“Tak Perlu Puasa Jika Tiada Orang!”

Suatu hari seorang murid datang bertemu dengan ustadznya lalu bertanya:

“Ustadz, boleh ke kalau saya taknak puasa?”

Si ustadz yang sedang membelek buku miliknya terus memandang murid berkenaan dengan wajah yang pelik bercampur terkejut.  Rasa macam nak marah pun ada.  Beliau lalu bertenang sambil menarik nafasnya.

“Kenapa kamu tanya soalan macam tu?”  Tanya si ustadz.

“Alaa… ustadz. Saja je tanya.  Mana tahu ustadz ada jawapannya.”  Balas murid itu sambil tersengih.

“Ooo…ada.  Ya ada!  Ada satu keadaan yang mana apabila kamu bertemu dengan keadaan ni, kamu tak perlu berpuasa.  Malah lain-lain ibadah juga tak perlu.”  Si ustadz memberikan jawapan kepada persoalan murid tersebut.

“Masa bila tu ustadz?”  Dia bertanya dalam keadaan teruja.

“Kamu tak perlu puasa jika tiada orang”  Ustadz memberikan jawapan sambil mengangguk-angguk kepalanya perlahan.

“Ye ke ustadz?  Habis tu saya kena cari tempat yang takde oranglah ye ustadz?”  si murid membulatkan matanya meminta kepastian.

“Ya.  Contohnya apabila kamu masuk ke dalam bilik yang di dalamnya tiada orang, maka kamu tak perlulah puasa.  Malah solat dan lain-lain ibadah pun tak perlu dilakukan.”  tambah si ustadz.

Keterujaan si murid itu jelas terpancar dari wajahnya, walaupun dia cuba untuk menyembunyikan perasaannya itu.  Terpacul kalimah “yes!!!” dari mulutnya antara dengar dan tidak.

Dua saat selepas itu, si ustadz lalu berkata sambil menyentuh bahu si murid itu:

“Dalam bilik yang kamu kata tiada orang tu, tentunya kamu satu-satunya yang ada di dalam bilik itu kan?”  Si ustadz menyambung.

“Ya ustadz.  Tinggal saya sahaja.  Bolehlah tak puasa ustadz kan?”  Murid itu menjawab dengan pasti lalu meminta kepastian tentang perkara yang menjadi minatnya sejak awal perbualan tadi.

“Nanti dulu.  Sebelum kamu mahu kata kamu tidak perlu berpuasa, kamu kena pastikan betul-betul tiada orang di dalam bilik itu.  Cuba kamu cerminkan wajah kamu dahulu.  Kalau imej dalam cermin tu menunjukkan bukan orang, senang cakap haiwanlah, maka kamu tak perlulah puasa.  Tapi jika imej yang kamu nampak itu adalah orang iaitu manusia, maka kamu mesti menunaikan puasa dan lain-lain ibadah.  Tak boleh tinggal!!!”  jelas si Ustadz dengan nada yang lemah lembut tetapi tegas.

Si murid mengerut dahi, berfikir.

“Agak-agak apa yang kamu nampak?  Orang atau haiwan?”  si ustadz terus menyambung dengan bertanya kepada murid tersebut dengan nada bergurau.

“Tentulah saya nampak orang, ustadz.  Takkanlah saya nampak haiwan…”  jawab si murid tersebut dengan nada perlahan sambil menundukkan wajahnya.  Beliau faham dengan mesej yang cuba disampaikan oleh ustadznya itu.

Tuan/puan sekalian,

Selagi kita bergelar manusia, maka selama itulah kita wajib tunduk dan patuh dengan kehendak pencipta kita, iaitu ALLAH.  Haiwan tidak ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) ke atasnya akan segala perintah dan larangan TUHAN.  Sebaliknya kitalah yang manusia ini mesti menjalankan semua perintah dan suruhan ALLAH `Azza wa Jalla.  Serta menjauhi segala laranganNYA.

ALLAH Ta`ala berfirman:

“Dan tidak AKU jadikan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepadaKU”  (Surah Adz-Dzariyaat, 51:56)

Fikir-fikirkan.  Allahu A`lam.

www.muzir.wordpress.com


4 responses to ““Tak Perlu Puasa Jika Tiada Orang!”

Leave a comment