!!
March 20th, 2011 at 12:56 AM
Salaam.. Tumpang tanya, artikel ni diambil dari http://khadijahismail.blogspot.com/2011/03/fenomena-bulan-kelihatan-besar-19-mac.html ke? Kalau ya, alangkah baiknya jika anda boleh kredit sumber yang anda ambil tu..
LikeLike
March 20th, 2011 at 2:40 AM
Terima kasih buat Amira yang sudi berkunjung dan memberi komen.
Ia adalah hasil tulisan saya sebenarnya. Mungkin saudari Amira boleh cuba bertanya pula dengan pemilik blog yang saudari berikan di atas.
Cuba baca di sini untuk penjelasannya:
https://muzir.wordpress.com/2011/03/20/amanah-tatkala-menyebar-hasil-tulisan-orang-lain/
LikeLike
March 20th, 2011 at 2:42 AM
[…] ini, 20 MAC 2011, artikel saya yang bertajuk Fenomena Bulan Kelihatan Besar, 19 MAC 2011 disinggahi satu komen dari saudari Amira seperti […]
LikeLike
March 20th, 2011 at 3:04 AM
Amira, cuba awak bandingkan artikel ini di blog tersebut:
http://khadijahismail.blogspot.com/2010/09/keutamaan-lailatul-qadar.html
Dengan artikel ini hasil tulisan saya:
Saya ada tulis di mana saya salin maklumat dan ilmu itu.
Jika awak baca tulisan saya di:
https://muzir.wordpress.com/2011/03/20/amanah-tatkala-menyebar-hasil-tulisan-orang-lain/
Sungguh saya tak kisah sebenarnya, sebab insyaALLAH ganjaran sudah tersedia buat kedua2 pihak iaitu yang memulakannya dan menyebarkannya. Tak perlu saya bising2 pasal kredit ni walau orang lain tak letak kredit kpd saya, sungguh saya tak kisah.
Tetapi, apabila timbul situasi macam ni, saya sungguh rasa berat hati dan terpaksa menulis sedikit ttgnya…
Moga2 ALLAH mengurniakan pahala yang banyak buat saya dan pemilik blog tersebut kerana menyebarkan ilmu2 ALLAH, amin… :)
LikeLike