Ibadah 10 Terakhir Ramadhan Bagi Wanita Haid

“Aduhai, tak boleh pulak nak beribadah di 10 terakhir Ramadhan ni…”  isteri saya mengadu kepada saya dengan nada sedikit kecewa.

Kesian pula saya melihatnya.  Saya faham sangat apa yang terpaksa dihadapi beliau.  Tentunya semangat beliau berkobar-kobar ingin memenuhi 10 terakhir Ramadhan ini dengan ibadah-ibadah sunnat.  Namun, apakan daya.  Ia taqdir ALLAH yang seseorang itu mesti redha.  Saya lalu menasihati beliau dengan beberapa nasihat yang mudah-mudahan dengan nasihat itu bisa menaikkan semula semangat beliau untuk beribadah di 10 terakhir Ramadhan walaupun dalam keadaan ‘uzur’.

Berikut adalah beberapa nasihat yang wajar diamati oleh para muslimah sekiranya didatangi haid sedangkan di dalam hati bersemangat hendak beribadah.  Disenarai juga beberapa ibadah yang boleh dilakukan sebagai alternatif kepada solat, puasa dan iktikaf di masjid yang dilarang mereka melakukannya ketika haid.

1.  Redha dengan ketentuan ALLAH

Mempunyai perasaan redha terhadap ketentuan ALLAH adalah sesuatu yang sangat penting ada di dalam hati seseorang mukmin.  Ia menandakan keimanan seseorang terhadap qadar dan qadha ALLAH.  Sifat redha akan membuatkan seseorang itu menjadi tenang dan bersangka baik dengan Tuhannya.  Dan sifat redha ini adalah sifat yang mahmudah yang insyaALLAH besar pahalanya di sisi ALLAH.  Bukan senang seseorang itu hendak redha.  Justeru, redhalah.  Ada ganjaran pahala buat orang-orang yang redha, insyaALLAH.

Redha adalah tanda kehambaan hamba kepada Tuhannya.

2.  Bangun malam di 10 terakhir Ramadhan

Memang ibadah terbaik pada 10 akhir Ramadhan ialah solat-solat sunat.  Namun, disebabkan oleh wanita-wanita haid/nifas tidak boleh bersolat, maka hendaklah dicari ibadah lain bagi menggantikannya supaya kelebihan beribadah pada waktu malam tersebut tidak berlalu begitu sahaja.  Contoh ibadah yang boleh dilakukan ialah:

  • Membaca atau mendengar ayat-ayat al-Quran tanpa memegang mushaf al-Quran.
  • Mentadabbur ayat-ayat al-Quran iaitu melihat makna/terjemahan lalu menghayati maksud ayat-ayat al-Quran.
  • Dzikrullah iaitu mengingati ALLAH sama ada melalui lidah, hati atau perbuatan.  Banyak kalimah-kalimah dzikir yang boleh diucap dan diamati berulang-ulang kali, antaranya:
    • “La hawla wa la quwwata illa biLLAH” (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH)
    • Dan lain-lain lagi.
  • Memohon ampun kepada ALLAH iaitu beristighfar.  Ucaplah “Astaghfirullah” (aku memohon keampunan ALLAH) berulang-ulang kali.  Memohon keampunan daripada ALLAH adalah ibadah yang utama dan penting untuk dilakukan seseorang mukmin, terutamanya pada bulan Ramadhan.
  • Berdoa memohon apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.  Berdoa juga adalah ibadah.
Doa Lailatul-Qadar

Doa Lailatul-Qadar

  • Muhasabah diri.
  • Membaca buku-buku agama yang darinya boleh menambahkan ilmu, menimbulkan keinsafan dan peningkatan Iman serta makin dekat dengan ALLAH.
  • Melakukan amalan-amalan sampingan lain seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan mengejut anak-anak atau teman-teman untuk bangun sahur juga boleh dikategorikan sebagai amalan-amalan yang soleh yang bakal mendapat ganjaran ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.

Tidak ada sebab untuk seseorang meninggalkan ibadah berjaga malam walaupun sedang mengalami ‘uzur’.  Apatah lagi peluang menghidupkan malam pada 10 terakhir Ramadhan.  Kerana kita sangat digalakkan untuk memburu Lailatul-Qadar pada malam-malam 10 terakhir Ramadhan.  Oleh itu, janganlah ditinggal terus dari beribadah pada waktu malam walaupun anda sedang didatangi haid.

3.  Ibadah-ibadah dan lain-lain amalan soleh.

  • Memberi nasihat, amar ma`ruf nahi mungkar.
  • Menulis di emel, blog, laman sosial dan lain-lain bentuk penulisan yang mengajak manusia kembali beragama.
  • Menyediakan juadah berbuka puasa untuk ahli keluarga dan taulan yang berpuasa.  InsyaALLAH, seseorang yang ikhlas memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka akan turut memperolehi pahala berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu.
  • Berinfaq.
  • Membantu orang yang kesusahan.
  • Menyebarluaskan salam.
  • Dan banyak lagi tidak terkira.

Amalan alternatif buat wanita yang haid/nifas.

Itulah antara sebahagian yang sempat saya fikirkan untuk dimanfaatkan oleh wanita-wanita yang berada di luar sana.

Menurut isteri saya, memang ramai wanita yang tidak sedar akan ibadah-ibadah lain yang ada di dalam ISLAM.  Mereka ingat hanya solat dan puasa sahaja ibadah.  Ketidaksedaran ini membuatkan para wanita yang didatangi haid mati akal dalam mengisi masa yang berharga di dalam bulan Ramadhan.  Terbuanglah peluang begitu sahaja.  Malah ada yang tidur sahaja disebabkan oleh pada anggapan mereka bahawa mereka tidak boleh melakukan ibadah.

ALLAH Maha Pemurah.  Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hamba-hambaNYA.  Dan pahala dariNYA memang DIA sediakan buat hamba-hambaNYA yang suka mencari keredhaanNYA.  Konsep ibadah ini terlalu luas.  Bukankah seluruh kehidupan kita juga boleh jadi ibadah?  Selamat beribadah di 10 terakhir Ramadhan.  :)

ALLAHU A`LAM.

muzir.wodpress.com

17 responses to “Ibadah 10 Terakhir Ramadhan Bagi Wanita Haid

  • Anonymous

    ”tak perlu puasa jika tiada orang”sye ske tjuk ne dan mgjar sorng mrid tntng puasa bnykla kbaikn dalam tjuk ne..i like.

  • NiniHartini

    Kalau baca al-quran guna hp/ipad mcm mana? x pegang Quran, tp pegang hp/ipad..dan bila kita scroll ayat tu ke bawah, guna jari, tp klik screen. tu kira sentuh atau tidak ye? maaf, sy agak musykil ttg mslh ini.

  • mujaahid

    mohon share. jazakallahu khairan…

  • Shahmuzir

    Soalan: Bolehkah wanita haidh membaca Al Quran dalam bulan Ramadhan?

    Jawapan:

    Ini adalah masalah khilaf, berkenaan dengan membaca Al Quran, pada pandangan saya –wallahua’lam- tidak ada hadis yang melarang para wanita membaca Al Quran ketika sedang uzur syar’i, kembali kepada keumuman hadis Nabi SAW dalam sabda baginda kepada Aisyah RA (yang pada ketika itu sedang ihram dan didatangi haidh),

    افْعَلِى مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِى بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِى

    “Buatlah apa yang dikerjakan oleh orang yang berhaji, namun janganlah engkau berthawaf di Baitullah al-Haram sehingga engkau suci.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

    Adapun shalat telah jelas di dalam nas bahawasanya wanita yang didatangi haidh tidak boleh bershalat. Aisyah RA ketika sampai ke Makkah beliau dalam keadaan yang uzur syar’i (didatangi haidh) maka Nabi memerintahkan kepadanya seperti hadis di atas. Umum mengetahui orang yang berihram membaca Al Quran tetapi Nabi SAW tidak melarangnya.

    Daripada keumuman hadis ini, sebahagian para ulama menyatakan keharusan bagi wanita-wanita yang uzur membaca Al Quran kerana tidak terdapat larangan.

    Namun sekali lagi saya sebutkan, ini adalah masalah khilaf. Sebab ada pula di kalangan ahli ilmu yang berpandangan bahawa sekiranya membaca Al Quran dengan niat zikir maka itu dibolehkan, kerana banyak zikir-zikir dan doa-doa yang dipetik daripada Al Quranul Karim.

    Wallahua’lam. Saya bersetuju dengan pandangan Syaikh Abu Malik Kamal Sayyid Salim dalam kitabnya Sahih Fiqhu As-Sunnah, di mana beliau membuat penilaian setelah membawakan perbezaan pandangan di kalangan fuqaha (ahli fiqh) dalam masalah hukum membaca Al Quran bagi wanita-wanita yang uzur syar’i dan beliau membuat satu kesimpulan iaitu oleh kerana tidak ada dalil dan nas yang sharih (tegas) dan sahih yang melarang kecuali hanyalah hadis yang lemah dan mempunyai ‘illat (kecacatan), maka kekal keumuman bahawa wanita boleh menyentuh dan membaca Al Quran.

    Tetapi sekali lagi ditegaskan bahawa ini merupakan masalah khilaf di kalangan para ulama dalam menilai kedudukan hadis. Syaikh Ibn Shalih Al Utsaimin menilai hadis larangan tersebut sebagai hasan maka beliau berpandangan wanita-wanita yang uzur syar’i tidak boleh menyentuh Al Quran.

    Kembali juga kepada hadis Abu Hurairah di mana Nabi SAW bersabda,

    إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَا يَنْجُسُ

    “Sesungguhnya orang mukmin itu tidak najis.” (riwayat Muslim)

    Jadi disebabkan orang beriman itu tidak najis, dari keumuman hadis ini bermakna tidak ada masalah untuk menyentuh dan memegang Al Quran bagi orang mukmin kerana wanita mukmin yang didatangi haidh itu juga bukanlah najis.

    Ini masalah khilaf dan saya bersetuju dengan hujah dan pandangan yang mengatakan bahawasanya wanita boleh membaca Al Quran kerana hadis-hadis larangan membaca Al Quran merupakan hadis-hadis yang lemah.

    Wallahua’lam.

    Disalin dari rakaman kuliah oleh Biro Penerbitan & Multimedia iLMU

    *Sumber:
    http://ustazfathulbari.wordpress.com/2012/08/06/wanita-haidh-di-bulan-ramadhan-bolehkah-membaca-al-quran/

  • Fakhirah Lyana (@fakhirahlyana)

    ulasan yang bagus.. terima kasih atas sebaran yang bermanfaat..~

  • cikgu hani

    alhamdulillah..terima kasih..bermanafaat..mudah-mudahan bermenafaat..izn nak copy ya..

  • Cik rosya

    Tp dari kecik kita dah didedahkan wanita dlm haid tak boleh baca quran..jadi serba salah nak baca..

    • Shahmuzir

      Memang ada khilaf mengenainya. Jadi terpulang kepada kita samada ingin melakukannya atau tidak. Perkongsian sudah disampaikan…

      Jika serba salah, maka puan boleh berdzikir atau berdoa atau lain2 ibadah yang dicadangkan di dalam artikel di atas. :)

  • Anonymous

    mohon share ye tQ

  • suraya

    Alhamdulillah..terima kasih untuk info ini..mohon share ye

  • Wahida

    Terima kasih..merata sy cari bolehkah wanita dlm haid dan nifas mmbaca alquran..bg sy islam itu memudahkn dan mggalakkan utk berbuat amalan kebajikan kcuali yg terang2ngan haram spt yg dinyatakan di dlm al quran..

  • Wahida

    Persoalan sy, ada yg mngatakan boleh membaca hnya d dlm hati dan tanpa memegang mushaf..dan sy ingin pnjelasan skali lg tentang bacaan yg dilafazkan dan didegari oleh telinga kita sendiri..bg wanita yg sdg dlm haid dan nifas..mohon perkongsian..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,843 other followers

%d bloggers like this: