‘Imaanan Wa Ihtisaaban’

Sudahkah kita berusaha menjalani ibadah dalam bulan Ramadhan dengan sebaik-baiknya?

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah menawarkan kita akan keampunan semua dosa-dosa yang lalu seandainya kita menjalani Ramadhan sesuai dengan kehendakNYA.  Tawaran besar-besaran ini sewajarnya direbut oleh sekalian orang yang beriman.

Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam telah menyebutkan hal tersebut di dalam hadithnya.  Bahawa untuk memperolehi tawaran tersebut, maka hendaklah ia dijalani secara ‘imaanan wa ihtisaaban’.  Iaitu menjalaninya dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala serta keredhaan ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.

1)  ‘Imaanan wa ihtisaaban’ pada mengerjakan ibadah puasa di siang Ramadhan.

 عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.  متفق عليه

Maksudnya:

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala serta keredhaan daripada ALLAH, maka diampunilah dosanya yang telah lampau”

(Muttafaqun `alaih)

2)  ‘Imaanan wa ihtisaaban’ pada mendirikan solat sunat di malam Ramadhan.

عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: مَنْ قَام رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.  متفق عليه

Maksudnya:

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang mengerjakan solat sunat pada malam Ramadhan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala serta keredhaan daripada ALLAH, maka diampunilah dosanya yang telah lampau.”

(Muttafaqun `alaih)

3)  ‘Imaanan wa ihtisaaban’ pada beribadah di Malam Al-Qadar (Lailatul-Qadr).

عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.  متفق عليه

Maksudnya:

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang beribadah pada malam Al-Qadar dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala serta keredhaan daripada ALLAH, maka diampunilah dosanya yang telah lampau.”

(Muttafaqun `alaih)

‘Imaanan’ dengan makna penuh keimanan kepada perintah ALLAH.  Turut dan patuh akan ketetapan dan suruhan ALLAH.  Bulat ikhlas dan taat kepada ALLAH Ta`ala.

Dan ‘Ihtisaaban’ pula dengan makna bersungguh-sungguh beribadah demi mengharapkan ganjaran serta keredhaan ALLAH Jalla wa A`la.  Mengharapkan ganjaran dan redha ALLAH itu hendaklah bukan sekadar angan-angan tanpa usaha.  Sewajarnya ia suatu pengharapan yang sungguh-sungguh, menyertakan diri beribadah sesuai dengan syariat yang telah ditunjukkan oleh RasulNYA sallAllahu `alaihi wasallam.  Amalan-amalan sunnah yang kecil atau besar serta ilmu-ilmu berkaitannya dibelek-belek, dipelajari, diulangkaji dan difahami supaya mendapat kefahaman yang mendalam tentang hukum-hakam dan perkara-perkara sunat yang boleh menambahbaikkan lagi kualiti ibadahnya.  Dari kefahaman tersebut, lalu disertai dengan amalan sedaya upayanya demi mengharapkan kecintaan ALLAH `Azza wa Jalla dan ganjaran baik dari sisiNYA.

Ayuh, mari kita sama-sama muhasabah diri mengenai tahap ibadah kita pada bulan Ramadhan ini.  Supaya ia dijalani dengan piawai yang benar.  Iaitu ‘imaanan wa ihtisaaban’.  Supaya kembali lurus niat kita dan betul pula cara kita menjalaninya sesuai dengan cara yang telah dilakukan oleh kekasih ALLAH, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Semoga ALLAH Ta`ala mengurniakan keampunanNYA buat kita, hamba-hambaNYA yang kerdil lagi lemah ini.  Dan semoga kita tergolong di kalangan hamba-hambaNYA yang muttaqin, amin.

Sekadar muhasabah diri sendiri,

muzir.wordpress.com 
22 Ramadhan 1433
11 Ogos 2012

Leave a comment